SHAH ALAM 12 Okt. - Pegawai kerajaan yang mengikut
arahan ahli politik untuk melaksanakan tugas mereka kini boleh didakwa.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin
Ali berkata, kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan peruntukan
undang-undang yang membolehkan pegawai kerajaan didakwa jika bersekongkol
dengan ahli politik.
Menurutnya, ini bagi memastikan pegawai kerajaan
menjalankan tugas secara profesional dan mengelak arahan yang tidak mematuhi
proses serta prosedur sedia ada.
"Pegawai kerajaan perlu bertindak mengikut
undang-undang.
Mereka tidak boleh mendapat arahan daripada orang politik kerana
jika berlaku sesuatu siapa yang hendak dipertanggungjawabkan?.
"Itu sebab dari awal pegawai kerajaan mesti
meneliti permohonan itu (permohonan yang diterima) mengikut merit dan proses
serta peraturan yang sedia ada," katanya dalam program Bicara Minda di
Komplek Karangkraf di sini hari ini.
Mohamed Azmin memberitahu, kerajaaan juga sudah
membuang slogan 'Saya yang menurut perintah' dan digantikan dengan 'Saya yang
menjalankan amanah' melalui persetujuan Perdana Menteri.
-Utusan.