Wednesday, August 7, 2013

Perutusan Perdana Menteri Sempena Hari Raya Aidilfitri 2013


Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam 1Malaysia,

1. Pertama-tamanya, bersamalah kita dengan penuh rasa syahdu menggemakan takbir dan kalimah-kalimah tahmid bagi menyambut detik kemenangan pada Hari Raya Aidilfitri yang mulia ini.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd’

Saudara dan saudari,

2. Alhamdulillah, kita rafakkan rasa syukur tidak terhingga, bersempena hari lebaran penuh syahdu dan barakah ini. Pastinya, segala ini mampu dinikmati dek kerana keamanan, kemakmuran serta keharmonian yang wujud. Tentunya juga, dengan izin Allah SWT, kita dalam keadaan bebas daripada peperangan, persengketaan, mahupun bencana alam melampau sepertimana yang melanda saudara-saudara seakidah di beberapa negara seluruh dunia.

3. Justeru, setiap seorang daripada kita perlu menginsafi betapa bukannya mudah untuk membina tapak seterusnya mempastikan keberlangsungan sebuah negara yang stabil seperti Malaysia hari ini. Pucuk pangkalnya, benarlah kata orang bijak pandai bahawa perpaduan bukannya barang boleh diganti, perpaduan bukannya barang yang boleh dijual beli. Jelas sekali, perpaduan nasional yang mapan adalah tunjang kepada haluan Malaysia menjadi sebuah negara maju yang dijangkakan sekitar 7 tahun lagi.

Saudara dan Saudari,

4. Dalam konteks Islam pula, perpaduan nasional yang tuntas tidak mungkin dicapai oleh umat jikalau tiadanya ijmak di dalam perkara-perkara asas beragama, ditambah pula polemik tanpa kesudahan yang akhirnya akan merugikan semua pihak. Makanya, pada hari-hari kebesaran seperti ini, atas nama negara yang tercinta, pupuklah dan teruskanlah menyemai bibit-bibit kesatuan sesama kita, bukannya perpecahan demi pengukuhan perpaduan kebangsaan.

5. Kata orang, yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan. Ini merujuk kepada apa yang dapat kita saksikan di pelbagai sudut dunia, di mana ketidakstabilan dan di mana fahaman melampau, menjadi elemen negatif yang sedang memporak-perandakan sesebuah negara bangsa, hatta menghancurkan kelestarian tamadunnya. Sesungguhnya, kita hendaklah beringat-ingat bahawa untuk membina sebuah peradaban memerlukan tempoh yang panjang. Namun, untuk meranap dan merudumkannya hanyalah dalam sekelip mata.

Saudara dan Saudari,

6. Di Malaysia, Islam bukan sahaja termaktub sebagai Agama Persekutuan dalam Perlembagaan yang merupakan undang-undang tertinggi negara, tetapi juga syiar pengamalannya bersifat meluas merangkumi bukan sahaja bidang ibadah tetapi juga munakahah, muammalah dan jinayah. Melaluinya, kita berjaya mengamalkan Islam sebagai cara hidup yang syumul di negara ini.

7. Dalam konteks yang sama juga, Malaysia adalah negara Islam berasaskan Ahli Sunnah Wal-Jama’ah. Maka, umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jama’ah dari segi akidah, syariah dan keperibadian. Kerajaan juga memperakukan bahawa ajaran Islam yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal-Jama’ah adalah bercanggah dengan Hukum Syarak dan Undang–Undang Islam, dengan demikian penyebaran apa–apa ajaran yang lain daripada pegangan Ahli Sunnah Wal-Jama’ah adalah dilarang.

8. Penetapan dasar ini sesuai dengan konsep maqasid syariah yang meletakkan pemeliharaan agama sebagai objektif utamanya. Dalam hal sebuah negara, sememangnya tanggungjawab menjaga keluhuran dan kesucian agama terletak di bahu pemerintah. Di sinilah Kerajaan Malaysia berperanan menjalankan prinsip memelihara agama dan mentadbir negara berteraskan siyasah syar-iyyah.
9. Lantaran itu, sebagai umat Islam, kita haruslah memahami bahawa penetapan Ahli Sunnah Wal-Jama’ah sebagai mazhab rasmi negara adalah bertujuan untuk mempastikan kesucian akidah dan syariah Islam dapat dibela sekaligus dipertahankan agar perpaduan umat Islam sentiasa berkekalan. Kerana itu, saya menyeru kepada seluruh umat Islam supaya berwaspada dan berhati-hati, janganlah sesekali terpedaya pada pengaruh atau fahaman menyimpang yang sedang menular dan cuba merosakkan tradisi amalan Islam di Malaysia ini.

10. Sejak dahulu, perkembangan syiar Islam di Nusantara dan Malaysia khususnya, menjadi lambang betapa Islam adalah agama yang syumul. Berteraskan Al-Quran dan As-Sunnah, Islam adalah cara hidup yang paling sesuai dengan fitrah manusia dan sesuai untuk semua zaman serta situasi. Dengan demikian, sebagai umat Islam, kita seharusnya berwaspada dan berhati-hati dengan fahaman yang menyongsang daripada ajaran murni Ahli Sunnah Wal-jama’ah selama ini. Pokoknya, kita tidak mahu sifat taksub dan fanatik yang akan mengelirukan rakyat khususnya orang Islam kerana akan memecahbelahkan ummah.

Saudara dan Saudari,

11. Makanya, saya menyeru kepada seluruh rakyat Malaysia, untuk mengambil yang jernih dengan meruntuhkan dan merungkaikan prejudis antara satu sama lain. Bukalah pintu hati dan pintu rumah dengan jujur dan ikhlas dalam meraikan perayaan Aidilfitri. Pada yang berkelapangan teruskanlah tradisi kunjung-mengunjung dan mempertautkan muhibbah rakyat Malaysia.

12. Dalam pada itu, rahmat kesejahteraan yang tercipta, telah membolehkan kita menyambut hari raya dalam suasana damai. Sebab itu, marilah kita juga sama-sama mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada prajurit tanah air terutamanya yang bertugas di perbatasan, serta anggota pasukan keselamatan yang sejak sekian lama telah mempertaruhkan jiwa dan raga mereka demi mempertahankan keamanan dan kedaulatan negara.

13. Akhir kalam, pada kesempatan ini, saya turut menyusun jari sepuluh memohon ampun dan maaf bagi pihak diri saya, isteri serta keluarga di atas apa-apa kekhilafan. Saya juga berdoa ke hadrat Allah SWT supaya kita semua dapat menyambut hari lebaran ini dengan penuh kegembiraaan di samping mereka yang tersayang.

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar, Walillah hil Hamd’
Wabillahi Taufiq Walhidayah Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

YAB. DATO’ SRI MOHD NAJIB BIN TUN HAJI ABDUL RAZAK
PERDANA MENTERI MALAYSIA
-www.1Malaysia.com.my

No comments: