Friday, August 21, 2009

Selamat Menyambut Bulan Ramadhan

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera.

22 Ogos 2009 umat Islam dijangka akan mula berpuasa di Bulan Ramadhan. Sebagai seorang Islam, kita disaran untuk melakukan banyak ibadah kerana Bulan Ramadhan adalah bulan yang amat istimewa didalam Islam. Pada bulan inilah, dibuka pintu syurga dan di tutup pintu neraka dan diikat para syaitan disepanjang bulan ini.

Tanggal 31 Ogos 2009 pula kita akan menyambut hari kemerdekaan Negara yang ke 52. Kita hendaklah bersatu padu, menjaga hubungan baik antara kaum demi kesejahteraan Negara kita agar kekal aman untuk diwarisi oleh anak cucu kita dimasa hadapan.

Disamping itu dengan penularan wabak H1N1 yang agak ketara sekarang ini, kita hendaklah sentiasa menjaga diri dan keluarga kita daripada dijangkiti oleh Virus yang amat merbahaya ini. Kita hendaklah sentiasa menggunakan penutup mulut setiap kali kita keluar khususnya semasa membeli-belah di Bazaar Ramadhan serta di pasaraya bagi kelengkapan berbuaka puasa dan berhari raya.

Akhir kata, saya dan AJK Kesatuan mengucapkan SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN AL-MUBARAK KEPADA SEMUA AHLI KESATUAN SERTA WARGA TOURISM MALAYSIA YANG BERAGAMA ISLAM dan SELAMAT MENYAMBUT HARI KEMERDEKAAN NEGARA KALI KE 52.

Wassalam.


JAMALUDIN JANTAN
Presiden
Kesatuan Pekerja-Pekerja
Tourism Malaysia

20 Ogos 2009

Tuesday, August 18, 2009

Retoriknya Seorang Jurugambar

Klik … klik …. klik … tersenyum simpul kedua mempelai di atas pelamin. Gembira terpancar jelas di ruang litup wajah mereka. Jibam sibuk ke kiri dan ke kanan mencari sudut trampil yang jelas dan kreatif. Tertonggeng-tonggeng Jibam mengambil gambar. Biarlah dia susah asal kedua mempelai dan keluarga gembira bila melihat hasilnya nanti.
Jibam seorang jurugambar dan beginilah kebiasaannya dia bekerja. Tapi, apa retoriknya dia berupa demikian?

“Aku nak cari duit tambahan. Hari biasa aku kerja dengan gomen, kumpul duit 3 tahun baru lah dapat beli kamera … boleh belajar ambil gambar, boleh kerja extra dapat duit untuk anak dan bini” ~ untuk cari duit lebih, itu retoriknya.
Klik...klik...klik... berpeluh Raman (bukan nama sebenar) hari ini. Segala sudut di Menara Kuala Lumpur sudah dijajahinya. Di luar, di dalam malah di kaki Bukit Nenas pun sudah diredahnya. Dia bertugas hari ini. Tertonggeng-tonggeng dia bekerja. Faktor cahaya, bayang dan objek sangat diambil kira.Biarlah berpeluh sehingga basah pakaiannya asal bos puas tengok hasilnya nanti.

Dia seorang jurugambar. Habis di sini, terus ke Tasik Perdana kemudian ke Tasik Titiwangsa sebelum balik semula ke pejabat menyambung kerja. Kesian, letih dia bekerja. Tapi, apa retoriknya dia berupa demikian?
”Setiap kali gambar yang aku ambil menjadi, aku berasa puas. Sekurang-kurangnya inilah sumbangan aku pada industri ini. Pegawai-pegawai lain boleh gunakannya untuk buat brosur, poskad dan majalah. Apa yang penting integriti dan imej organisasi terpilihara melalui gambar-gambar yang aku ambil. Bersemangat lah sikit buat kerja” ~ untuk kepuasan diri serta tanggungjawab pada organisasi, itu retoriknya.
Klik ... klik ... klik ... semua orang diam dan berpandangan sesama sendiri. Apa hal pula jurukamera ini tertonggeng-tonggeng mengambil gambar orang yang sedang beratur untuk membeli makan? Perut yang lapar berhenti sekejap kerana terpinga-pinga melihat keletah jurukamera yang satu ini. Tidak pula disuruh senyum atau bergaya. Namun, dia terus juga mengambil gambar semua orang di pantri. Apa retorikya dia mengambil gambar kami yang sibuk nak menapau makan pagi ini?

”Kami pekerja contoh. Waktu kerja bermula dari pukul 8.30 pagi. Sesiapa yang membeli makan atau makan selepas waktu ini akan dirakamkan gambarnya sebagai bukti. Semua orang sepatutnya jujur dan ikhlas bekerja. Waktu kerja sudah bermula. Sehubungan dengan itu, proses makan atau membeli makan selepas waktu ini dianggap telah melanggar peraturan bekerja dan boleh diambil langkah-langkah tatertib” ~ untuk membuktikan orang lain tidak mematuhi peraturan, tidak komited dan tidak ikhlas bekerja, itu retoriknya atau itukah?

Waktu kerja pun sebenarya subjektif. Ada yang masuk kerja pukul 7.30 pagi, 8.00 pagi dan 8.30 pagi. Jika mengambil kira mereka yang masuk kerja kul 7.30 pagi maka, pukul 8.00 pagi akan menjadi kesalahan bagi mereka jika keluar untuk makan pagi. Jika mereka masuk pukul 8.00 pagi pula maka akan menjadi kesalahan bagi mereka jika mereka makan pagi pada pukul 8.30 pagi. Jadi, siapa yang akan memastikan mereka ini tidak menyalahi peraturan waktu bekerja?
Jika mengambil kira mereka yang tinggal di Rawang, Kajang, Bangi mahupun Seremban ~ mereka perlu keluar rumah seawal 6 pagi. Azan subuh pun sekarang mulai berkumandang pada pukul 6.00 pagi. Bayangkan jika solat subuh pun mereka berebut hendak kerjakan apatah lagi sarapan pagi. Pada hari biasa mungkin mereka sempat sampai awal untuk membeli sarapan dan selamat dari lensa ajaib tersebut, tapi kita manusia kan, siapa yang tak pernah tertinggal tren? Lebih-lebih lagi tren KTM yang hampir rutin tidak mengikut jadual dan sentiasa rosak di tengah jalan.

Jika diambil kira tempoh perjalanan dari Seremban ke PWTC mengambil masa selama sejam, maka jika mereka tertinggal tren pada pukul 6.30 pagi, mereka perlu tunggu tren seterusnya pada pukul 7 pagi (itu pun kalau KTM ikut jadual) dan akan sampai pada pukul 8.00 pagi. Kita ambil kira pula tempoh berjalan kaki dari stesyen Putra ke Menara Dato’ Onn selama 10 minit. Gedebuk-gedebak (bak kata orang Melayu) sampai kul 8.15 pagi. Punch card di pejabat kemudian melepas lelah berjalan kaki (semua kita adalah working class) untuk seketika kemudian berkejar pula ke tingkat 32 atau 17. Sampai di sana sambil menepuk dahi apabila melihat barisan manusia yang sama-sama kelaparan sedang sabar menanti giliran untuk mengintai sedikit makanan dan minuman. Bila tiba giliran kita sudah pun pukul 8.45 atau 9.00 pagi. Pada waktu itulah jua datang si jurugambar yang tidak diketahui retorik perbuatannya itu tertonggeng-tonggeng mencari sudut yang sesuai untuk dimuatkan ke dalam kamera digital yang kecil dan tidak menarik itu.

Persoalannya ~ Adakah perlu menahan lapar kerana situasi seperti yang dibayangkan di atas ini semata-mata hendak menunjukkan kita bagus, komited dan ikhlas bekerja dalam organisasi? Tidak semua mempunyai kelebihan dipandu ke tempat kerja mahupun penyedia makanan di waktu pagi. Tidak semua juga yang mempunyai kelebihan untuk memanggil orang lain membelikan makanan dan dihantar kepadanya sambil dia membetulkan kot yang berjenama dan mahal di pejabatnya. Tidak semua!

Seorang yang berpangkat besar dan aku sanjungi ketika ini pernah berkata sesuatu tentang bab makan ini ~ sampai sekarang aku masih mengingatinya; beliau pernah menyebut bahawa perkara makan ini tidak boleh dikompromi, lebih-lebih lagi bila pada waktu makan itu sahajalah manusia akan berasa rendah diri kerana terpaksa menundukkan sedikit kepala sewaktu menyuapkannya ke mulut. Tidak kiralah tentang kelas dalam hierarki masyarakat kita, semuanya akan terpakai. Boleh aku katakan bahawa perkatannya itulah yang membuatkan aku memiliki pandangan jelas tentang rasa syukur setiap kali sesuap nasi masuk ke dalam mulut kecil yang satu ini.

Maka, retoriknya tidak berhenti pada komitmen, keikhlasan mahupun tanggungjawab seseorang kepada kerjanya tetapi bersambungan kepada keseluruhan rantai yang mengikat tanggungan kemanusiaannya. Akal.
Klik...klik...klik.... ke mana pula lah aku selepas ini?

Friday, July 31, 2009

Ucapan YDP Kesatuan Sempena Kepulangan Y.Bhg Dato Ketua Pengarah

Assalamualaikum, Y.Bhg. Dato’.

Saya bagi pihak AJK Kesatuan dan ahli-ahli mengucapkan TAHNIAH di atas kepulangan semula Y.Bhg. Dato’ ke Tourism Malaysia selaku Ketua Pengarah.

Untuk makluman, kami semua tertunggu-tunggu akan kehadiran semula Y.Bhg. Dato’ ke Tourism Malaysia dan kami memang percaya sejak dari awal bahawa Y.Bhg. Dato’ tidak bersalah dan kebenaran akhirnya berpihak ke pihak Y.Bhg. Dato’.

Semoga kepulangan semula Y.Bhg. Dato’ ke Tourism Malaysia dapat mengeratkan lagi kerjasama antara Pengurusan Tertinggi dan Kesatuan demi kesejahteraan pegawai/kakitangan serta ahli-ahli khasnya dan industri pelancongan amnya.

Terima kasih.


“1 MALAYSIA, RAKYAT DIDAHULUKAN, PENCAPAIAN DIUTAMAKAN”



(JAMALUDIN JANTAN)
Yang Dipertua
Kesatuan Pekerja-Pekerja
Tourism Malaysia

Thursday, July 30, 2009

Perhimpunan Bulanan Julai 2009

Sedikit berita berkaitan perhimpunan bulanan kepada ahli Kesatuan yang tidak dapat hadir.
--------------------------------------------------------------------------------------------

Perhimpunan bulanan Kementerian Pelancongan Malaysia telah diadakan pada 29 Julai 2009, jam 4.30pm, bertempat di MATIC. Hadir bersama dalam perhimpunan berkenaan adalah Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Y.Bhg Dato' Mirza Mohammed Taiyab, yang menerima tepukan gemuruh dari staf-staf Tourism Malaysia dan Kementerian.

Sedikit sedutan yang dapat dicatat semasa perhimpunan berkenaan:-

1. Y.Bhg Dato' KSU dan Y.Berhormat Datuk Seri Dr. Ng Nyen Nyen mengucapkan tahniah atas kembalinya Dato' Mirza untuk bertugas.
2. Y.Berhormat Menteri mengucapkan terima kasih kepada semua staf di atas kerjasama sebagai 1 pasukan yang telah diberikan.
3. Beliau juga menyentuh berkaitan laporan akhbar berkenaan Shanghai Expo yang telah disalah tafsirkan oleh pemberita dan pihak pembangkang. Beliau mengingatkan supaya semua staf menjaga maklumat-maklumat penting agar tidak disalahgunakan oleh pihak luar demi menjaga nama baik Kementerian.
4. Cabaran kepada sektor pelancongan dimana H1N1 telah menyebabkan jumlah pelancong menurun. YB Datuk Seri telah meminta supaya akhbar dan Kementerian Kesihatan tidak terlalu menonjolkan isu berkenaan bagi mengelakkan salah faham daripada pelancong luar yang akan menggambarkan Malaysia sebagai tempat yang tidak selamat.
5. Kementerian juga akan memfokuskan kepada homestay bagi menaiktaraf penduduk-penduduk luar bandar. Ini kerana di masa ini dari 430 buah rumah homestay, hanya 10% yang ada penginap. Kementerian akan mempromosikan dan menggalakan homestay melalui program Cuti-Cuti Malaysia dan Malaysia Truly Asia.
6. Beliau menyentuh berkaitan tarian 1 Malaysia yang akan diperkenalkan nanti dan meminta semua staf supaya mempelajarinya. Tarian ini adalah gabungan tarian poco-poco, Cina, India, Sabah, Sarawak, Org Asli dan Zapin. Tarian ini juga dipersembahkan untuk tontonan hadirin semasa perhimpunan.
7. Akhirnya, beliau mengingatkan semua staf supaya sentiasa ceria dan bersemangat dalam menjalankan tugas. Happy Ministry But Hard Working.


Kesatuan - terima kasih Y.B Datuk Seri kerana sentiasa memberi semangat dan motivasi kepada semua staf semasa perhimpunan bulanan.

Wednesday, July 29, 2009

Selamat Kembali Dato' Mirza

Dato' Mirza, Ketua Pengarah Tourism Malaysia dijadualkan akan memulakan tugas hari ini, 29 Julai 2009. Kesatuan mengucapkan Selamat Kembali Bertugas, semoga kerjasama antara Kesatuan dan Pihak Pengurusan akan berjalan dengan lebih baik.

Friday, July 24, 2009

Dato' Mirza bebas dari tuduhan rasuah

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini melepas dan membebaskan bekas Ketua Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Mirza Mohammad Taiyab daripada tuduhan rasuah tanpa dipanggil membela diri. Hakim Datuk Zainal Abidin Kamaruddin berkata, pihak pendakwaraya telah gagal membuktikan kes terhadap Mirza.

Oleh itu, katanya, Mirza dilepas dan dibebaskan dari tuduhan tersebut.Mirza, 52, dituduh menerima suapan RM13,860, daripada Zulhisyam Ayob, 48, pengarah syarikat Perunding Pakar Media, di mana syarikat itu telah membiayai rawatan pergigian Mirza di Clinical Practise Prosthodontic.

Dia didakwa melakukan kesalahan berkenaan di klinik itu di No.15, Tingkat Bawah, Jalan 2/71 Off Jalan Tun Mohd Fuad, Taman Tun Dr Ismail, antara 17 Januari dan 26 Julai 2005.Pada masa itu, Mirza adalah timbalan ketua pengarah 1 di Kementerian Pelancongan, manakala abangnya, Mirza Mohd Tariq merupakan rakan pengurusan di syarikat Perunding Pakar Media. Jika didapati bersalah, Mirza berdepan dengan hukuman dua tahun penjara, didenda atau kedua-duanya sekali.Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Mirza berkata keputusan mahkamah itu membersihkan dirinya daripada sebarang tuduhan. Katanya, beliau telah digantung tugas dan berdepan dengan penghinaan akibat tuduhan tersebut. Mirza telah digantung tugas sejak 13 Ogos tahun lalu dan beliau akan memutuskan langkah seterusnya apabila lembaga disiplin kementerian berkenaan bersidang.

Tuesday, July 7, 2009

PEKERJA KTM - MEMO KEPADA PM

Jimadie Shah Othman Jun 23, 09 9:53am
Bantahan pekerja KTM Berhad terhadap pelantikan Sarbini Tijan sebagai pemangku pengarah urusan syarikat tersebut kini dipanjangkan untuk perhatian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Kesatuan Pekerja-pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad (RUM) hari ini dilaporkan mengancam untuk mengadakan piket dua hari - 29 Jun dan 1 Julai - sebagai membantah pelantikan Sarbini.
Melalui memorandum yang diserahkan kepada Najib petang ini, kesatuan itu meminta kerajaan menggugurkan Sarbini daripada memangku jawatan itu.
"Kesatuan ini tidak terkilan, bahkan menyokong mana-mana pengurus besar diarah memangku/menampung jawatan pengarah urusan selama sebulan mulai 1 Julai 2009, kecuali Sarbini Tijan kerana beliau kini sedang berdepan dengan berbagai karenah," memorandum itu dipetik.
Memorandum sembilan mukasurat itu ditandatangani presiden RUM, Abdul Aziz Md Hassan. Salinan turut diserahkan kepada Menteri Kewangan 2, Datuk Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Kiat.
RUM turut menuntut perdana menteri menggugurkan dua ahli lembaga pengarah syarikat itu – Dr Mohmad Isa Hussian dan Datuk Othman Abd Razak – kerana kedua-dua mereka didakwa "bermasalah".
Diringi beberapa pemimpin kesatuan itu, Abdul Razak menyerahkan memondum bantahan itu dihantar ke pejabat Najib di Putrajaya pada jam 3 petang tadi dan diterima oleh seorang pembantu perdana menteri.
Pertemuan gagal
Sebelum itu, Abdul Razak berkata, Dr Mohmad Isa memanggil mesyuarat khas antara kesatuan dan pengurusan pada jam 2 petang tadi.
Bagaimanapun, RUM menyifatkan pertemuan itu sebagai gagal kerana kesatuan tidak mengiktiraf Dr Mohmad Isa sebagai ahli lembaga pengarah KTM Berhad.
"Kita hadir cuma untuk memenuhi jemputan sahaja," kata Abdul Razak ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.
Abdul Razak Md Hassan dilaporkan membantah pelantikan Sarbini - kini pengurus besar operasi - kerana terlibat dalam kes pertikaian perusahaan yang telah dirujuk kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan.
Abdul Razak berkata bantahan itu bukanlah untuk membelakangi kuasa anggota lembaga pengarah tetapi pemilihan pengarah urusan mestilah dibuat di kalangan pengurus besar KTMB.
Piket tersebut, katanya, akan diadakan seperti dirancang iaitu pada ham 5.30 petang di di perkarangan ibu pejabat KTM di ibunegara sehingga permintaan mereka dipenuhi.
Menurutnya, kira-kira 500 daripada 3,800 anggota kesatuan itu dijangka menyertai piket tersebut.
(sumber malaysia kini)