Friday, May 9, 2014

CUEPACS kecewa laporan produktiviti penjawat awam menurun

KLUANG 7 Mei - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) kecewa dan menempelak laporan Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) yang menyatakan produktiviti penjawat awam hari ini semakin menurun.

Presidennya, Azih Muda berkata, laporan Pemandu kepada kepimpinan tertinggi negara itu itu tidak tepat kerana penanda aras yang digunakan hanya bersandarkan kepada faktor kadar upah yang diberikan dan ia hanya akan menyebabkan penjawat awam berasa terkilan.

"CUEPACS menafikan laporan itu dan kita tidak bersetuju dengan apa yang diperkatakan Pemandu kerana produktiviti penjawat awam pada hari ini jauh lebih baik berbanding dahulu, buktinya lihat kepada pengumuman kerajaan yang menyatakan perkhidmatan kesihatan negara kita berada pada tangga ketiga terbaik di dunia.

"Begitu juga dengan penarafan lima bintang kepada dua pihak berkuasa tempatan (PBT) baru-baru ini," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Agung ke-19 Kesatuan Pembantu Tadbir Pendidikan (Keptan) Cawangan Kluang, di sini hari ini.

Menurut Azih, laporan yang dikemukakan itu dibuat menerusi satu taklimat khas kepada kepimpinan tertinggi baru-baru ini, namun maklumat itu baharu sahaja ‘bocor’ kepada pihaknya semalam dan berharap pihak berkaitan dapat mengkaji semula kenyataan itu.

Mengulas lanjut, dakwa beliau, Pemandu membuat perbandingan mengenai gaji yang diterima penjawat awam ketika ini berbanding kadar upah yang diberikan sebelum ini.

"Kata mereka (Pemandu), dahulu kadar upah penjawat awam rendah tetapi produktiviti tinggi namun apabila ada peningkatan gaji, tahap produktiviti masih sama dan tidak menunjukkan peningkatan. Kita tidak faham mengapa perkara itu yang menjadi ukuran.

"Sebaliknya, Pemandu perlu turun ke bawah untuk melihat cara kerja penjawat awam yang semakin hari berdepan tekanan dan mereka sepatutnya bukan hanya duduk di atas semata-mata untuk mengejar petunjuk prestasi utama (KPI)," tegasnya.

Dalam pada itu, CUEPACS menaruh harapan tinggi mengenai beberapa tuntutan yang dikemukakan pihaknya dalam Persidangan Majlis Perdana Perkhidmatan Awam (Mapa) yang akan diadakan di Putrajaya pada 10 Jun depan.

"Kita berharap kerajaan memberi perhatian segera terhadap tuntutan itu terutamanya tiga perkara penting iaitu penetapan gaji minimum kakitangan awam kepada RM1,200, penyelarasan elaun sara hidup (COLA) di semua kawasan dan penukaran status kuarters kerajaan kepada rumah sewa kerajaan," kata Azih.
-Utusan.

No comments: