Monday, July 9, 2018

Penjawat awam wajar berpegang nilai murni - Tun M

PERDANA Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menghadiri Majlis Perjumpaan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.-UTUSAN ONLINE

PUTRAJAYA 9 Julai - Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, penjawat awam perlu berpegang kepada nilai-nilai murni dan tidak menyalahguna kuasa serta amanah yang dipertanggungjawabkan.

Menurut Perdana Menteri, warga pentadbir juga wajar memiliki keikhlasan dalam menjalankan tugas untuk menjayakan pembangunan negara.

“Pentadbir dalam negara kita memang mempunyai kuasa untuk mencapai matlamat kita (kerajaan).

“Kuasa bukan untuk perkayakan diri, keluarga atau sahabat handai, kuasa ada matlamat khusus untuk menjayakan negara,” katanya ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Dataran Perdana, Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail dan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa.

Yang hadir sama dua Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang baharu dilantik, Datuk Dr. Mujahid Yusof Rawa dan Liew Vui Keong.

Turut hadir, tiga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Fuziah Salleh, Mohamed Hanipa Maidin dan Dr. Md. Rafik Md. Farid yang turut baharu dilantik.


Perjumpaan itu merupakan kali pertama bagi Timbalan Perdana Menteri dan anggota menteri serta timbalan menteri di Jabatan Perdana Menteri sejak mereka menyertai Kabinet selepas Pakatan Harapan memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
-UTUSAN.

No comments: