1. Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia. Alhamdulillah, setinggi kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana sekali lagi kita diberi peluang meraikan Sambutan Maal Hijrah 1435 Hijrah. Maal Hijrah telah mengingatkan kita kepada peristiwa hijrah Rasulullah SAW dan para sahabat baginda.
2. Saban tahun, kita pasti akan mengimbau dan mengiktibari peristiwa hebat yang telah menjadi asas kepada gemilangnya cahaya syiar dan syariat Islam ke seluruh alam, merentasi benua dan zaman. Syariatnya abadi menerangi kehidupan menjadi rahmat seluruh insan.
3. Sebagai sebuah negara Islam, kita sentiasa menggarap roh dan semangat hijrah Rasulullah SAW bagi memberikan kita momentum berganda untuk terus melakukan transformasi dan islah buat negara Malaysia ini. Sasaran menjadi negara Islam maju, progresif dan berpendapatan tinggi ini adalah berlandaskan al-Quran dan as-Sunnah yang menuntut kita untuk menjadi satu umat yang wasatiyyah, adil dan terbaik.
4. Justeru, seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, bahasa dan agama hidup berharmoni, mempertahankan kemakmuran dan kesejahteraan bumi bertuah ini untuk kita kecapi bersama dengan sepenuh kesyukuran.
5. Sambutan Maal Hijrah yang kita sambut setiap tahun sebenarnya mengajak umat Islam untuk melakukan perubahan. Dengan melakukan hijrah bersifat semasa, ianya mampu melepaskan seseorang itu dari belenggu kebekuan yang bersifat tradisi. Ianya akan melahirkan umat Islam yang sentiasa berfikiran kreatif dan berinovasi serta relevan dengan zaman dan cabaran arus perdana. Sesuai dengan firman Allah SWT dalam surah Ar-Rad ayat 11 yang bermaksud :
“ Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka sendiri. ”
6. Menghayati pengertian hijrah yang lebih luas, kita tetap memartabatkan agama dan mempertahankan kalimah Allah demi agama, bangsa dan negara tercinta. Malaysia yang menjunjung tinggi perlembagaan dan Islam sebagai agama bagi negara, tetap istiqamah mendaulatkan kedudukan Islam di negara ini berlandaskan Maqasid Syariah dan pendekatan berhemah berkonsepkan Wasatiyyah.
7. Selaras dengan semangat Hijrah, kita juga telah merangka Bajet Tahun 2014 untuk terus mengislah ketahanan ekonomi, memperkasa transformasi dan melaksana janji-janji kepada rakyat. Hakikatnya, Malaysia kini terus berkembang melalui perlaksanaan program-program transformasi ekonomi yang telah kita lancarkan. Perkembangan ini diiktiraf oleh Bank Dunia apabila Laporan Mudah Menjalankan Perniagaan Bank Dunia 2014 meletakkan negara kita pada kedudukan ke tempat ke-6 berbanding tempat ke-12 tahun lalu.
8. Peningkatan ketara ini sekaligus membuktikan komitmen dan kesungguhan kerajaan bagi mentransformasikan Negara kita. Ini mencerminkan kejayaan agenda penghijrahan yang telah dilakukan di dalam negara. Kejayaan ini juga mengukuhkan lagi Malaysia sebagai sebuah Negara Islam contoh apabila satu-satunya negara Islam yang berada dalam kedudukan 10 negara terbaik.
9. Marilah kita berdoa supaya kehidupan pada tahun 1435 Hijrah ini lebih baik dan menjadi insan yang beriman dan bertakwa serta segala dosa diampunkan olehNya. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarganya dan para sahabat.
10. Di kesempatan ini, saya dan keluarga mendoakan agar Sambutan Maal Hijrah 1435H ini dapat memupuk persefahaman dan perpaduan seluruh rakyat Malaysia. Bertemakan “Wasatiyyah Tonggak Kesatuan Ummah”, semoga ianya menjadi pemangkin kepada kemajuan, kestabilan dan kemakmuran negara.
-www.1malaysia.com.my
No comments:
Post a Comment