Showing posts with label Perkeso. Show all posts
Showing posts with label Perkeso. Show all posts

Friday, May 1, 2015

Cuti Tanpa Rekod Penjawat Awam Bagi Urusan Kematian Diperluas

KUCHING, 1 Mei (Bernama) -- Kemudahan cuti tiga hari buat penjawat awam bagi urusan kematian anggota keluarga terdekat merangkumi suami atau isteri, anak serta ibu dan bapa kandung, diperluaskan kepada ibu dan bapa mentua, ibu dan bapa angkat serta anak angkat yang sah di sisi undang-undang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kemudahan itu yang berkuat kuasa 1 Julai, adalah antara inisiatif kerajaan dalam menambah baik pelaksanaan kemudahan Cuti Tanpa Rekod buat kakitangan kerajaan.

Selain itu, beliau berkata kerajaan juga memutuskan agar Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) meneruskan program saringan kesihatan percuma bagi pekerja sektor swasta yang berumur 40 tahun, dengan menyediakan perkhidmatan bergerak bagi membolehkan pemeriksaan saringan kesihatan diadakan di premis majikan.


Perdana Menteri mengumumkan demikian semasa berucap pada majlis sambutan Hari Pekerja peringkat kebangsaan di Pusat Konvensyen Borneo Kuching di sini yang dihadiri kira-kira kira-kira 10,000 orang.

Turut hadir ialah Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem, Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Richard Riot, anggota Kabinet persekutuan dan negeri, di samping Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Mohd Khalid Atan dan Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Datuk Azih Muda.

Najib seterusnya mencadangkan supaya Perkeso memperluaskan liputan perlindungan keselamatan sosialnya kepada semua pekerja tempatan dalam sektor swasta tanpa mengira had gaji, dengan siling caruman pekerja yang diinsuranskan ditingkatkan daripada RM3,000 kepada RM4,000.

Perkeso telah melaksanakan program saringan kesihatan percuma bagi pekerja sektor swasta yang berumur 40 tahun dan ke atas sejak 2011.

Pada masa ini, liputan skim keselamatan sosial Perkeso dihadkan kepada pekerja yang bergaji RM3,000 dan ke bawah.

Cadangan ini dijangka memberi manfaat langsung dalam bentuk nilai faedah yang lebih tinggi perlindungan Perkeso kepada tambahan kira-kira 500,000 orang pekerja, daripada 6 juta kepada 6.5 juta orang pekerja.

Semua pekerja dalam sektor swasta akan layak menikmati faedah perlindungan Perkeso secara automatik.

-Bernama.

Sunday, July 14, 2013

63,000 kakitangan awam kontrak kini dilindungi Perkeso


MARAN 14 Julai - Nasib lebih 63,000 kakitangan kerajaan bertaraf kontrak dan sementara dalam perkhidmatan awam kini lebih terbela kerana kerajaan mencarum untuk mereka kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak 1 Jun lalu.

Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Ismail Mutalib berkata, mereka tidak perlu bimbang kerana dilindungi insurans bagi mengelak menanggung kesusahan jika terbabit dalam kemalangan atau musibah yang tidak dijangkakan.

Katanya, seperti pencarum Perkeso lain, golongan tersebut juga akan dilindungi mengikut peruntukan di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja, 1969 serta kelayakan, terma dan syarat dan tatacara ditetapkan di bawah Peraturan-Peraturan (Am) Keselamatan Sosial Pekerja 1971.


"Secara mudahnya, mereka akan menerima faedah sama dengan pekerja swasta berdasarkan skim perlindungan yang disediakan Perkeso, antaranya Skim Keilatan meliputi pencen ilat, pendidikan dan pencen penakat.


"Selain itu, mereka juga akan dilindungi Skim Bencana Pekerjaan dengan mendapat perlindungan setelah mengalami kemalangan seperti perubatan, hilang upaya sementara dan kekal, pendidikan, orang tanggungan serta pengurusan jenazah ," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Ziarah Ramadan di masjid Felda Jengka 2 di sini semalam yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin.
-utusan.

Wednesday, June 12, 2013

Penjawat awam sementara, kontrak carum Perkeso

KUALA LUMPUR 10 Jun - Penjawat awam bertaraf sementara dan kontrak yang bergaji RM3,000 sebulan atau kurang layak mencarum dalam skim Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso) mulai 1 Jun lepas, kata Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk K. Selvarajah.

Beliau berkata, pekerja yang menerima gaji bulanan lebih RM3,000 dan tidak layak mencarum di bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerja, masih boleh mencarum dengan syarat majikan dan pekerja setuju memilih untuk diliputi skim Perkeso dengan mengemukakan notis pilihan.

Bagi pekerja yang sebelum ini telah mencarum dan pada masa sekarang bergaji melebihi RM3,000, mereka wajib untuk terus mencarum selaras dengan prinsip sekali layak mencarum terus layak mencarum," katanya.

"Perkeso akan memastikan semua pekerja dan majikan memahami perkara ini dengan menganjurkan taklimat ke seluruh negara bermula hari ini," katanya kepada Bernama selepas merasmikan Taklimat Perlindungan Keselamatan Sosial Perkeso Kepada Penjawat Awam Bertaraf Sementara dan Kontrak di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini, hari ini.

Selvarajah berkata penjawat awam akan menerima faedah yang sama dengan pekerja swasta berdasarkan dua skim perlindungan yang disediakan Perkeso.

"Skim pertama ialah Skim Bencana Pekerjaan iaitu Perkeso memberi perlindungan kepada pekerja yang mengalami kemalangan dengan faedah-faedah seperti perubatan, hilang upaya sementara dan kekal, pendidikan, orang tanggungan dan pengurusan mayat.

"Skim kedua ialah Skim Keilatan iaitu meliputi pencen ilat, pendidikan dan pencen penakat," katanya.

Beliau berkata, caruman yang perlu dibayar penjawat awam adalah sama dengan pekerja swasta iaitu kategori pertama ialah caruman untuk Skim Bencana Pekerjaan dan Pencen Ilat; dan kategori kedua ialah Skim Bencana Pekerjaan.

Kategori pertama melibatkan pekerja belum mencapai umur 60 tahun iaitu syer dibayar majikan ialah 1.75 peratus dan pekerja 0.5 peratus, manakala kategori kedua pekerja berumur melebihi 60 tahun iaitu syer caruman 1.25 peratus hanya dibayar majikan, katanya.

Sementara itu, Selvarajah berkata, majikan yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang pekerja dikehendaki mendaftar dengan Perkeso dalam tempoh tidak lewat 30 hari daripada tarikh diambil bekerja.
-bernama/utusan.