Friday, April 24, 2015

CUEPACS Rayu Kerajaan Pertimbang Tempoh Perkhidmatan Pelantikan Pegawai Kontrak - Presiden

ALOR SETAR, 23 April (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini merayu kerajaan mempertimbang semula tempoh perkhidmatan pegawai lantikan secara kontrak.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata, sehingga ke hari ini, banyak aduan diterima pihaknya berhubung tempoh perkhidmatan diberikan hanya setahun ataupun 'berdasarkan tahun ke tahun' sekali gus membantutkan perancangan pekerja terutamanya yang sudah berkeluarga.

"Dalam tempoh enam bulan mereka kena rancang nak sambung perkhidmatan mereka, kita tahu setiap pekerja ada matlamat mereka nak rumah nak keluarga, nak beli kenderaan ada perbelanjaan sekolah, kalau kontrak berdasarkan tahun ke tahun, mereka tak boleh merancang, dan hilang motivasi semangat bekerja.

Usia bekerja di Malaysia dengan kelayakan lebih tinggi, amat wajar kerajaan melantik mereka ini mesti tidak kurang tiga tahun, barulah boleh merancang beli rumah, kenderaan dan perbelanjaan anak-anak," katanya.

Jelasnya, kerajaan turut wajar memberi peluang mereka yang bekerja secara kontrak untuk diberikan jawatan tetap.

Cadangan-cadangan dikemuka CUEPACS ini, kata Azih diyakini tidak akan membebankan kedudukan kewangan kerajaan, malahan CUEPACS berharap cadangan ini dibentangkan dalam Bajet 2016 dan dibawa dalam Rancangan Malaysia ke-11.

"Kita berjuang pastikan pekerja-pekerja tidak dapat kerja ini dapat kerja, manakala mereka yang dilantik kontrak ini ada jaminan, sebab mereka kerja dengan kerajaan, jadi kerajaan kena jaga dia," katanya.
-Bernama.

No comments: