NAJIB TUN RAZAK |
PUTRAJAYA 1 Mei - Kerajaan
telah bersetuju untuk melaksanakan Sistem Insurans Pekerjaan (SIP), kata Datuk
Seri Najib Tun Razak.
Perdana Menteri berkata,
pelaksanaan sistem berkenaan adalah bagi memastikan kira-kira 6.5 juta pekerja
swasta tempatan yang sedia ada di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969
sentiasa terbela dan dilindungi.
Melalui SIP kata beliau,
pekerja akan mendapat bantuan kewangan sementara untuk menyara hidup diri dan
keluarga dalam tempoh tertentu semasa mencari pekerjaan baharu.
“Selain bantuan kewangan,
pekerja yang kehilangan mata pencarian juga akan diberi sokongan perkhidmatan
pekerjaan yang meliputi bantuan carian kerja, pemadanan pekerjaan, kaunseling
kerjaya dan latihan kerjaya untuk mendapatkan pekerjaan baharu.
“Tambahan lagi, bagi melaksanakan
SIP ini, Kerajaan sedang memperhalusi draf Rang Undang-undang SIP, bagi
pembentangan pada sesi persidangan Parlimen yang akan datang,” katanya.
Beliau berkata demikian
ketika menyampaikan amanat Hari Pekerja kepada 5,000 warga kerja yang hadir
pada majlis Perhimpunan Hari Pekerja 2017 di Pusat Konvensyen Antarabangsa
Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Najib
yang juga Menteri Kewangan berkata, seterusnya, kutipan caruman akan
dilaksanakan mulai Januari 2018 dan pemberian faedah kewangan dijangka dibuat
mulai Januari 2019.
Menurutnya, SIP merupakan
satu langkah jangka panjang yang bukan sahaja bertujuan untuk membantu golongan
pekerja terjejas tetapi juga berupaya mengekal dan merancakkan pertumbuhan
ekonomi secara mampan terutama jika berlaku kegawatan.
“Pada hemat saya, SIP ini
ibarat pepatah Melayu menyebut juga sebagai, sediakan payung sebelum hujan.
Oleh yang demikian, saya menyeru kepada semua pihak, khususnya para majikan
untuk menyokong pelaksanaan SIP ini,” katanya.
Dalam pada itu, Najib
memberitahu, kerajaan bercadang untuk memperluaskan liputan Skim Keselamatan
Sosial Pekerjaan Sendiri secara berperingkat-peringkat kepada kategori
pekerjaan informal yang lain seperti para nelayan, petani, pekebun kecil,
penjaja dan penggiat seni.
“Melalui skim ini juga,
orang berinsurans yang menjalankan pekerjaan sendiri, akan dilindungi sekiranya
berlaku kemalangan semasa bekerja atau mengalami penyakit berkaitan pekerjaan,
sebagaimana pekerja dalam sektor formal,” katanya.
-Utusan.
No comments:
Post a Comment