Wednesday, December 9, 2009

Berita Kesatuan

Tahniah En Rosli Ibrahim

Kesatuan mengucapkan Tahniah kepada Encik Rosli Ibrahim kerana telah mendapat jawatan tetap sebagai Pegawai Khidmat Pelanggan. Usaha selama lebih setahun oleh En Rosli dan Kesatuan telah berjaya membuahkan hasil, walaupun pelbagai halangan diperolehi diperingkat awal perbincangan berkaitan menetapkan khidmat En Rosli. Kesatuan juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada YBhg Dato Mirza kerana mengambil perhatian berat isu ini.

----------------------

Penjumudan Gred F/N - 11 dan 14

Pekeliling berkaitan penjumudan jawatan N11, N14, F11 dan F14 telah dikeluarkan pada bulan Julai 2009, namun sehingga bukan Oktober kakitangan yang terlibat dalam penjumudan ini tidak diberi taklimat dan penyerahan borang opsyen. Kesatuan telah banyak kali menghubungi Bahagian Pengurusan supaya menyegerakan taklimat dan tawaran opsyen ini. Kesatuan akhirnya mengambil inisiatif menghantar surat kepada YBhg Dato Ketua Pengarah supaya perkara ini diambil serius oleh Pihak Pengurusan. Pada 11 November 2009 barulah taklimat kepada semua kakitangan yang terlibat dibuat. Itu pun ada nama-nama yang tercicir pada mulanya dengan alasan terlepas pandang dan pengarah-pengarah bahagian yang terlibat tidak dimaklumkan sama.

Taklimat dibuat dan tawaran opsyen diberikan pada tarikh berkenaan. Kakitangan yang terlibat diberikan masa 2 minggu untuk menjawab tawaran opsyen berkenaan. Mengikut pekeliling JPA, tempoh opsyen mengikut JPA adalah selama 30 hari dan bukannya 14 hari seperti yang diberikan kepada kakitangan kita. (30 hari dari tarikh penerima menerima surat opsyen bukannya pada tarikh surat dikeluarkan - rujukan laman web JPA)

*** Menjadi kebiasaan perkara-perkara yang melibatkan kumpulan bawahan sering dipandang ringan. Cuba layari laman web Jabatan Pelajaran(mempunyai cawangan paling banyak) dimana hampir keseluruhan pejabat pelajaran daerah di Semenanjung mengadakan taklimat pada 15 September 2009 dan Jabatan Pelajaran Daerah Sabah memberikan taklimat pada bulan Oktober 2009.

Larangan Merokok DI Tempat Awam

Monday, 01 June 2009 01:06
KUALA LUMPUR: Cuepacs akan berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengeluarkan arahan melarang semua kakitangan awam merokok di tempat kerja masing-masing tidak kira dalam pejabat atau pekarangan jabatan.

Presidennya, Omar Osman, berkata surat pekeliling juga akan dikeluarkan kepada setiap kakitangan dalam masa terdekat, bagi mengingatkan mereka tindakan bakal diambil sekiranya ingkar terhadap arahan itu.

Beliau berkata, mana-mana kakitangan yang didapati merokok dalam premis tempat kerja masing-masing akan dipanggil ketua jabatan untuk tindakan lanjut.

Katanya, usaha itu bagi mendisiplinkan kira-kira 1.2 juta kakitangan awam dan orang ramai supaya tidak merokok apabila berurusan dengan jabatan kerajaan.

“Jabatan kerajaan dilarang terus merokok, tidak kira kawasan lobi, kaunter, kawasan berhawa dingin dan pekarangan pejabat, lebih mudah untuk penguat kuasaan.

“Selama ini, jabatan kerajaan ada sediakan kawasan zon larangan merokok tetapi tidak dipatuhi kakitangan termasuk pegawai atasan yang merokok sesuka hati termasuk di biliknya sehingga menimbulkan rungutan orang ramai.

“Kini Cuepacs cadang semua kawasan pejabat kerajaan diwarta zon larangan merokok dan akan bincang perkara ini dengan JPA dalam masa terdekat, serta buat pekeliling sebagai peringatan dan amaran, mana-mana kakitangan yang didapati merokok akan dipanggil peringkat jabatan... jadi kakitangan akan terikat sikit untuk merokok,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan terbaru kerajaan untuk mewartakan dua lagi kawasan zon larangan merokok iaitu di tempat kerja yang mempunyai sistem pendingin hawa berpusat dan lobi hotel.

Kelmarin, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai, dilaporkan berkata cadangan itu yang akan diwartakan tidak lama lagi itu amat perlu bagi melindungi kepentingan kesihatan orang ramai terutama yang tidak merokok.

Sehingga kini, terdapat 22 zon larangan merokok termasuk kaki lima kompleks membeli-belah, restoran dan kafe terbuka di luar premis.

Sementara itu, Pengarah Komunikasi Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman, berkata pihaknya menyambut baik usaha kerajaan menambah zon larangan merokok, pada masa sama mahu kerajaan meningkatkan penguatkuasaan.

Beliau berkata, kerajaan juga perlu membanyakkan papan tanda larangan merokok di tempat awam serta mengadakan lebih banyak kempen larangan.

“Masyarakat juga perlu memainkan peranan membantu kerajaan dengan membuat teguran terhadap mereka yang merokok di tempat awam,” katanya.

-----------------------
*** Pemergian sahabat kita Puan Junaida kerana kenser paru-paru perlulah membuka mida semua orang. Adakah kerana suratan atau sebenarnya perkara ini boleh dibendung. Mungkinkah persekitaran kerja yang sentiasa terdedah pada asap rokok yang menjadi punca. Hormatilah hak orang lain untuk mendapatkan udara segar dan jangan pentingkan diri sendiri.
http://tm-union.blogspot.com/2009/05/rokok-peraturan-cadangan-dan.html (artikel yg pernah dikeluarkan di dalam blog ini)

Monday, December 7, 2009

Takziah Buat Keluarga Kak Jun

Takziah buat keluarga Allahyarhamah Junaida Binti Jamaludin atau lebih di kenali kak Jun di kalangan rakan-rakan, yang telah kembali ke rahmatullah bersamaan 6 Disember 2009 (20 Zulhijjah 1430 H) pukul 10.30 malam kerana kanser paru-paru dalam usia 56 tahun.

Masjid di USJ tempat menguruskan jenazah Allahyarhamah penuh dengan rakan-rakan dari Tourism Malaysia yang memberikan penghormatan terakhir kepada beliau. Turut kelihatan rakan-rakan bekas pegawai kakitangan Tourism Malaysia termasuk mantan Ketua Pengarah Dato' Abdullah Jonid dan isteri serta mantan Timbalan Ketua Pengarah Datin Dalilah Ahmad.

Marilah sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah, semoga roh beliau dalam rahmat Allah dan ditempatkan dikalangan orang-orang yang soleh.

** Puan Junaidah merupakan ahli kesatuan yang paling senior dalam senarai ahli-ahli yang masih berkhidmat di Tourism Malaysia.

Mesyuarat Agong - 3 Disember 2009

Salam Sejahtera,
Semua ahli-ahli Kesatuan, Mesyuarat Agong Tahunan Kali ke 30 telah berjaya diadakan pada tarikh yang telah ditetapkan. Kesatuan sangat berbesar hati dengan kesudian YBhg Dato' Mirza Mohammad Taiyab, Ketua Pengarah Tourism Malaysia yang sudi merasmikan majlis ini dan di atas kesudian Tuan Haji Omar Osman, Presiden Ceupacs yang sudi hadir bersama dan memberikan ucapan kepada semua ahli-ahli.

Antara intipati ucapan Presiden CEUPACS yang dapat dipetik :-

1. Semua penjawat awam perlulah bersyukur kerana dalam tempoh 3 tahun ini semua penjawat awam telah memperolehi kenaikan gaji yang lebih baik dan semakan kenaikan gaji akan dibuat setiap 5 tahun sekali.

2. Penjawat-penjawat awam diminta bekerja dengan lebih tekun, menjaga integriti dan tatasusila bagi menjaga nama baik perkhidmatan awam.

3. Walaupun tiada bonus pada tahun ini, namun penjawat awam perlulah bekerja dengan penuh dedikasi kerana gaji dan elaun yang diterima tidak berubah walaupun ekonomi Malaysia beraada dalam keadaan yang tidak berapa baik.

4. Ceupacs sedang berusaha untuk memastikan yang penjawat awam mempunyai perlindungan insuran termasuk menggunakan khidmat hospital swasta, kerana kelemahan/kekurangan utama bagi penjawat awan adalah dari segi perubatan.

5. Penjumudan jawatan gred bawah adalah bertujuan supaya setiap penjawat awam mempunyai gaji minima yang tinggi setanding dengan pekerja-pekerja swasta.

6. Ceupacs juga sedang berusaha supaya elaun hotel bagi kumpulan sokongan dinaikkan kepada kadar yang lebih munasabah.

7. Masalah utama sekarang adalah 60 ribu pekerja kontrak di semua agensi dan jabatan kerajaan.

8. Semua kakitangan awam diminta sentiasa hormat menghormati, menjaga perpaduan dan mempunyai semangat kerja yang tinggi.