Monday, February 28, 2011

15,000 Pembantu Am Pejabat tunggu naik pangkat

IPOH 28 Feb. – Seramai 15,000 Pembantu Am Pejabat (PAP) di seluruh negara sedang menunggu untuk dinaikkan pangkat dan gaji yang permohonan mereka telah pun dikemukakan oleh Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA). Presiden CUEPACS, Omar Osman berkata memorandam telah dihantar ke JPA enam bulan lalu dan pihaknya sedang menunggu kelulusan permohonan yang dijangka diketahui seawal 1 Mei ini.

"Sudah sampai masanya kerajaan mengkaji dan menyeleras semula sistem penggredan sedia ada agar bersesuaian dengan taraf pendidikan penjawat jawatan ini yang sebelum ini hanya memerlukan kelulusan rendah di peringkat Penilaian Menengah Rendah berbanding kini yang memerlukan kelulusan Sijil Pelajaran Malaysia selain diploma dan ijazah,” katanya kepada pemberita. Beliau menghadiri majlis taklimat kepada anggota Kesatuan Pembantu Am Pejabat Perkhidmatan Awam Semenanjung Malaysia cawangan negeri Perak. Omar berkata sekiranya permohonan itu diluluskan, ia akan meningkatkan semangat penjawat jawatan berkenaan untuk bekerja lebih keras.

“Mereka yang menjawat jawatan ini merupakan nadi yang menggerakkan sesuatu tugas di pejabat. Justeru itu, apabila adanya keselarasan (jawatan), ia secara langsung bakal meningkatkan motivasi setiap pekerja,” katanya. Beliau berkata CUEPACS turut bercadang menukarkan gelaran jawatan Pembantu Am Pejabat kepada yang lebih sesuai. Tugas Pembantu Am Pejabat kini tidak hanya tertumpu kepada pentadbiran pejabat semata-mata malah meliputi pelbagai tugasan lain di luar pejabat seperti di makmal dan bengkel, tambahnya.
- Bernama/nydp.

CUEPACS mahu bantuan guaman diperluas

BATU PAHAT 27 Feb. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) memohon kerajaan menimbangkan supaya bantuan guaman dan khidmat nasihat oleh Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) diperluaskan kepada rakyat yang berpendapatan di bawah RM35,000 setahun.


Pada masa ini, bantuan dan khidmat YBGK hanya dihadkan kepada semua warganegara yang berpendapatan di bawah RM25,000 setahun.


Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, langkah itu wajar kerana golongan berpendapatan RM35,000 setahun juga dikenal pasti tidak mempunyai kemampuan dari segi kewangan untuk membayar khidmat guaman.


"Dengan yuran guaman dan sara hidup yang tinggi serta kenaikan harga barang, saya berpendapat golongan itu juga masih tidak mampu dan amat memerlukan bantuan guaman daripada YBGK.


"Keadaan tentu semakin sukar jika golongan ini mempunyai ramai tanggungan dan tinggal di bandar besar," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Skim Saraan Universiti di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) di sini hari ini.


Beliau juga Pengerusi Gabungan Majlis Presiden dan Setiausaha Kehormat Kesatuan Kakitangan Universiti/Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Malaysia (Gakum) mengulas mengenai YBGK yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kelmarin.


YBGK akan membantu golongan kurang berkemampuan mendapatkan pembelaan ketika seseorang individu itu ditangkap, ditahan atau dituduh dengan kesalahan jenayah dengan dikenakan caj bayaran minimum.


Perdana Menteri semasa melancarkan yayasan itu memberitahu, lebih kurang 80 peratus orang kena tuduh (OKT) dalam kes jenayah tidak mempunyai peguam kerana tidak mampu untuk membayar yuran yang tinggi.


Omar berkata, seiring gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, lebih ramai pihak wajar mendapat bantuan itu supaya mereka mendapatkan keadilan yang sewajarnya.


"Kita faham, buat permulaan mungkin YBGK hanya untuk yang berpendapatan RM25,000 setahun dan ini satu usaha yang wajar dipuji. Bagaimanapun, kita harap ia dapat diperluaskan kepada lebih ramai rakyat yang kurang berkemampuan," katanya.


Dalam pada itu, Omar berkata, langkah melakukan pertukaran kakitangan kerajaan yang menduduki 'kerusi panas' sebagai antara tiga inisiatif yang akan dilaksanakan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) mengenai rasuah juga wajar diperluaskan kepada kakitangan badan berkanun.


Menurutnya, kerusi panas yang diduduki kakitangan badan berkanun juga mesti dipantau dengan teliti bagi mengelak berlaku rasuah.


"Pada masa sama, jangan dilupakan 'kerusi sejuk' iaitu kakitangan yang sudah terlalu lama tidak dinaikkan pangkat.


"Mungkin tidak berlaku rasuah tetapi produktiviti mereka mungkin menurun kerana rasa tidak dihargai," katanya.
-Utusan Online/nydp.