KUALA LUMPUR 28 Ogos - Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru rakyat terutama para penjawat awam supaya memecahkan tembok kemustahilan dan lari daripada pemikiran tradisional bagi membolehkan negara mencapai kejayaan yang lebih besar pada masa hadapan.
Perdana Menteri berkata, kedua-dua nilai tersebut akan membolehkan negara mengatasi cabaran utama global masa kini iaitu peluang mencipta kekayaan dan kekal berdaya saing di peringkat antarabangsa.
Katanya, ia boleh dicapai sekiranya para penjawat awam dan rakyat menerapkan nilai integriti, kreativiti dan inovasi dalam melakukan kerja seharian masing-masing.
"Jika kita berkeinginan mendahului dalam persaingan, maka aspek-aspek ini amat penting untuk diberi perhatian.
"Sebab itu kita guna Anugerah Inovasi menggantikan Anugerah Kualiti dan kita juga tentukan hadiahnya adalah ganjaran berjumlah RM1 juta bagi pemenang," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Inovasi Perdana Menteri (AIPM) 2011 di Institut Jantung Negara (IJN) di sini hari ini.
Perdana Menteri seterusnya mengemukakan contoh kejayaan yang ditempa sektor awam seperti kewujudan Pusat Transformasi Bandar (UTC) di Melaka yang berjaya dibangunkan dengan pantas dan menempatkan 70 agensi serta jabatan kerajaan di bawah satu bumbung.
Katanya, segala usaha serta idea tersebut perlu didukung oleh semua penjawat amat dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
"Agensi Kerajaan Pusat dan negeri ini berjaya menjalankan operasi dari pukul 8.30 pagi hingga 10 malam, tujuh hari seminggu dan belum ada mana-mana negara di dunia berbuat demikian," katanya.
-utusan/maa.
No comments:
Post a Comment