KUALA LUMPUR, 13 Julai (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) meminta kerajaan menambah baik urusan pembiayaan pinjaman perumahan untuk penjawat awam yang dilihat membebankan pada ketika ini.
Presiden Cuepacs, Datuk Azih Muda berkata kerajaan diminta melihat semula kaedah-kaedah yang diguna pakai dalam memproses sesebuah permohonan pinjaman itu.
"Rungutan yang kami dengar hari ini, kami amat kecewa kerana ada pinjaman perumahan ambil masa setahun setengah untuk diluluskan dan bayangkan kalau setahun setengah nak lulus, harga rumah dah berapa?.
"Harapan penjawat awam untuk membeli rumah pada masa sekarang, dia bergantung kepada keperluan sumber kewangan daripada bahagian pinjaman perumahan dan kalau ia tidak mampu beroperasi dengan baik, akhirnya penjawat awam ini tidak mampu membeli rumah pada harga yang dia mampu nak beli," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar mengenai isu perumahan dan jalan raya bersama Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Pudu Sentral di sini, Isnin.
Sehubungan itu, Azih meminta Kementerian Kewangan melihat semula kelemahan yang berlaku dalam bahagian pinjaman perumahan sekali gus menangguh sementara urusan pemindahan bahagian itu kepada badan berkanun selagi masalah pinjaman itu tidak selesai.
"Kita tidak mahu ada persepsi bahawa nak kerja di bahagian pinjaman perumahan ni sebab nak kejar gaji mahal. Bila sudah dikorporatkan mungkin gaji lebih mahal," katanya.
Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah sebelum ini berkata kerajaan telah menubuhkan sebuah badan berkanun yang dikenali sebagai Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) di bawah Kementerian Kewangan untuk menguruskan semua perkara berkaitan pinjaman perumahan penjawat awam.
LPPSA akan memastikan pinjaman perumahan dibuat secara lebih efisien dengan mengekalkan segala terma dan kemudahan sedia ada, katanya.
Turut hadir, Ketua Pengarah JPJ Datuk Seri Ismail Ahmad.
Mereka kemudiannya, mengadakan pemeriksaan bas-bas yang membawa penumpang sempena perayaan Aidilfitri.
-Bernama.
No comments:
Post a Comment