Friday, April 19, 2013

PM lancar program PPA1M



Najib Tun Razak tertarik melihat model Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) pada majlis pecah tanah dan pelancaran PPA1M di Putrajaya, semalam. Turut hadir, Ali Hamsa (kanan) dan Aseh Che Mat (dua, kiri). - BERNAMA

PUTRAJAYA 18 April - Perdana Menteri hari ini menyempurnakan majlis pecah tanah dan melancarkan Program Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) untuk fasa pertama membabitkan pembinaan sebanyak 1,256 unit rumah di Presint 17 dan 256 unit di Presint 11 di sini.

Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, rumah yang akan dijual berharga antara RM150,000 dan RM300,000 serta berkeluasan 1,000 hingga 1,500 kaki persegi itu akan dibina dalam beberapa fasa.

Menurut beliau, kediaman itu akan dilengkapi kemudahan tempat letak kereta, surau, dewan serba guna, tadika, taska dan kemudahan sokongan lain.

Tambahnya, rumah yang dijangka siap dalam tempoh 18 bulan itu bukan sahaja selesa dan berkualiti malah penanda arasnya lebih baik berbanding flat badan perumahan dan pembangunan (HDB) di Singapura.

"Kakitangan awam perlu membayar RM2,000 sebagai deposit dan mula membuat bayaran sebaik sahaja berpindah masuk ke rumah itu," katanya dalam majlis itu yang dihadiri lebih 2,000 penjawat awam.

Yang hadir sama, Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa; Presiden Perbadanan Putrajaya (PPj), Tan Sri Aseh Che Mat; Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Datuk Mohamad Zabidi Zainal; Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman dan calon BN Parlimen Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Najib berkata, walaupun dari sudut perniagaan terdapat kesukaran untuk pemaju menyediakan rumah berkualiti pada harga rendah, kerajaan mengambil inisiatif memberikan subsidi dalam bentuk tanah serta menjalin kerjasama dengan pihak swasta membina rumah-rumah mampu milik.

Beliau berkata, antara syarat dikenakan untuk membeli rumah PPA1M ialah pendapatan isi rumah bulanan tidak melebihi RM8,000, terbuka kepada anggota perkhidmatan awam dan badan-badan berkanun serta tidak diisytiharkan muflis.

Tambahnya, keutamaan juga diberikan kepada yang bekerja di Putrajaya selain boleh dijual selepas 10 tahun manakala pemilihan dibuat secara cabutan undi.

"Sebagai kerajaan kita mesti bersikap rendah diri, era kerajaan mengetahui segala-galanya sudah berakhir, namun denyut nadi rakyat dapat saya rasai semasa bersembang-sembang dengan mereka dan saya dapati mereka sangat berkehendakkan rumah," katanya.

Menurut Najib, inisiatif terbaharu kerajaan itu bukan dibuat kerana belas kasihan sebaliknya atas dasar Putrajaya merupakan pusat pentadbiran negara sekali gus mencerminkan penjawat awam sentiasa bersama-sama kerajaan hari ini.
-utusan/aa.

No comments: