Berita Harian
Oleh Syuhada Choo Abdullah
2011/06/21
Pelaksanaan penuh PROSPEK berkuat kuasa 1 Januari 2012
KUALA LUMPUR: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sedia berbincang dengan CUEPACS sebelum mengeluarkan surat pekeliling berhubung pelaksanaan Program Bersepadu Pembangunan Kompetensi (PROSPEK) yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai depan.
Bagaimanapun, Ketua Pengarahnya, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, setakat ini enggan mengulas mengenai lima tuntutan baru yang dikemukakan CUEPACS sebagai prasyarat mempersetujui pelaksanaan program itu.
Sambil menjelaskan perkara itu perlu diteliti serta dibincangkan dengan pegawainya terlebih dulu, beliau berkata, PROSPEK hanya akan dilaksanakan sepenuhnya pada 1 Januari tahun depan.
Justeru, beliau berkata, JPA kini dalam proses memberikan taklimat dan penerangan kepada semua kementerian serta agensi kerajaan berhubung PROSPEK, termasuk garis panduan yang sudah ditetapkan.
“Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) yang dimansuhkan pada Januari lalu adalah berasaskan peperiksaan, tetapi PROSPEK tidak ada peperiksaan, sebaliknya garis panduan.
“Sehubungan itu, JPA memperkenalkannya kepada kementerian dan agensi kerajaan untuk mereka membentuk suatu penilaian berasaskan PROSPEK bersesuaian dengan keperluan skim perkhidmatan masing-masing,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.
Akhbar semalam melaporkan CUEPACS yang baru-baru ini menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan JPA mengenai PROSPEK bagi menggantikan PTK berkuat kuasa 1 Julai depan, mengemukakan lima tuntutan baru sebagai prasyarat mempersetujui pelaksanaan program itu.
Tuntutan utama supaya pangkat pegawai dinaikkan secara automatik selepas menamatkan kursus kompetensi, memberi tiga kenaikan pangkat dan melantik dua wakil CUEPACS dalam panel penilai PROSPEK.
Dua tuntutan lagi adalah penubuhan jawatankuasa utama yang dianggotai CUEPCAS dan JPA bagi memantau pelaksanaan PROSPEK dan juga isu berkaitan, serta memastikan setiap perkara dipersetujui dalam perjanjian sebelum ini dipatuhi kedua-dua pihak sebelum pekeliling mengenai penilaian dikeluarkan.
No comments:
Post a Comment