Friday, October 19, 2012

Kad Komuter 1Malaysia diperkenal

Sarbini bersama kad Komuter 1Malaysia pada sidang media di KL Sentral, semalam. - Foto Muhd Asyraf Sawal

Diskaun tambang kepada rakyat bergaji RM3,000 ke bawah 

Kuala Lumpur: Rakyat Malaysia yang berpendapatan RM3,000 sebulan dan ke bawah kini layak mendapat diskaun 50 peratus kadar tambang KTM Komuter untuk tempoh setahun, mulai 1 November ini hingga 31 Oktober 2013.


Sehubungan itu, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan memperkenalkan kad Komuter 1Malaysia kepada mereka yang layak dan borang permohonan bagi mendapatkan kad itu boleh diperoleh di semua stesen komuter serta laman web KTMB bermula 22 Oktober ini. 


Naib Presiden Eksekutif Perniagaan KTMB, Sarbini Tijan, berkata pemberian diskaun itu seiring usaha kerajaan meringankan perbelanjaan rakyat terutama mereka yang menetap di Lembah Klang, di samping menggalakkan mereka berpendapatan rendah menggunakan komuter. 

Kaunter pendaftaran dibuka 22 Oktober 

Katanya, bagi tujuan pendaftaran dan pengeluaran kad Komuter 1Malaysia, KTMB akan membuka 20 kaunter khas di tujuh stesen utama dengan dikendalikan oleh kira-kira 120 kakitangan. 
Beliau berkata, kaunter khas itu akan beroperasi selama sebulan bermula 22 Oktober ini bermula dari jam 11 pagi dan 8 malam.

“Borang lengkap diisi berserta salinan kad pengenalan dan menepati kelayakan, akan menerima kad Komuter 1Malaysia serta-merta. Setiap kad juga akan dikenakan caj RM1,” katanya pada sidang media di sini, semalam. 

Pada pembentangan Bajet 2013 bulan lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kerajaan bersetuju memperluaskan diskaun 50 peratus itu kepada semua warganegara Malaysia yang berpendapatan RM3,000 ke bawah. 

Pada masa ini, orang kelainan upaya (OKU), pesara dan pelajar menikmati diskaun 50 peratus kadar tambang apabila menggunakan perkhidmatan komuter KTMB. Ia membabitkan stesen komuter KTM di KL Sentral; Kepong Sentral; Tanjung Malim; Subang Jaya; Sentul; Bangi dan Sungai Gadut. 

Tidak perlu penyata gaji 

Sarbini berkata, pihaknya yakin dengan kejujuran rakyat Malaysia dan sehubungan itu, pemohon tidak perlu mengemukakan penyata gaji ketika membuat permohonan kad Komuter 1Malaysia. 

“Dengan adanya diskaun itu, kami juga percaya jumlah penggunaan komuter akan mencecah kepada 300,000 orang berbanding 100,000 penumpang ketika ini, khususnya pengguna harian ke tempat kerja masing-masing,” katanya.




-berita harian/maa.

No comments: