Showing posts with label Pergerakan Gaji Tahunan. Show all posts
Showing posts with label Pergerakan Gaji Tahunan. Show all posts

Tuesday, October 9, 2018

Harap penjawat awam tidak dibuang


KUALA LUMPUR 8 Okt. – Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan tidak akan mengecilkan jabatan atau agensi dengan bertindak membuang penjawat awam sedia ada.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pihaknya percaya kerajaan akan mengekalkan penjawat awam sedia ada kerana mereka adalah perhubungan kerajaan dengan rakyat.

“Kerajaan sekarang dipilih oleh rakyat malah mereka juga masih berorientasikan rakyat malah berkhidmat untuk rakyat.

“Mengenai kajian agensi yang mempunyai tugas bertindih, kami percaya kerajaan ada cara untuk menyelesaikannya dan kita harap selepas ia diselesaikan, pemantapan organisasi akan berlaku,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar semalam bahawa kerajaan sedang mengkaji beberapa jabatan dan agensi yang mempunyai pertindihan fungsi selepas penyusunan dilakukan.

Tambah Azih, beliau berharap ke­naikan yang diumumkan kerajaan lalu itu tidak akan dibatalkan kerana ia me­rupakan sesuatu yang ditunggu-tunggu penjawat awam.

“Kita berterima kasih kepada Ketua Setiausaha Negara kerana sudi untuk bantu dan kaji.

“Gaji yang diperoleh penjawat awam jika mahu diban­dingkan dengan kos sara hidup adalah masih rendah jadi kita harap ia tidak dibatalkan,” katanya.
-Utusan.

Wednesday, May 23, 2018

Kenaikan gaji tahunan penjawat awam ditentukan semula

PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersalaman dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa ketika tiba di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Status Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi semua penjawat awam berkuat kuasa 1 Julai ini akan ditentukan semula kerajaan baharu nanti.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata pengumuman kenaikan KGT pada 1 Julai itu dilakukan kerajaan terdahulu dan kini terpulang kepada kerajaan baharu sama ada mahu melaksanakannya atau sebaliknya.

"KGT itu adalah janji (kerajaan) dahulu, sekarang kita serah kerajaan baru untuk tentukan. Kita ikut manifesto kerajaan sekarang.

"Jadi, esok ada mesyuarat Kabinet, kita tunggu, mungkin perkara ini akan diputuskan kemudian," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.

Pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) kali ke-16 pada 4 April lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan bersetuju memberikan kenaikan gaji bersamaan satu KGT kepada semua penjawat awam berkuat kuasa 1 Julai 2018.

"Ini bermakna penjawat awam mendapat tambahan satu lagi KGT disamping gaji tahunan yang diterima bagi tahun 2018," katanya.

Terdahulu, Ali tiba di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini pada jam 2.25 petang sebelum meluangkan masa lebih satu jam bertemu Perdana Menteri.

"Pertemuan hari ini adalah rutin harian sahaja," katanya.
-Berita Harian.

Wednesday, April 4, 2018

Buah tangan dari Perdana Menteri untuk penjawat awam, pesara


PUTRAJAYA 4 April - Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak mengumumkan khabar gembira kepada 1.6 juta penjawat awam pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-16 bahawa kerajaan bersetuju memberi kenaikan gaji bersamaan satu kenaikan gaji tahunan dengan implikasi kewangan sebanyak RM1.46 bilion ringgit berkuatkuasa mulai 1 Julai 2018.

Beliau berkata ini bermakna penjawat awam mendapat tahunan 1 lagi kenaikan gaji tahunan disamping pergerakan gaji tahunan yang diterima bagi tahun ini.

Selain itu beliau turut mengumumkan:-

2- Pemendekan tempoh time-based kali kedua kepada kumpulan pelaksana daripada 13 tahun kepada 10 tahun mulai 1 Januari 2018.

3- Mewujudkan lapisan Gred 56 bagi skim pegawai perkhidmatan pendidikan (berkuatkuasa 1 Januari 2019).

4- Pemanjangan kemudahan perubatan kepada ibu bapa bagi pegawai lantikan kontrak warganegara (berkuatkuasa 1 Julai 2018).

5- Dana tahunan kepada Cuepacs RM3 juta setahun.

6- Kemudahan cuti tanpa rekod keagamaan kepada penajwat awam bukan islam maksimum 7 hari (berkuatkuasa Januari 2018).

7- 1% Kenaikan kadar pencen tahunan secara one off untuk tahun 2018 sebagai tambahan kepada 2% yang diterima pesara pada 1 Januari 2018.

8- Pemberian Geran Khas RM1 juta kepada Persatuan Pesara bagi tahun 2018

9.- Menetapkan kuota haji untuk persatuan pesara kerajaan.

-Utusan.

Tuesday, October 17, 2017

Gaji, kos sara hidup & rasuah

Beberapa khabar gembira untuk penjawat awam akan diumumkan dalam Bajet 2018. Wah! Setiap tahun hampir ada sahaja habuan ‘istimewa’ kepada pekerja sektor kerajaan atau awam. Pengumuman Bajet 2018 yang akan dibentangkan pada 27 Oktober ini pasti memberi harapan kepada penjawat awam seluruh Malaysia.

Kalau kerajaan nak beri, lebihkan peruntukan kepada golo­ngan kakitangan bawahan. Pemerhatian CUEPACS sejak beberapa tahun lalu mendapati skala gaji rendah dan kos sara hidup tinggi mungkin menjadi antara faktor penjawat awam terbabit rasuah.

Bagaimanapun rantaian masalah kos sara hidup tidak pernah berkurangan. Jika kerajaan mahu naikkan gaji lagi, bagaimana dengan harga barangan. Takkan peniaga hanya melihat kaki­tangan kerajaan sahaja banyak duit.

Peniaga juga hendak merasa sedikit wang yang kakitangan dapat. Maka harga barangan mungkin naik juga. Bagaimana pula orang ramai yang bukan bekerja dengan kerajaan? Tanggung apa sahaja kenaikan harga barangan?

Mengekang kenaikan kos hidup dan menaikkan gaji adalah dua perkara berbeza. Berdasarkan pengalaman lalu, menaikkan gaji secara mendadak pun tidak ada guna, sebab kenaikan harga barangan bagaikan selari dengan kenaikan gaji sektor awam. Umum sahaja kenaikan gaji minggu depan, hari ini harga barangan sudah naik.

Tambahan pula agensi penguatkuasaan kerajaan masih lemah dalam hal ini. Mekanisme yang lemah perlu diperbaiki dengan segera untuk mengelakkan masalah ekonomi ini memberi kesan pula kepada permasalahan sosial.

Selama ini pun gaji bulanan golongan bawahan mahupun pertengahan dan atasan jarang-jarang yang cukup. Segelintir orang guna jalan rasuah untuk tampung kekurangan itu. Sebenarnya amalan rasuah berlaku dalam sektor awam dan swasta – asalkan ada urusan melibatkan wang.

Gaya hidup

Tetapi punca amalan rasuah da­lam kalangan penjawat awam ialah nafsu, iaitu gaya hi­dup me­­lebihi pendapatan. Tidak mengukur baju di badan sendiri. Bukan semua penjawat awam begitu – hanya se­gelintir penjawat awam bergaya hidup mewah dengan buat pinjaman peribadi – bila hutang tak dapat dijelaskan, rasuah dijadikan sandaran. Ber­beza dengan pega­wai awam gred tinggi yang bergaji besar, hidup mewah dan ada kuasa tapi segelintir lakukan rasuah juga.

Untuk menanganinya, elok sangat diberikan ganjaran serta per­lin­dungan kepada pemberi maklumat, terutama daripada pihak dalaman. Ganjaran itu bo­leh menggalakkan penjawat awam melaporkan kegiatan rasuah sekali gus mampu meng­hapuskan rasuah dalam kalangan penjawat awam di negara ini.

Hakikatnya sampai sekarang, go­lo­­ngan sokongan masih takut me­la­por­kan ketua jabatan yang ra­suah. Mere­ka takut terjejas masa depan ker­jaya dan peluang kenaikan pangkat. Apa pun kadangkala go­longan sokongan dan ketuanya sama-sama amal rasuah.

Tahniah Suruhanjaya Pen­cegahan Rasuah Malaysia (SPRM) ber­jaya melakukan beberapa tang­kapan dan penyelewengan dalam kes-kes rasuah terbesar di Malaysia khasnya sejak tahun lalu.

Dalam konteks politik masa kini, tahap kebolehpercayaan ins­­ti­tusi kerajaan di mata rakyat bergantung kepada sejauh mana pemerintah dan penjawat awam dapat mengelakkan diri daripada terjebak dengan amalan rasuah dan salah guna kuasa.

Bukan mudah untuk memerangi amalan rasuah dan salah guna kua­sa. Sikap belas kasihan kepada pesa­lah rasuah masih menjadi asas pertimbangan dalam proses tindakan tatatertib. Siasatan sesuatu kes tidak hanya berakhir dengan tindakan menghadapkan suspek ke mahkamah semata-mata.

Sebaliknya, banyak kes yang disiasat SPRM dikemukakan sebagai Laporan SPRM untuk tindakan tatatertib. Atas dasar simpati, suspek-suspek ini terlepas daripada hukuman berat seperti ditamatkan perkhidmatan dan hanya diberikan surat teguran atau amaran sahaja.
-Utusan.

Saturday, September 30, 2017

Cuepacs minta 2 kenaikan gaji


KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini meminta kerajaan mempertimbangkan insentif 2 kenaikan gaji tanpa mengira kumpulan pekerjaan dan pangkat.
Presidennya Datuk Azih Muda berkata inisiatif itu akan membantu meringankan beban penjawat awam yang berdepan kos sara hidup tinggi.
“Selain itu, Cuepacs juga meminta kerajaan mengkaji semula kadar elaun khidmat awam (bagi kumpulan paling rendah) yang kini sebanyak RM95. Kali terakhir elaun ini disemak adalah pada 2002.
“Sudah sampai masanya kerajaan menetapkan kadar minimum elaun ini sebanyak RM180. Ini cadangan Cuepacs,” katanya pada sidang media.
Beliau berkata beberapa cadangan itu diharap diberi pertimbangan khusus menjelang Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam ke-15 (MAPPA XV) yang dijadual berlangsung pada 3 Oktober ini.
Kongres itu juga, menurut Azih memohon kerajaan mempertimbangkan untuk memperluas kenaikan pangkat secara ‘time-based’ kepada kumpulan penjawat awam lain.
“Time-based kali pertama telah dilaksanakan kepada kumpulan pelaksana. Time-based kali pertama, kedua dan seterusnya diberikan kepada kumpulan guru. Kita minta kumpulan-kumpulan bukan guru dan kumpulan dalam perkhidmatan awam yang lain dipanjangkan untuk time-based dalam tempoh terdekat.
“Diharap cadangan ini dipertimbangkan dan berkuat kuasa mulai 1 Januar tahun hadapan. Hanya majikan (kerajaan) yang boleh membantu penjawat awam untuk memastikan mereka bukan lagi berada dalam keadaan susah atau miskin,” katanya.
Dalam pada itu, Cuepacs juga berharap kerajaan dapat mempertimbangkan beberapa cadangan dan tuntutan yang dikemukakannya demi memelihara kebajikan dan integriti penjawat awam.
Timbalan Presiden II Cuepacs Zainal Ismail berkata pihaknya menuntut kerajaan supaya mempertimbangkan kenaikan gaji asas penjawat awam, elaun, bonus dan kenaikan gred untuk  diumumkan pada pembentangan Bajet 2018.
“Kami menuntut semakan gaji dapat dibuat dengan mempertimbangkan kenaikan gaji tahunan, menyelaraskan beberapa elaun, bonus sebulan gaji dan tempoh kenaikan gred daripada 13 tahun kepada 10 tahun.
“Permohonan ini diharap dapat dipertimbangkan supaya penjawat awam dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik setanding dengan negara-negara maju,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Dwitahunan Kali ke-14 Kesatuan Sekerja Kakitangan Makmal (KSKM) Malaysia di Kepala Batas.
Katanya tuntutan itu juga seiring dengan hasrat kerajaan yang ingin meningkatkan mutu perkhidmatan awam berkelas dunia dan pihaknya sangat berharap kerajaan dapat menunaikannya bagi memberi inspirasi kepada penjawat awam.
Zainal berkata Cuepacs telah menghantar semua tuntutan dan cadangan itu kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan berharap ia dapat direalisasikan serta diumumkan pada pembentangan Bajet 2018.
Katanya Cuepacs  bukan kumpulan yang ingin menekan kerajaan tetapi tuntutan itu dibuat berdasarkan kepada kemampuan kerajaan yang pihaknya tahu bahawa pimpinan sekarang mampu merealisasikannya.
Beliau berkata ketika ini terdapat 1.602 juta penjawat awam di negara ini yang berkhidmat kepada kerajaan untuk memajukan negara dan sentiasa membela kerajaan.
“Kestabilan ekonomi negara kita sekarang mendapat pengiktirafan antarabangsa, dan Cuepacs yakin tuntutan itu tidak akan membebankan kerajaan demi kepentingan penjawat awam,” katanya.
-http://www.freemalaysiatoday.com

Friday, June 30, 2017

KSN Akan Jumpa Cuepacs Bincang Penambahbaikan Sektor Penjawat Awam


KUALA LUMPUR, 29 Jun (Bernama) -- Kerajaan akan berjumpa pihak Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bagi membincangkan cadangan menambah baik sektor penjawat awam termasuk cadangan kongres berkenaan supaya gaji penjawat awam dan pencen pesara dinaikkan sehingga tiga peratus.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata perjumpaan itu akan diadakan dalam masa terdekat.

Ali mengulas kenyataan Cuepacs sebelum ini yang dilapor mencadangkan supaya perkara berkenaan diberi pertimbangan sewajarnya oleh kerajaan dalam Bajet 2018.

Beliau ditemui pemberita selepas mengadakan tinjauan di KL Sentral dan laluan pejalan kaki baharu yang menghubungkan pusat sehenti pengangkutan rel awam itu dengan Stesen Transit Aliran Massa Muzium Negara, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, mengulas lanjut Ali menarik perhatian bahawa kerajaan telah memberi kenaikan tiga peratus secara automatik kepada penjawat awam yang telah mencapai tahap maksimum tangga gaji masing-masing, sejak dua tiga tahun lepas.

"Dulu penjawat awam apabila sampai ke had maksima gaji, kena tunggu naik pangkat (untuk naik gaji), tetapi sekarang memang dah automatik...kita laksana sejak 2014," katanya.
- BERNAMA.

Friday, July 1, 2016

‘Rezeki’ sebelum Raya - PM umum kenaikan gaji baharu 1.6 juta penjawat awam


NAJIB TUN RAZAK sewaktu mempengerusikan Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputra
bilangan 6/2016 di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya, semalam.

KUALA LUMPUR 30 Jun - Sambutan Hari Raya Aidilfitri bagi kira-kira 1.6 juta penjawat awam pada tahun ini cukup bermakna apabila mereka akan menikmati kenaikan gaji baharu mulai esok, yang dikuatkuasakan secara serentak dengan pelaksanaan gaji minimum RM1,200.

Berita gembira tersebut diumumkan Datuk Seri Najib Tun Razak menerusi laman Facebook­nya, sebagai menepati janji kerajaan Barisan Nasional (BN) selepas pengumuman mengenainya terlebih dahulu dibuat Perdana Menteri ketika membentangkan Bajet 2016, Oktober tahun lalu.

Pada masa yang sama, keupayaan kerajaan melaksanakan janji tersebut mengikut jadual ditetapkan membuktikan ekonomi negara bukan sahaja stabil tetapi kekal berdaya tahan biarpun persekitaran ekonomi global berada dalam keadaan tidak menentu ketika ini.

“Meskipun berdepan tohmahan dan pelbagai fitnah, terutamanya berkenaan keadaan kewangan kerajaan dan negara. Malah ada yang berkata kita akan jatuh muflis dan sebagainya, kerajaan tetap meletakkan kepentingan serta kebajikan rakyat sebagai yang paling utama.

“Insya-Allah, bermula bulan Julai 2016, kenaikan satu tangga gaji dan gaji minimum RM1,200 kepada penjawat-penjawat awam seluruh negara akan mula dilaksanakan seperti mana yang telah saya umumkan dalam Bajet 2016 yang lalu,” kata Perdana Menteri di sini hari ini.

Dalam Bajet 2016, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan kenaikan gaji baharu serta pelaksanaan gaji minimum tersebut adalah sebahagian daripada program Rasionalisasi Skim Perkhidmatan Bagi Perkhidmatan Awam Persekutuan di Bawah Sistem Saraan Malaysia.

Menerusinya, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1.4 bilion untuk menambah baik perkhidmatan awam berkuat kuasa 1 Julai 2016, termasuk memberi satu kenaikan gaji tahunan, menambah baik 252 skim perkhidmatan serta melaksanakan gaji permulaan (minimum) RM1,200.
-Utusan.

Saturday, June 4, 2016

Cuepacs Ikrar Terus Perjuangkan Hak Dan Kebajikan Penjawat Awam - Azih

KUALA KANGSAR, 3 Jun (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berikrar untuk terus memperjuangkan hak dan kebajikan penjawat awam temasuk mendapatkan kenaikan tangga gaji dan bonus.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata kerajaan perlu memberikan kenaikan gaji dan bonus selaras dengan bebanan yang ditanggung penjawat awam ketika ini.

"Walaupun adanya kenaikan gaji, namun ia sedikit dan tidak mencukupi bagi mereka yang mempunyai lebih tanggungjawab...jika kerajaan tidak memberi bantuan terutamanya untuk menghadapi Ramadan, ia akan memberi tekanan kepada penjawat awam," katanya kepada Bernama hari ini.

-Bernama.

Friday, March 4, 2016

Kenaikan Gaji Penjawat Awam Tetap Dilaksanakan 1 Julai Ini - KSN

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Kerajaan tetap melaksanakan kenaikan satu tangga gaji bagi 1.4 juta penjawat awam pada 1 Julai ini seperti yang dijanjikan dalam Bajet 2016, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata gaji minimum penjawat awam sebanyak RM1,200 sebulan juga akan dilaksanakan pada tarikh sama.

"Kerajaan juga tidak akan berhentikan penjawat awam termasuk mereka yang dilantik secara kontrak," katanya semasa menutup Konvensyen Perumahan Penjawat Awam bertema 'Rumah Idaman Menjamin Kualiti Hidup' di sini, hari ini.

Turut hadir Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda dan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (ANGKASA) Datuk Abdul Fattah Abdullah.

Ali berkata kesemua inisiatif itu membuktikan komitmen kerajaan terhadap kebajikan rakyat terutamanya penjawat awam walaupun dalam persekitaran ekonomi yang mencabar.

Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan amat turut mengambil berat dalam isu kebajikan mereka dengan melaksanakan program perumahan seperti Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) yang diperkenal sejak 2013.

"Setakat ini, sebanyak 300 unit rumah berharga RM90,000 telah diluluskan untuk pembinaan, dan unit-unit ini dikhaskan kepada mereka yang berpendapatan kurang daripada RM1,2000 sebulan.

"Namun, kerajaan akan kaji semula (perkara ini) agar lebih ramai penjawat awam dari golongan ini dapat memiliki rumah," katanya.

Sehingga hari ini, sebanyak 48,695 unit PPA1M telah diluluskan dan sedang dalam pelbagai peringkat pelaksanaan.

Pada majlis itu, Azih menyerahkan senarai 15 resolusi kepada Ali untuk kerajaan mengkaji semula Dasar Perumahan Negara 2011.

Antara intipati resolusi itu, yang merupakan hasil perbincangan bersama antara Cuepacs dan ANGKASA, adalah memastikan semua penjawat awam khasnya kumpulan B40/M40 mampu memiliki rumah idaman bagi menjamin kualiti hidup.

Selain itu Cuepacs dan ANGKASA meminta kerajaan mengkaji semula Akta dan Peraturan Perumahan serta Akta Kanun Tanah Negara, mewujudkan bank tanah dan bank data perumahan negara.

-Bernama.

Friday, January 29, 2016

One Annual Salary Increment For Civil Servants In July Remains As Promised - Najib

PUTRAJAYA, Jan 28 (Bernama) -- Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak has given the assurance that the one annual salary increment for the 1.6 million civil servants on July 1 this year will be implemented as promised in Budget 2016.

In addition, he said, the government would not dismiss any civil servant, including those appointed on contract.

Najib, who is also Finance Minister, said the government would continue to exercise fiscal consolidation measures by giving priority to high-impact programmes centred on the 'people economy' philosophy.

"This will not involve the emoluments of civil servants, pensions of retirees, as well as not affect the government's delivery mechanism," he said when announcing the recalibration of Budget 2016 here today.

-Bernama.

Sunday, January 3, 2016

Civil servants, govt pensioners to receive bonuses tomorrow

KUALA LUMPUR: A total of 2.6 million people comprising civil servants and pensioners will receive a windfall in the form of bonuses and a special one-off payment, tomorrow (Jan 4).

In accordance with the announcement made by Prime Minister Datuk Seri Najib Razak during the tabling of the 2016 Budget last October, the payout will involve an allocation of RM645 million.


This will see 1.6 million civil servants receive a payment of RM500 each, said a statement from the government today. Around one million government pensioners will receive a payment of RM250 each.


Civil servants are also set to receive several other incentives under the 2016 Budget. The measures, set to be implemented on July 1 this year at a cost of RM1.4 billion, will involve among others, an upgrading of service schemes which will benefit 406,000 civil servants. 


The basic starting salary in the civil service, fixed at RM1,200 a month, will benefit 60,000 civil servants. In addition, almost 50,000 pensioners who have 25 years of service under their belt will enjoy a fixed minimum pension of RM950 a month.


Officers on contract who have served at least 15 years will be absorbed into permanent service. This will benefit around 10,000 contract staff.

-nst online.

Friday, October 23, 2015

Bajet 2016: Pemberian Khas RM500 Kepada 1.6 Juta Penjawat Awam

KUALA LUMPUR, 23 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan memberikan pemberian khas sebanyak RM500 kepada kira-kira 1.6 juta penjawat awam.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sebanyak 700,000 pesara kerajaan pula akan menerima bayaran khas RM250.

"Kedua-dua bayaran ini yang berjumlah hampir RM1 bilion akan dibuat pada bulan Januari 2016," katanya ketika membentangkan Bajet 2016 bertemakan 'Mensejahtera Kehidupan Rakyat' di Dewan Rakyat Jumaat.

Dalam pada itu, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan bersetuju menambah baik beberapa perkara bagi menghargai sumbangan dan khidmat bakti kakitangan perkhidmatan awam.

Ini termasuk menetapkan gaji permulaan terendah dalam perkhidmatan awam kepada RM1,200 sebulan yang akan memanfaatkan 60,000 penjawat awam, selain menambah baik 252 skim perkhidmatan yang bermanfaat kepada 406,000 penjawat awam.

"Kerajaan juga bersetuju menetapkan kadar pencen minimum RM950 sebulan yang melibatkan hampir 50,000 pesara awam dengan sekurang-kurangnya 25 tahun tempoh perkhidmatan," katanya.

Selain itu, Najib berkata kerajaan akan memberi faedah pemindahan gaji bersamaan satu kenaikan gaji tahunan mengikut gred, yang akan memanfaatkan 1.6 juta penjawat awam dengan peruntukan RM1.1 bilion.

Tambah beliau, pegawai lantikan 'Perkhidmatan Kontrak" yang telah berkhidmat sekurang-kurangnya 15 tahun dalam perkhidmatan awam juga akan dilantik secara tetap.

Kesemua pelaksanaan itu dengan peruntukan sebanyak RM1.4 bilion akan berkuat kuasa 1 Julai 2016, katanya.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa mengucapkan terima kasih dan merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas pengumuman beberapa tindakan penambahbaikan dalam skim perkhidmatan dan kesejahteraan penjawat awam yang akan dilaksanakan mulai 1 Julai 2016.

"Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, kerajaan secara berterusan mengambil berat dan prihatin terhadap kebajikan penjawat awam sama ada yang masih berkhidmat ataupun yang sudah bersara," katanya dalam satu kenyataan.

Sehubungan itu, Ali berkata semua penjawat awam hendaklah terus meningkatkan usaha dan produktiviti dalam pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) serta mengukuhkan tahap integriti dan memastikan perbelajaan kerajaan secara berhemah.

Kejayaan pelaksanaan RMK11 menjadi penentu kepada pencapaian Malaysia sebagai sebuah negara maju berpendapatan tinggi pada tahun 2020, katanya.

-Bernama.

Tuesday, August 18, 2015

Penjawat Awam Tanggung Kerugian RM50 Juta Akibat Rumah Dibeli Terbengkalai - Cuepacs

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Kerugian yang dialami golongan penjawat awam akibat membeli rumah daripada syarikat pemaju perumahan yang tidak bertanggungjawab dianggarkan melebihi RM50 juta dalam tempoh 10 tahun, kata Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) itu berkata, sehingga hari ini, pihaknya telah menerima lebih daripada 1,000 aduan daripada penjawat awam yang berkhidmat di seluruh negara, dan majoritinya ialah daripada golongan tentera.

"Ada antara mereka yang telah membuat pembayaran deposit setinggi RM36,000, ada yang telah dipotong gaji tetapi sehingga hari ini rumah tak ada ... dan tiada siapa yang tampil membantu mereka.

Sesetengah kes pula, apabila diadu kepada Jabatan Perumahan Negara (JPN), mangsa dimaklumkan bahawa syarikat pemaju ini tidak mempunyai lesen, dan ini lebih merumitkan keadaan," katanya pada sidang media di Wisma Cuepacs, di sini hari ini.

Azih berkata, Cuepacs mahu pihak kerajaan, khususnya Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan dapat melihat perkara ini secara serius kerana ia membebankan mangsa-mangsa yang terdesak untuk memiliki kediaman sendiri.

Selain itu, Azih berkata, beliau mahu Cuepacs diberi peranan yang lebih luas dalam menyuarakan pendapat berkenaan isu perumahan itu, serta diberi peluang untuk berbincang dengan Kementerian Kewangan dalam usaha menyelesaikan kemelut.

Mengenai pembentangan Bajet 2016 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak Oktober ini, Azih berkata, pihaknya berharap agar kerajaan dapat menggunakan hasil dari kutipan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk membantu empat golongan sasar, iaitu kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU), warga emas, dan golongan berpendapatan rendah.

Beliau berkata, empat golongan ini antara yang terjejas teruk akibat peningkatan kos sara hidup sejak kebelakangan ini.

"Kita minta kerajaan kaji semula dalam bajet Oktober nanti, atau di luar pembentangan bajet, supaya keperluan untuk anak-anak, OKU, orang tua, dan orang miskin ini hendaklah dibantu," katanya lagi.

Selain itu, Azih berkata, Cuepacs mengulangi gesaannya agar kerajaan dapat percepatkan pelaksanaan penambahbaikan 252 skim perkhidmatan dengan cadangan gaji minimum baharu RM1,200.

Beliau berkata, pelaksanaan itu dapat membantu mereka yang berada dalam Kumpulan Pelaksana I dan II serta kumpulan menengah dalam menangani kenaikan kos sara hidup.

-Bernama.

Tuesday, June 16, 2015

CUEPACS Gesa Kerajaan Laksana Penambahbaikan 252 Skim Perkhidmatan Awam

KOTA KINABALU, 16 Jun (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menggesa supaya kerajaan mengumumkan pelaksanaan dan penambahbaikkan 252 skim perkhidmatan awam menjelang perhimpunan Majlis Perdana Perkhidmatan Awam esok.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata CUEPACS masih menanti pelaksanaan skim perkhidmatan awam seperti yang dibentangkan dalam pembentangan belanjawan pada Oktober tahun lepas.

"Sebagai penjawat awam, sudah tentulah mereka menaruh harapan kepada kerajaan sebagai majikan dan sehingga kini, masih belum dapat gambaran jelas tarikh sebenar pelaksanaan skim ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri pelancaran Minggu Tanpa Tembakau peringkat negeri di Auditorium Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini Selasa.

Minggu Tanpa Tembakau peringkat negeri itu dilancarkan oleh Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Borhan Dolah.

Menurut Azih, CUEPACS juga berharap pelaksanaan skim perkhidmatan itu dapat dikuatkuasakan bermula Januari tahun ini.

Pada pembentangan Bajet 2015, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah memberi jaminan kerajaan akan menambah baik 252 skim perkhidmatan awam termasuk skim kenaikan gaji, dan 81 daripadanya sudah dilaksanakan secara berperingkat.

Azih juga berkata pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sejak April lepas turut memberi kesan kepada penjawat awam apabila ada peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan.

Oleh itu, beliau berharap elaun rumah, elaun perumahan wilayah bagi Sabah dan Sawarak dan elaun sara hidup diselaraskan di seluruh negara.

"Kami minta bantuan kerajaan untuk lihat semula kadar ini agar lebih munasabah, lebih mampu supaya penjawat awam dapat memberi fokus kepada produktiviti masing-masing," katanya.

-Bernama.

Monday, June 15, 2015

CUEPACS Harap Najib Umum Kenaikan Gaji Rabu Ini

ALOR SETAR, 14 Jun (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap gaji minimum penjawat awam RM1,200 sebulan antara yang bakal diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Himpunan Penjawat Awam dijadual Rabu ini.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata ini kerana kenaikan gaji itu dari RM900 kepada RM1,200 sebulan mampu meringankan penjawat awam untuk menampung kos sara hidup yang semakin meningkat.

"Sudah tentu penjawat awam tertunggu-tunggu kenaikan gaji mereka. Mereka harap Najib akan umumkan sesuatu yang menggembirakan mereka dalam menyambut Ramadan dan musim perayaan Aidilfitri tidak lama lagi," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata selain itu Cuepacs turut meminta elaun rumah penjawat awam di Semenanjung, Sabah dan Sarawak diselaraskan memandangkan sewa rumah agak tinggi pada masa ini.

Katanya ada kalangan penjawat awam menerima elaun rumah pada kadar RM180 sebulan sedangkan kadar sewa rumah paling rendah lebih RM300 sebulan.

"Kerajaan perlu selaraskan elaun tersebut agar ia tidak membebankan penjawat awam yang sentiasa berdiri teguh di belakang kepimpinan Najib," katanya.

-Bernama.

Saturday, June 13, 2015

Cuepacs Gesa Kerajaan Segera Umum Kenaikan Gaji Dan Bonus

Datuk Azih Muda
KUCHING, 12 Jun (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu supaya kerajaan segera mengumumkan kenaikan gaji untuk penjawat awam.

Presidennya Datuk Azih Muda berkata kenaikan itu mestilah lebih baik memandangkan pekerja dalam sektor awam di negara ini berhadapan dengan cabaran kos sara hidup yang masih jauh jurangnya dengan kadar upah yang diterima.

"Penjawat awam kini tertanya-tanya bila lagi kerajaan akan mengumumkan kenaikan gaji, bulan puasa ini ada atau tidak ada bonus.

"Inilah masa yang terbaik untuk kerajaan umumkan kenaikan gaji, elaun, elaun wilayah serta penambahbaikan 252 skim gaji dan elaun penjawat awam bagi mengurangkan bebanan mereka dalam keadaan ekonomi tidak menentu kini," katanya ketika berucap pada Majlis Penghargaan Hari Pekerja 2015 dan Malam Mesra Hari Gawai 2015 di sini, malam tadi.

Beliau berkata walaupun keadaan kewangan negara kurang stabil ketika ini tetapi ia bukan alasan untuk kerajaan tidak mengumumkan kenaikan gaji kepada penjawat awam yang telah menunjukkan komitmen dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing.

Azih berkata kepimpinan Cuepacs akan terus memperjuangkan hak dan kebajikan penjawat awam di negara ini.

-Bernama.

Monday, April 20, 2015

Gaji Pokok Baharu Kumpulan Gred 11 Diumum Hujung Tahun

PUTRAJAYA, 20 April (Bernama) -- Kerajaan akan mengumumkan kadar gaji pokok baharu bagi 3,072 kakitangan awam kumpulan Gred 11 yang menerima gaji antara RM823 hingga RM850 pada hujung tahun ini, kata Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Katanya kumpulan gred terendah dalam perkhidmatan awam itu yang terdiri daripada mereka yang memasuki sektor awam melalui Penilaian Menengah Rendah (PMR), antaranya pembantu am rendah, pembantu operasi dan pemandu, berpendapatan keseluruhan termasuk gaji dan elaun antara RM1,257 hingga RM1,275.

Beliau berkata ia akan merupakan semakan keempat bagi Gred 11 setelah tiga kali semakan iaitu pada tahun 2002 dengan gaji minimum RM480, 2007 (RM649) dan 2013 (RM832).

"Kerajaan memang prihatin kumpulan yang mendapat gaji minimum rendah. Kerajaan sedang merancang untuk memberi kenaikan gaji kepada mereka dan dijangka umum pada hujung tahun ini.

Kita sedang mengkaji secara menyeluruh pada satu tahap yang bersesuaian. Kita akan tengok pada keadaan semasa," katanya dalam sidang media di sini Isnin.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Azih Muda sebelum ini dilaporkan berkata terdapat 400,000 penjawat awam di negara ini masih menerima gaji serendah RM805 sebulan.

Mohamad Zabidi berkata kerajaan juga akan mengumumkan semakan gaji bagi 252 skim gaji dan elaun untuk semua kumpulan kakitangan awam pada hujung tahun ini.

"Kajian semula ini dijangka diumum pada hujung tahun ini," katanya.

-Bernama.

Saturday, April 18, 2015

JPA nafi ada penjawat awam terima gaji RM805 sebulan


PUTRAJAYA 17 April – Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menafikan terdapat kira-kira 400,000 penjawat daripada kumpulan pelaksana menerima gaji antara RM805 dan RM820 sebulan.

Jabatan itu sebaliknya menjelaskan, amaun gaji bagi gred 11 iaitu gred paling rendah dalam perkhidmatan awam adalah antara RM832 hingga RM850 manakala pendapatan bulanan mereka boleh mencecah RM1,275 jika termasuk elaun.

“Menurut rekod rasmi kerajaan, jumlah penjawat awam yang 


me­nerima gaji RM850 ke bawah ialah 3,072 orang,” demikian 

menurut kenyataan yang dikeluarkan JPA.

“Jumlah pendapatan keseluruhan untuk kelompok ini iaitu gaji dan elaun ialah antara RM1,257 hingga RM1,275.

Menurutnya, mereka yang menerima gaji tersebut 


kebanyakannya adalah pembantu am dan pemandu yang 

masuk ke perkhidmatan awam menggunakan kela­yakan 

Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda sebelum ini dilapor mendedahkan terdapat 400,000 penjawat awam di negara ini masih menerima gaji serendah RM805 sebulan.
-Utusan.

Thursday, April 16, 2015

400,000 Penjawat Awam Masih Terima Gaji Serendah RM805 Sebulan

JOHOR BAHARU, 16 April (Bernama) -- Terdapat 400,000 penjawat awam di negara ini masih menerima gaji serendah RM805 sebulan, kata Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda.

Beliau berkata, mereka yang menerima gaji sedemikian kebanyakannya adalah pembantu am dan pemandu yang masuk ke perkhidmatan awam menggunakan kelayakan Penilaian Menengah Rendah (PMR).

"Yang menerima gaji minimum itu ialah golongan pelaksana dan mereka adalah rakyat serta aset kepada kerajaan dan negara. Jika aset ini tidak dijaga, kita bimbang mereka terkesan dan tidak dapat menumpukan sepenuhnya jiwa dan raga untuk meningkatkan produktiviti.

Selain itu, mereka juga tidak akan dapat memberikan pendidikan yang baik kepada anak-anak disebabkan kewangan yang tidak mencukupi, di samping tidak mampu menanggung kos kesihatan yang kini meningkat 120 peratus," katanya.

Azih berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Forum Ekonomi Penjawat Awam 2015 di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas tuntutan CUEPACS yang mahukan kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam sebanyak 35 peratus bagi menjadikan RM1,200 sebulan sebagai gaji minimum.

Azih berkata pihaknya berharap kerajaan dapat memberi pertimbangan sewajarnya kepada permintaan tersebut memandangkan kos sara hidup kini meningkat di kawasan bandar-bandar utama.

"Kita faham kedudukan kewangan kerajaan berubah mengikut pertambahan bilangan rakyat. Akan tetapi evolusi yang berlaku menyebabkan kos sara hidup meningkat di bandar-bandar utama.

"Di Johor contohnya, penjawat awam sudah hampir tidak boleh hendak menyesuaikan kehidupan," jelasnya.

Selain meningkatkan gaji, kongres itu juga meminta kerajaan agar menyemak semula kadar pengecualian cukai pendapatan penjawat awam sehingga 100 peratus sebagai mengurangkan bebanan kos sara hidup yang terpaksa ditanggung masa kini.

-Bernama.

Wednesday, March 25, 2015

Cuepacs Harap Kerajaan Umum Pelaksanaan 252 Skim Perkhidmatan Sebelum 1 Mei

IPOH, 24 Mac (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan akan memberi jawapan terhadap gesaannya agar 252 skim gaji dan elaun dikaji semula dan ditambah baik sebelum sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei ini.

Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata pihaknya yakin elaun dan perubahan gaji skim itu tidak melibatkan pertambahan yang besar dalam peruntukan perbelanjaan mengurus kerajaan.

"Kami yakin dengan keupayaan yang kerajaan ada selepas pelaksanaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (CBP), tarikh penguatkuasaan untuk skim ini kita minta berkuat kuasa mulai Januari 2015 kepada semua," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Program Sepetang Bersama Presiden Cuepacs Malaysia di sini hari ini.

Azih berkata kerajaan sepatutnya melakukan semakan gaji yang tertanggguh sejak 15 tahun berikutan peningkatan kos sara hidup yang begitu tinggi ketika ini.

Katanya beliau berharap Cuepacs akan diberi laluan untuk bertemu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam masa terdekat bagi menyampaikan keluh kesah dan luahan penjawat awam dari seluruh negara.

"Kami jumpa kali terakhir untuk semakan gaji SSM pada 2005 manakala pada 2007 tidak ada semakan gaji cuma kenaikan 25 peratus untuk kos sara hidup dan pada 2011 kerana berpindah skim," katanya.

-Bernama.