Showing posts with label KWSP. Show all posts
Showing posts with label KWSP. Show all posts

Friday, April 24, 2015

CUEPACS Sambut Baik Pengumuman Perdana Menteri, Kekal Umur 55 Tahun Keluar KWSP

ALOR SETAR, 23 April (Bernama) -- Kesediaan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak campur tangan dalam isu pengekalan hak pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada umur 55 tahun disambut baik Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS).

Presidennya Datuk Azih Muda berkata, mekanisme sedia ada iaitu pengeluaran KWSP pada umur 55 tahun adalah sesuai dan diterima baik oleh kebanyakan pencarum sebagai umur pra persaraan.

"Kerana kita lihat jangka hayat hidup umur 50-59 tahun ini kadar kematian lebih 16,000 setahun, tinggi jadi kalau nak kekalkan 60 tahun memang payah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Najib hari ini mengumumkan pencarum KWSP boleh mengekalkan hak mereka untuk mengeluarkan caruman pada usia 55 tahun.

Azih berkata, ia turut mengambil kira situasi di negara ini iaitu dari aspek kos sara hidup dan tekanan kerja.

"Sebab itu kita nak 55, sekurang-kurangnya bila seseorang bersara dia dah ada perancangan, soal cukup ke tidak tak perlu risau, pandai-pandailah mereka (pencarum) jaga.

Kalau pihak-pihak tertentu rasa tak cukup, bolehlah tambah gaji sekurang-kurangnya bila tambah gaji, kenaikan gaji, simpanan meningkat," katanya.

Baru-baru ini, KWSP dilaporkan sedia menimbangkan untuk meminda had umur yang dibenarkan bagi pencarum mengeluarkan caruman mereka daripada 55 tahun sekarang kepada usia persaraan 60 tahun, yang mendapat kritikan pelbagai pihak.

Dalam pada itu beliau turut menasihatkan para pencarum untuk bijak mencari sumber pendapatan lain untuk kegunaan semasa dan hari selepas persaraan.

"Pastikan simpanan ada gandaan tinggi, pencarum bukan sahaja perlu bijak, tapi merancang kewangan dengan bijak," katanya.
-Bernama.

Sunday, April 12, 2015

Syor KWSP tidak rasional – CUEPACS


Bekas Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman (kanan) Presiden CUEPACS yang Baru, Azih Muda (tengah) dan Timbalan Presiden 1 CUEPACS, Zainal Ismail mengankat tangan selepas keputusan pemilihan pada Majlis Konvensyen Tritahunan CUEPACS ke-26 di Menara PGRM, di sini hari ini.Gambar : Riduan Rizal AhmadPemberita : Saifulizam / Zul Mansor

KUALA LUMPUR 11 April - Cadangan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk menyelaraskan umur pengeluaran simpanan persaraan ahlinya hampir kepada usia persaraan 60 tahun adalah tidak rasional kerana perkara itu melibatkan hak pekerja.

Timbalan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Zainal Ismail berkata, perkara itu juga perlu dibincangkan bersama pihak-pihak berkepentingan sebelum sebarang keputusan dibuat.
Katanya, tempoh pengeluaran tersebut adalah tidak relevan memandangkan pada usia itu kebanyakan pekerja memerlukan wang untuk pelbagai rancangan seperti menampung kos perubatan dan sara hidup.


Semalam, ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, cadangan itu dibuat kerana kaji selidik bebas yang dijalankan oleh pakar ekonomi serta penyelidikan dalaman KWSP menunjukkan rata-rata orang cenderung untuk menghabiskan simpanan persaraan mereka dalam tempoh tiga hingga lima tahun selepas membuat pengeluaran penuh.

“Dalam isu ini, KWSP tidak berhak menentukan keputusan kerana ia melibatkan hak ahli mereka,” katanya yang dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

“Kita perlu meneliti daripada segala aspek. Bagaimana jika seseorang pekerja bersara awal dan ingin menggunakan wang simpanan KWSP mereka. Adakah mereka harus menunggu sehingga berusia 60 tahun,” katanya.

Sementara itu, Zainal berkata, KWSP perlu meneliti cadangan tersebut secara terperinci dengan mengambil kira implikasi sekiranya pekerja ingin bersara awal.
Dalam pada itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), N. Gopal Kishnam berkata, cadangan tersebut tidak praktikal untuk dilaksanakan kerana dikhuatiri boleh menimbulkan kekeliruan kepada pencarum.
Beliau turut mencadangkan pengeluaran wang caruman KWSP sebagai satu pilihan sama ada pada usia 55 tahun atau 60 tahun, bukannya ditetapkan umur mandatori.
“Mana-mana ahli KWSP yang ingin kekal dan mengeluarkan wang simpanan mereka pada usia 60 tahun adalah terpulang kepada mereka namun KWSP tidak harus menghalang pencarum yang mahu mengeluarkan wang pada usia 55 tahun,” katanya.
-Utusan.

Saturday, December 8, 2012

Opsyen baharu pencen staf awam


TANJUNG MALIM 7 Dis. - Kerajaan bercadang memperkenalkan skim yang bakal memudahkan pertukaran keluar masuk ke perkhidmatan awam di negara ini tanpa terikat dengan sistem pencen mulai 2014.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman berkata, cadangan yang hanya melibatkan lantikan baharu itu bagaimanapun adalah pilihan kepada sistem pencen sedia ada.

Beliau berkata, skim dinamakan Faedah Persaraan Bercarum (FPB) itu pernah dicadangkan pada 2005 namun ditolak CUEPACS kerana caruman dan faedahnya yang sedikit.

Menurutnya, CUEPACS telah diberi taklimat semalam oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Bahagian Pasca Perkhidmatan dan skim itu ketika ini baru dibincangkan di peringkat awal.

"Kita belum membuat sebarang keputusan dan akan membawa perkara ini ke kongres untuk melihat pro dan kontranya supaya tiada sebarang pihak yang teraniaya.

"Melalui skim ini, seseorang yang berhenti daripada kerajaan contohnya, pada umur 40 tahun akan dibayar penuh, kemudian kerja di syarikat milik kerajaan (GLC) dan boleh kembali bekerja di sektor awam dengan skim FPB yang sememangnya lebih baik daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis bicara eksekutif isu kenaikan gaji, elaun dan tuntutan CUEPACS di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), di sini hari ini.

Sempena majlis tersebut, beliau turut melancarkan Skuad Pengguna, penerbitan Suara Perjuangan Kelab Perkhidmatan Awam (KPA) dan Tabung Gaza oleh UPSI.

Omar berkata, skim FPB itu berkemungkinan menarik minat golongan muda peringkat atasan iaitu gred 41 ke atas yang gemar bertukar pekerjaan selain tidak terikat dengan kerajaan.

Namun katanya, skim itu juga boleh mendatangkan kesan kepada penjawat awam peringkat bawahan kerana tidak mendatangkan pulangan caruman yang banyak.

"Bagaimanapun, skim ini tidak melibatkan mereka yang sedang dalam perkhidmatan ketika ini," jelasnya yang turut mengakui negara lain termasuk Singapura telah melaksanakan skim seumpama itu.
-utusan/maa.

Friday, July 20, 2012

Pengeluaran KWSP: CUEPACS mahu pekerja diberi pilihan

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mencadangkan agar pekerja diberi pilihan untuk mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada umur 55 atau 60 tahun. 

Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng, berkata cadangan itu susulan maklum balas daripada kumpulan pelaksana yang tidak bersetuju pengeluaran caruman KWSP hanya pada umur 60 tahun. "Kita perlu melihat tiga kategori pekerja iaitu berpendapatan tinggi, sederhana dan rendah. Biasanya pekerja berpendapatan sederhana dan rendah amat memerlukan wang untuk menyelesaikan hutang dan pinjaman sebelum bersara. 
"Ada yang menggunakan wang persaraan untuk pendidikan anak-anak," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini. 

Sehubungan itu, katanya, isu tersebut mesti diteliti terlebih dahulu sebelum dilaksana. 

Isu pengeluaran KWSP pada usia 60 tahun itu timbul susulan pembentangan Rang Undang-undang Persaraan Minimum 2012 untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada bulan lalu yang menetapkan umur persaraan minimum pekerja swasta dilanjutkan kepada 60 tahun, berkuat kuasa Januari tahun depan. 

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Dr S Subramaniam, dilapor berkata kerajaan belum membuat keputusan berhubung had umur pengeluaran caruman KWSP. Ketika ini, caruman KWSP boleh dikeluarkan apabila pencarum mencapai usia 55 tahun.
-bernama/maa.

Monday, October 17, 2011

Ahli KWSP simpanan RM3,000 ke atas diminta namakan waris

KUALA LUMPUR 17 Okt. – Semua ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) khususnya mereka yang mempunyai sekurang-kurangnya RM3,000 dalam simpanan perlu menamakan waris kepada simpanan mereka. KWSP berkata tanpa penamaan, keluarga atau waris terdekat pencarum yang meninggal dunia terpaksa melalui proses yang sukar dan memakan masa untuk menuntut simpanan ahli.

"Ahli yang mempunyai sekurang-kurangnya RM3,000 dalam simpanan KWSP dan belum membuat penamaan waris harus menyahut seruan ini dengan segera. Amaun ini cukup besar untuk disalurkan kepada tanggungan mereka,” kata Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar dalam kenyataan di sini hari ini. Katanya proses penamaan waris hanya mengambil masa beberapa minit sahaja di mana ahli hanya perlu mengisi Borang KWSP 4 dan menyerahkan kepada cawangan KWSP terdekat.

Menurutnya penamaan KWSP akan mengatasi wasiat bertulis dan bagi ahli beragama Islam yang mempunyai penamaan, penama akan bertindak sebagai pentadbir (wasi) yang bertanggungjawab mengagihkan simpnanan itu mengikut Hukum Faraid.

Nik Affendi berkata tanpa penamaan, keluarga atau waris terdekat perlu mendapatkan Surat Kuasa Mentadbir, Sijil Probet atau Perintah Pembahagian dari pihak berkuasa bagi menyokong tuntutan simpanan ahli yang meninggal dunia. "Langkah itu perlu bagi mengelak penipuan pengeluaran dan memastikan simpanan ahli diberi kepada mereka yang benar-benar berhak,” katanya.

- Bernama/maa.