Thursday, April 15, 2010

KAJI PUNCA PENJAWAT AWAM RASUAH

KUALA LUMPUR: Cuepacs semalam menggesa kerajaan menjalankan satu kajian bagi mencari punca penjawat awam, terutama mereka yang berada dalam kumpulan sokongan, terbabit dalam rasuah. Setiausaha Agungnya, Ahmad Shah Mohd Zin, berkata, pemerhatian Cuepacs sejak beberapa tahun lalu mendapati skala gaji rendah dan kos sara hidup tinggi mungkin menjadi antara faktor penjawat awam terbabit rasuah.

Beliau berkata, mungkin banyak lagi faktor lain menyebabkan berlaku rasuah dalam perkhidmatan awam dan penting bagi kerajaan mencari punca sebenar gejala ini dan mengambil langkah mengatasinya dengan segera. "Cuepacs tidak pernah menyokong amalan rasuah dan sentiasa menasihatkan penjawat awam supaya melaporkan kepada ketua jabatan masing-masing sekiranya mereka ditawar dengan rasuah," katanya. Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan Timbalan Ketua Pesuruhjaya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Zakaria Jaafar, bahawa penjawat awam adalah kumpulan tertinggi yang terbabit dengan rasuah pada tahun lalu. Daripada 191 penjawat awam yang disyaki terbabit, 160 daripadanya adalah daripada kumpulan sokongan.

Ahmad Shah berkata, pemerhatian mendapati skala gaji penjawat awam, terutama dalam kumpulan "petugas penguatkuasaan" dalam negara amat rendah berbanding negara lain. Beliau memberi contoh, seorang konstabel di Taiwan dibayar gaji RM14,000 sebulan, berbanding RM800 hingga RM1,200 di Malaysia. – Bernama

1.2 juta penjawat awam perlu tingkat produktiviti jika mahu kenaikan gaji

KUALA LUMPUR: Cuepacs memberi jaminan 1.2 juta penjawat awam di negara ini akan bersama kerajaan bagi menyokong inisiatif menjadikan Malaysia sebagai negara ekonomi berpendapatan tinggi.Presidennya, Omar Osman, berkata sebagai tulang belakang kerajaan, penjawat awam perlu bersedia memberi komitmen sepanjang perkhidmatan bagi meningkatkan produktiviti ke tahap membanggakan.“Jika mahukan satu perubahan atau peningkatan dalam gred gaji, penjawat awam perlu sedar kerajaan perlu melihat kembali prestasi mereka untuk memastikan ia dapat dilaksanakan. “Jika produktiviti meningkat dan pendapatan negara di luar jangkaan, saya percaya Perdana Menteri akan akur dengan tuntutan sektor awam,” katanya ketika dihubungi semalam.

Kelmarin, Datuk Seri Najib Razak dipetik sebagai berkata, gaji kakitangan awam boleh dinaikkan dengan syarat 1.2 juta penjawat awam meningkatkan produktiviti dan menyokong inisiatif kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara ekonomi berpendapatan tinggi.Perdana Menteri juga dilaporkan berkata, selagi produktiviti negara meningkat, gaji kakitangan awam akan diselaraskan seiring dengan ekonomi yang lebih kukuh.Omar berkata, kenyataan Perdana Menteri boleh diibaratkan sebagai penanda aras kepada kakitangan awam untuk memastikan mereka boleh menikmati gaji setanding negara membangun yang lain. Sehubungan itu, katanya, kakitangan awam perlu melakukan satu anjakan paradigma dari aspek cara bekerja, lebih berdaya saing, kreatif dan inovatif selain memastikan etika sentiasa dipatuhi serta tidak terbabit dengan rasuah.

Bagaimanapun, Cuepacs mahu kerajaan lebih telus dengan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang disifatkannya sebagai satu cara meningkatkan hasil kerajaan.“Kakitangan awam terutama kumpulan pelaksana perlu diberikan taklimat mengenai GST dengan jelas dan memberi peluang untuk berdialog dengan kerajaan bagi memastikan pelaksanaannya tidak membebankan kumpulan berpendapatan rendah.“Jika GST boleh menjana pendapatan kerajaan tanpa menjejaskan kumpulan berpendapatan rendah, maka Cuepacs tidak mempunyai halangan untuk dasar itu dilaksanakan,” katanya.