Friday, November 28, 2014

Setiap Penjawat Perlu Faham Dengan Jelas Transformasi Perkhidmatan Awam - KP JPA

KANGAR, 24 Nov -- Setiap penjawat awam perlu memahami dengan jelas transformasi sektor awam supaya matlamat yang ditetapkan tercapai, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (JPA) Tan Sri Mohd Zabidi Zainal.

Beliau berkata transformasi juga untuk meningkatkan integriti, keberkesanan dan kelicinan sistem penyampaian, dinamik dan berjiwa rakyat serta menambah nilai perkhidmatan awam.

Dalam pada itu, Mohamad Zabidi berkata, "Isu-isu membabitkan agensi-agensi tertentu ibarat 'nila setitik rosak susu sebelanga' telah merosakkan seluruh perkhidmatan awam.

Sebagai contoh, katanya, isu tanah runtuh dan pendatang asing tanpa izin di Cameron Highlands telah menyebabkan persepsi negatif terhadap perkhidmatan awam di kalangan rakyat timbul.

"Persepsi negatif ini perlu diubah dengan memenuhi kepercayaan dan harapan rakyat terhadap perkhidmatan awam sebagai tiang seri kerajaan yang memerintah," katanya.

Mohamad Zabidi berucap merasmikan program 'Semarakkan Transformasi dan Jelajah #myGST4U' peringkat negeri Perlis di Dewan 2020 di sini, Isnin.

Setiausaha kerajaan Perlis, Romli Dai serta wakil CUEPACS dan agensi-agensi kerajaan persekutuan dan negeri turut hadir.

Sebanyak 20 booth mempamerkan perkhidmatan kerajaan termasuk mengenai Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP).

"Jabatan-jabatan kerajaan hendaklah bertindak sebagai satu pasukan. Kena buat koordinasi, tidak boleh bertindak sendiri, malah pemikiran juga kena berubah. Inilah transformasi sebagai satu pasukan.

"Apabila pendekatan ini dilaksanakan, masalah tidak cukup anggota tidak akan berlaku. Kita juga mesti responsif dan memberi yang terbaik kepada rakyat," tambahnya.

Menurutnya program tersebut bagi membolehkan JPA dan agensi-agensi lain menyebar luas agenda dan dasar-dasar kerajaan mengenai CBP serta menjawab keraguan atau pertanyaan mengenainya.

Mohamad Zabidi berkata program itu yang telah dibuat di Perak, Kedah dan Sabah menunjukkan kefahaman penjawat awam semakin meningkat berdasarkan maklum balas positif hasil sesi soal jawab, forum dan pameran yang diadakan.

"Sekiranya penjawat awam boleh bertindak sebagai jurucakap dengan menerangkan kepada ahli keluarga dan rakan-rakan mereka, akan berlaku kesan berganda yang memberi impak besar mengenai dasar yang dilaksanakan kerajaan terutama berkaitan CBP," katanya.

Beliau menambah Perlis adalah negeri pertama melaksanakan Lab Transformasi dengan kerjasama pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri bertujuan memberi pendedahan mengenai transformasi perkhidmatan awam kepada semua penjawat awam.

Katanya, program sama akan diadakan di Johor Baharu pada 2 Dis depan.

-Bernama.

Sunday, November 23, 2014

Pinjaman 110 Peratus Untuk Pembeli Rumah PR1MA - PM Najib

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata tawaran pinjaman sebanyak 110 peratus akan dipanjangkan kepada pembeli rumah Projek Perumahan 1Malaysia (PR1MA) daripada institusi-institusi kewangan terpilih.

Perdana Menteri berkata ini sebagai kelangsungan daripada usaha kerajaan bagi membantu rakyat berkaitan projek perumahan itu.

"Pembiayaan ini supaya semua pembeli mampu memiliki rumah, manakala 10 peratus lebihan pembiayaan adalah bagi menampung kos tambahan seperti guaman dan insurans.

"Juga, Skim Pembiayaan Sewa-Beli atau 'rent-to-own' turut ditawarkan sebagai bantuan kepada golongan pertengahan memiliki rumah," katanya dalam entri terbaru beliau di blog Najib.razak.com malam ini.

Najib dalam pembentangan Bajet 2015 bertemakan 'Bajet 2015: Ekonomi Keperluan Rakyat' di Parlimen pada Oktober lepas mengumumkan kerajaan akan menangani isu pemilikan rumah dengan harga berpatutan melalui pembinaan 80,000 unit rumah di bawah PR1MA dengan peruntukan RM1.3 bilion.

Langkah itu, katanya bagi membolehkan lebih ramai rakyat memiliki rumah dan had kelayakan pendapatan isi rumah juga dinaikkan daripada RM8,000 kepada RM10,000.

Dalam pembentangan itu, Najib berkata Skim Pembiayaan Sewa Beli akan diperkenalkan khusus kepada individu yang tidak berupaya mendapat pembiayaan daripada bank.

Sementara itu, Perdana Menteri berkata kerajaan menyasarkan pembinaan 500,000 unit rumah PR1MA dalam masa lima tahun, dan setakat ini, program PR1MA telah meliputi kesemua negeri dalam Malaysia kecuali Labuan.

Antara komuniti PR1MA yang dalam perancangan ialah di Wilayah Selatan, Utara, Sabah dan Sarawak membabitkan rumah berharga dari RM118,000 ke RM335,000.

Kawasan itu termasuklah di Bukit Bintang, Kuala Lumpur (RM275,000); Tebrau, Johor (RM180,000); Kuala Ketil, Kedah (RM215,000); Sandakan, Sabah (RM280,000) dan Kuching, Sarawak (RM235,000).

Najib menarik perhatian langkah-langkah permohonan untuk rumah PR1MA amat mudah dan menggesa kepada mereka yang memenuhi syarat kelayakan supaya mendaftarkan permohonan dengan mengunjungi laman rasmi www.pr1ma.my.

Pemohon boleh mengetahui lebih lanjut mengenai syarat kelayakan serta langkah mudah untuk memohon melalui infografik yang disertakan di dalam blog itu.

-Bernama.

Wednesday, November 19, 2014

Kenaikan Gaji Tidak Kurang 10 Peratus Wajar Diberi Pertimbangan

Datuk Azih Muda
KUALA LUMPUR (Bernama) -- Kenaikan gaji tidak kurang daripada 10 peratus wajar diberi pertimbangan kerajaan dan majikan swasta sejajar dengan peningkatan produktiviti dan prestasi para pekerja di negara ini, demikian menurut kesatuan pekerja sektor awam dan swasta.

Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda berkata kenaikan gaji juga harus sesuai dengan kenaikan kos sara hidup semasa, khususnya kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

Selain faktor kemampuan untuk menyara kehidupan seharian, Azih berkata seseorang pekerja khususnya penjawat awam juga perlu sekurang-kurangnya mampu membeli rumah dan menyara pendidikan anak-anak dengan gaji yang diterima.

"Gaji ini diukur daripada perkara tertentu seperti pencapaian akademik, pengalaman dan juga kebolehan seseorang pekerja itu, (selain itu) gaji juga harus dilihat berdasarkan kos sara hidup.

"Tetapi hari ini kita lihat gaji pekerja tidak mampu untuk menampung itu semua (kos sara hidup)," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Menurut laporan kajian oleh Institut Penyelidikan Khazanah yang dibentangkan Isnin, kenaikan gaji pekerja adalah perlu, memandangkan produktiviti pekerja di Malaysia terus meningkat sejak tahun 1960.

Pengarah Urusan institut itu, Datuk Charon Mokhzani dilaporkan berkata, sejak lebih 50 tahun lepas, paras produktiviti pekerja sentiasa me-lebihi paras gaji yang diberikan majikan, dan sejak itu juga pe-ningkatan pembayaran gaji sentiasa tidak setimpal dengan pertumbuhan produktiviti pekerja.

Keadaan itu membuatkan gaji dan faedah yang dirasai oleh pekerja hanya sekitar 33 peratus sahaja daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), manakala selebihnya dinikmati syarikat bersama pemegang---peme-gang kepentingan sesebuah entiti tersebut, kata Charon.

Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) N. Gopal Kishnam yang senada dengan Azih berkata kenaikan gaji lebih daripada 10 peratus boleh membantu Malaysia mencapai taraf negara maju.

Kenaikan itu juga katanya akan merangsang pertumbuhan ekonomi kerana ia dapat meningkatkan kuasa membeli pengguna.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) Datuk Shamsuddin Bardan pula berbeza pendapat apabila mengatakan peningkatan sebenar produktiviti tidaklah sebanyak mana jika dibandingkan dengan kenaikan gaji tahunan yang diberikan kepada pekerja.

Sebagai contoh, beliau berkata, menurut laporan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), purata kenaikan produktiviti pekerja adalah kira-kira 2.5 peratus dalam 10 tahun kebelakangan ini.

"Tetapi kalau kita lihat kenaikan gaji tahunan yang diberikan kepada pekerja terutamanya sektor swasta ialah sebanyak lima hingga enam peratus setiap tahun.

"Ini sudah tentu melebihi kadar peningkatan produktiviti berkenaan dan kadar itu juga harus dibandingkan dengan kadar sebenar produktiviti yang kita ada pada masa ini, yang mana tahapnya adalah kira-kira tujuh kali lebih rendah daripada di Amerika Syarikat dan Jepun.

"Jadi kalau kita ingin mengatakan bahawa peningkatan gaji itu tidak tinggi kalau dibandingkan dengan nilai produktiviti, itu adalah sesuatu yang tidak benar," katanya.

Sementara itu, ditanya mengenai satu lagi laporan kajian Institut Penyelidikan Khazanah yang menyebut harga rumah yang boleh dibeli berdasarkan gaji median tahunan rakyat Malaysia masih lagi mahal daripada yang sepatutnya, Shamsuddin berkata kerajaan bertanggungjawab untuk mengawal harga berkenaan supaya harga rumah mampu untuk dimiliki.

Gopal Kishnam pula berpendapat kerajaan seharusnya membina lebih banyak rumah mampu milik khusus untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana, memandangkan harga rumah ditentukan oleh pasaran semasa.

-Bernama.