Perutusan Yang
Dipertua
Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM, Semenanjung
Malaysia
Bilangan 1/2012
Bersempena Sambutan Hari Pekerja, 1 Mei
2012
Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia,
Rakan-rakan sekerja sekelian,
Kehadiran Hari
Pekerja pada tahun ini seharusnya menjadi sesuatu yang istimewa kepada kita
semua. Tempoh kegemilangan 40 tahun kewujudan Tourism Malaysia sedari 10 Ogos
1972, telah menjadi titik sejarah yang tidak boleh dipadam. Bertahun telah kita
lalui, kini tiba lah tahun yang baru di hadapan kita untuk sama-sama belajar
dan tempuhi agar kejayaan demi kejayaan terus ditempa dalam industri
pelancongan Negara. Selaku tenaga kerja yang berdedikasi terhadap kemajuan
industri ini, secara langsung mahupun tidak, kumpulan pekerja di Tourism
Malaysia ternyata memainkan peranan yang utama. Sepertimana dunia sedia maklum,
Tourism Malaysia telah menjadi jenama yang paling berjaya dalam usaha
mempromosi Negara menjadi destinasi pilihan secara global. Pengiktirafan ini
bukan calang-calang bergolek ke riba jika tidak dengan kesungguhan dan kerja
keras sekelian warganya. Maka, sudah pasti pengiktirafan tersebut seharusya
dikongsi oleh kita semua tidak kira di peringkat mana pun kita berada dalam
organisasi yang tercinta ini. Di antara kita perlu ada rasa hormat-menghormati
tanpa mengira batas pangkat mahupun status populariti bagi mewujudkan harmoni
dan kejituan kebersamaan dalam organisasi. Kepentingan peranan setiap warga
kerja di Tourism Malaysia perlu dijadikan iktibar dan dipelihara malah menjadi
wajib pula untuk dilindungi agar relevan sepanjang zaman.
Ucapkan
selamat kepada 40 tahun yang telah menjadikan Tourism Malaysia ikonik dan teras
kepada panji pembangunan industri pelancongan Negara. Kesatuan melihat pencapaian
ini sebagai satu peluang dan cabaran yang perlu ditatang dengan penuh kasih dan
sayang agar 40 tahun yang mendatang akan terus menjanjikan kecemerlangan sambil
mengimbangi keperluan-keperluan kebajikan kumpulan pekerja.
Rakan-rakan
sekerja sekelian,
Kejayaan demi
kejayaan yang telah dicapai juga hadir bersama perkara-perkara baru di muka
pintu kita sekaligus menjadi dugaan yang kekal untuk dihadapi bersama.
Perpindahan ke pejabat baru di Putrajaya telah menempatkan Tourism Malaysia
dalam rekod sejarah sebagai agensi Badan Berkanun yang pertama bercucuk jasa di
sini. Walaupun pelbagai isu bersilih ganti, namun, syukur ke hadrat Ilahi yang
telah memberikan rahmatNya sehingga setiap permasalahan dapat dihadapi dengan
aman. Kerjasama yang baik di kalangan pekerja telah memberi ruang yang luas
kepada majikan untuk turut serta membantu. Isu-isu berkaitan seperti
pengangkutan, ruang kerja yang selesa dan selamat, kafe serta taska telah
mendapat perhatian yang tidak berbelah bahagi dari pihak pengurusan tertinggi.
Walau sebahagiannya belum selesai sepenuhnya, namun, jalan dan usaha ke arah
itu telah dilaksanakan satu persatu. Terima kasih diucapkan kepada YBhg. Dato’
Pemangku Ketua Pengarah serta pihak berwajib kerana telah sudi memberikan
komitmen yang tiada putus terhadap kebajikan dan segala permasalahan pekerja
selama ini. Kesatuan berdoa agar kerjasama dan usaha murni ini tidak akan
luntur malah berterusan dari semasa ke semasa.
Pada tahun
ini, Kesatuan sekali lagi ingin menarik perhatian pihak Pengurusan Tertinggi
agar sekali-kali tidak melupakan janji mencari ikhtiar mendapatkan kemudahan
perumahan atau kuarters untuk warga TM keseluruhannya. Tiada apa yang mustahil,
malah, Kesatuan berpendapat bahawa perkara tersebut boleh dicapai kerana
kepentingan pekerja adalah tiada tolok bandingnya lagi. Sebaik berpindah ke
Putrajaya atas kepentingan dan arahan pihak tertentu, kos perbelanjaan
kakitangan TM meningkat secara mendadak tanpa sebarang kompromi.
Penyediaan
kuarters atau kemudahan perumahan akan membantu menangani masalah berkenaan.
Sehubungan itu, Kesatuan berharap agar pihak Pengurusan Tertinggi akan terus
bersikap terbuka untuk membantu sehingga kemudahan tersebut diterima demi
faedah jangka masa panjang.
Pada tahun ini
juga, Kesatuan terpanggil untuk melihat secara teliti kemudahan kafe dan taska
yang telah disediakan untuk kemudahan warga TM. Matlamat utama Kesatuan adalah
memastikan kemudahan-kemudahan berkenaan tidak akan membebankan warga TM dari
segi kewangan. Kesatuan berjanji untuk menentang habis-habisan jika ternyata
kedua-dua kemudahan tersebut menafikan hak warga TM untuk mendapat tawaran
harga yang berpatutan. Namun demikian, semua ini terserah kepada tuan/ puan
sekelian kerana Kesatuan tidak mahu dilihat sebagai ‘lebih sudu dari kuah’. Kesatuan
juga tidak mahu disangka ‘kayu reput yang menanti hanyut ke sungai yang tiada
berpenghujung’.
Oleh yang
demikian, kerjasama dari setiap ahli Kesatuan untuk bertanggungjawab ke atas
setiap isu dan permasalahan tersebut adalah sangat dihargai. Semua dari kita
perlu ada rasa berani dan sepakat, bukan hanya menanti keputusan yang
menguntungkan semata-mata. Warga pekerja Tourism Malaysia seharusnya bersedia
memberikan sokongan demi kepentingan berkelompok dan bukan individu. Beranikan
diri untuk berjumpa kami, isi dan hantar Borang Keahlian supaya kekuatan
Kesatuan bertambah sekaligus suara pekerja tidak dipandang sepi lagi. Sudah
sampai masanya untuk pekerja-pekerja Tourism Malaysia meletakkan keyakinan yang
tinggi kepada Kesatuan demi kebaikan kita bersama. Sehubungan itu, Kesatuan
ingin menyeru kepada setiap ahli untuk terus menyalurkan maklumat dan respon
yang berkaitan agar kami dapat memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang di
masa hadapan.
Kesatuan
bermohon agar setiap dari kita untuk tidak leka dan lalai untuk menjenguk hak
dan kebajikan kita agar tidak dipandang remeh semata-mata. Tuan/ puan
sememangnya mempunyai kekuatan bagi memastikan cita-cita ini tercapai. Saya
berdoa agar kepentingan dan kebajikan kumpulan pekerja akan terus terpelihara
selama-lamanya. Kejayaan bernaung di bawah gagasan CUEPECS bermula pada tahun
ini pastinya menjanjikan seribu kemungkinan. Semoga segala kemungkinan itu
menjadi sesuatu yang menggembirakan kepada kita semua, warga pekerja Tourism
Malaysia.
Rakan-rakan
sekerja sekelian,
Bersempena
sambutan Hari Pekerja ~ 1 Mei 2012, datangkanlah semangat, serulah jati diri,
usah jadi penakut, buangkan sikap individualistik yang pastinya akan
menjatuhkan organisasi yang tercinta ini. Jadilah manusia yang malu dengan
perbuatan salah diri sendiri agar menjadi warga kerja yang efisyen, amanah,
jujur serta bebas rasuah. Peliharalah rakan-rakan sekerja yang ada bersama
kita, lindungi kepentingan mereka dan berdiri tegaklah di samping mereka agar
tiada anasir luar masuk menyusup sehingga memporak-perandakan hal kita
sekeluarga. Jatuhkan mereka yang melihat kegagalan TM sebagai sarapan pagi
mereka. Runtuhkan tembok pemisah yang selama ini menjadi rantai membelenggu
kumpulan pekerja sehingga terlupa kepada hak yang sudah tersedia untuk mereka.
Jangan biarkan diri menjadi ‘sukarela’ menganiaya kumpulan pekerja tanpa
mempedulikan perit jerih mereka mengumpul rezeki demi anak dan keluarga. Demi
kumpulan pekerja, Kesatuan berdoa agar kemenangan akan sentiasa berada di pihak
kita. Insyallah.
Semoga maju
jaya,
(HASRIZAL MUHAMMAD SHAWAL TUKIJAN)
Yang Dipertua
Kesatuan
Pekerja-Pekerja
Lembaga
Penggalakan Pelancongan Malaysia
Semenanjung
Malaysia
1 comment:
Selamat Hari Pekerja...kerjalah dengan iklas...
Post a Comment