Wednesday, September 16, 2009

Selamat Hari Raya Aidilfitri

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera,

Tuan/Puan/Saudara/Saudari,

Bagi pihak Presiden dan barisan Jawatankuasa Kerja Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, dengan penuh rasa kesyukuran dan keikhlasan ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri 1430 Hijrah kepada semua warga Tourism Malaysia khususnya kepada Ahli-Ahli Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia.

Presiden dan barisan Jawatankuasa Kesatuan Pekerja-pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia ingin memperingati kembali ahli-ahli landasan perjuangan kami demi memartabatkan ahli-ahli adalah memajukan kepentingan ahli-ahli dalam hal perusahaan, kemasyarakatan dan pengetahuan. Pihak kesatuan tidak akan teragak-agak untuk bertindak dengan lebih jauh dan drastik bagi menyelesaikan permasalahan ahli-ahli yang munasabah demi memajukannya. Untuk makluman warga Kesatuan, pihak kesatuan bertindak untuk kebajikan ahli-ahli adalah dilindungi dibawah Akta Kesatuan 1959, Peraturan 1959 di bawah Undang-undang Buruh dan Perlembagaan Malaysia dan telah di daftar di bawah Akta Pertubuhan Kesatuan, dengan Akta tersebut belum ada majikan yang mendakwa kesatuan atas apa-apa tindakan perusahaan kerana mengikut akta tersebut ianya terlindung. Maka dengan ini Kesatuan menyeru kepada ahli-ahli agar jangan gentar untuk bersama-sama kami untuk menegakkan kebenaran.

Tuan/Puan/Saudara/Saudari,

Pekerja-pekerja dan majikan tidak boleh dipisahkan ibarat irama dan lagu, jikalau pincang satu pihak maka sumbanglah perjalanan. Sekiranya sudah ada pekerja dan majikan maka timbullah kewujudan kesatuan pekerja-pekerja untuk mengimbangi kedua-dua pihak kerana dibimbangi akan ada berlaku berat sebelah. Menurut statistik Malaysian Trade Union Congress (MTUC), jumlah Kesatuan yang berdaftar adalah sebanyak 662 (sehingga Februari 2009) dan sebanyak 133 Kesatuan Sekerja berdaftar bagi sektor awam (sehingga Februari 2009).

Akhir kata, Barisan Jawatankuasa Kesatuan sentiasa mendoakan kepada semua agar Ramadhan kali ini dapat mendidik setiap hati dan jiwa kita pada setiap ketika tunduk dan patuh kepada Pencipta. Dengan segala RahmatNya yang sentiasa tercurah di bulan penuh kemuliaan dan keberkatan, semoga telah terpadam juga di hati kita sifat-sifat riak dan sombong yang sentiasa menjadi sebab kebinasaan manusia baik di dunia mahu pun di hari Pengadilan. Mudah-mudahan ibadah kita di bulan Al Mubarak ini akan tidak menjadi sia-sia.

Dikesempatan ini juga sukalah Kesatuan mengingatkan kepada semua agar sentiasa beringat dan berhati-hati di jalan raya apabila balik ke kampung halaman. Mudah-mudahan kita semua akan sentiasa berbahagia di Hari Raya pada tahun ini bersama keluarga tersayang dan dilimpahi HidayahNya. Sekian


Salam Syawal, Maaf Zahir & Batin


(MOHAMMAD HAFIZ IBRAHIM)
SETIAUSAHA
KESATUAN PEKERJA-PEKERJA
LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA

s.k Presiden Kesatuan
Naib Presiden
Jawatankuasa Kesatuan

Tuesday, September 8, 2009

Kursus-kursus Peningkatan Kemahiran bagi Kumpulan Sokongan

Alhamdulillah, dengan izinNya dapat kita menulis lagi pada hari ini. Semoga Ramadhan membuka lembaran yang baru, telus dan luas untuk semua di organisasi yang satu ini.

Seperti yang telah kita sedia maklum bahawa pihak pengurusan melalui Unit Latihan & Kompetensi telah berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk membekalkan para pekerja tidak kira pangkat dan kumpulan dengan senarai latihan dan kursus yang baik demi meningkatkan kemahiran dan pencapaian yang akhirnya bakal memberi manfaat kepada organisasi.

Seperti yang telah dimaklumkan kepada biro penerbitan, satu kursus intensif Bahasa Inggeris untuk Kumpulan Sokongan akan diadakan pada tahun ini. Kursus tersebut merupakan kali kedua setelah kursus yang sama yang telah diadakan pada 22 hingga 26 Jun 2009. KESATUAN melihat perkara tersebut sebagai satu usaha dan peluang yang sangat baik untuk warga kumpulan sokongan dalam organisasi ini.

Sehubungan dengan itu, secara kolektifnya, KESATUAN bercadang untuk memanggil dan menyeru kepada semua kakitangan dari kumpulan sokongan untuk pro-aktif dan peka dengan segala latihan mahupun kursus yang ditawarkan oleh pihak pengurusan di masa akan datang. Perkara amat membantu untuk KESATUAN mendapatkan lebih banyak lagi kursus-kursus dan latihan untuk kumpulan sokongan di masa akan datang.

Bersama ini, Biro Penerbitan bermohon kepada semua kakitangan kumpulan sokongan untuk memberikan maklumbalas melalui email kepada tm-unioncommittee@tourism.gov.my atau berjumpa dengan mana-mana ahli jawatankuasa KESATUAN terdekat dengan anda untuk menyampaikan cadangan secara bertulis berkenaan senarai kurusus-kursus dan latihan yang anda fikirkan mampu untuk membantu meningkatkan kemahiran kakitangan dari kumpulan sokongan khususnya dan berfaedah kepada organisasi amnya.

Sekian, terima kasih