Thursday, March 14, 2013

Bina rumah penjawat awam atas tanah negeri


KUCHING 13 Mac - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menyarankan setiap kerajaan negeri memanfaatkan tanah milik masing-masing dengan membina rumah kos rendah khusus untuk penjawat awam.

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng berkata, buat masa ini masih ramai penjawat awam tidak mampu membeli rumah sendiri berikutan harganya melambung naik.

Katanya, pembinaan rumah di atas tanah milik kerajaan negeri mampu dijual dengan harga lebih rendah berbanding pasaran semasa.

“Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa baru-baru ini mengumumkan kerajaan bercadang membina rumah untuk penjawat awam di atas tanah milik kerajaan di Putrajaya. 

Kosnya pula 25 peratus lebih murah dan bagi kami, cadangan itu amat baik serta perlu disokong.

“Kita harap kerajaan-kerajaan negeri pun mengambil inisiatif sama dengan membina rumah di atas tanah milik masing-masing supaya dapat kurangkan kos beli tanah dan dijual lebih murah," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Yim Pheng menggesa kerajaan mengkaji semula semua jenis elaun termasuk imbuhan tetap perumahan dan bayaran insentif wilayah untuk Sabah dan Sarawak menerusi Sistem Saraan Transformatif (SST) yang diperkenalkan baru-baru ini.

Katanya, berdasarkan kos sara hidup rakyat di negara ini yang semakin meningkat, elaun dan insentif berkenaan perlu dikaji semula termasuk menaikkannya sekitar 10 hingga 15 peratus berbanding kadar sedia ada.
-utusan/maa.

No comments: