Thursday, June 2, 2011

‘JABATAN PATUT BAYAR SAMAN TRAFIK'

Berita Harian
Oleh Noor Syahidatool Aqma Mohd Noor

bhnews@bharian.com.my

2011/05/26



CUEPACS dakwa tidak adil pemandu kenderaan rasmi kerajaan tanggung kos

SHAH ALAM: Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) meminta saman yang diperoleh mana-mana pemandu kenderaan rasmi kerajaan ditanggung jabatan berkenaan dan bukan kakitangan terbabit.

Presidennya, Datuk Omar Osman, berkata ini kerana tidak adil bagi pemandu terbabit menanggung bayaran untuk saman atau kemalangan yang berlaku ketika menjalankan tugas rasmi. Katanya, isu berkenaan perlu diberi perhatian kerana pihaknya menerima banyak aduan daripada pemandu yang tidak berpuas hati dengan perkara itu.

“Pemandu mengeluh kenapa mereka perlu menanggung saman sedangkan mereka ketika itu menjalankan tugas rasmi. Sepatutnya pihak jabatan yang harus bertanggungjawab.

“Pemandu disaman mungkin ketika memandu laju kerana mahu sampai cepat ke destinasi atas arahan pihak atasan. Oleh itu, segala perbelanjaan jika disaman atau berlaku kemalangan, perlu ditanggung pihak jabatan.

“Jika jabatan tidak mahu tanggung, pemandu kena pandu kenderaan mengikut peraturan,” katanya ketika ditemui selepas mengadakan sesi dialog bersama kakitangan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di Ibu Pejabat JPJ, Padang Jawa di sini, semalam.
Sesi dialog itu adalah sebahagian daripada lawatan kerja Omar untuk bertemu dengan kakitangan setiap agensi kerajaan bagi menjelaskan isu semasa berkaitan penjawat awam.

Kira-kira 50 kakitangan JPJ Selangor menyertai sesi dialog anjuran Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM) itu.




Kursus

Saudara Jailis Mojukin, Bendahari Kesatuan telah menghadiri kursus yang dianjurkan oleh Jabatan Hal-Ehwal Kesatuan Sekerja Selangor dan Wilayah Persekutuan pada 24 dan 25 Mei 2011.

Kursus Pengurusan Kesatuan Sekerja itu telah diadakan di Intekma Resort & Convention Centre, Shah Alam dan terima kasih kepada Bahagian Sumber Manusia & Pentadbiran yang telah melepaskan Sdra Jailis dari waktu bekerja bagi menghadiri kursus ini.

Menguruskan Peralatan Komputer Yang Bakal Dilupuskan

Seperti semua sedia maklum, kebanyakan daripada set-set komputer sediada di PWTC tidak akan di bawa ke pejabat baru di Putrajaya dan set-set yang masih berfungsi dengan baik akan dilupuskan oleh TM.

Bagi menambah sumber pendapatan, Kesatuan telah mengemukakan permohonan kepada Y.Bhg. Dato' Haji Azizan Nordin, Pemangku Ketua Pengarah pada 12 Mei 2011 bagi Kesatuan menguruskan pelupusan semua set-set komputer berkenaan kepada ahli-ahli dan staf TM yang berminat dengan harga yang berpatutan.

Masih belum mendapat maklumbalas.

Penggabungan Dengan CUEPACS

Untuk makluman, Kesatuan telah mengemukakan permohonan untuk bergabung dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) selaras dengan keputusan yang telah diambil oleh Mesyuarat Agung Kesatuan ke 31 Sesi 2010/2011 pada 11 Mei 2011.

Permohonan Kesatuan untuk bergabung masih didalam proses oleh CUEPACS setakat hari ini.

Wednesday, May 18, 2011

Penilaian Konsep 360 Darjah Tingkat Kepemimpinan Jabatan Kerajaan



KUALA LUMPUR: Penilaian tahap kecekapan berkonsep 360 darjah mulai 1 Julai depan berkesan mewujudkan hubungan 'menang-menang' yang erat antara pihak pengurusan dan kumpulan pelaksana, serta mempertingkat daya kepemimpinan cemerlang, telus dan saksama dalam jabatan kerajaan. Pelaksanaan konsep baru itu juga disifatkan sebagai ejen pemantau kepada pentadbiran dan jentera operasi dalam perkhidmatan awam berikutan semua penjawat menyedari prestasi mereka akan diperhati serta dinilai secara berterusan oleh penyelia, rakan sejawatan dan kakitangan bawahan. Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman, berkata sistem penilaian baru itu mampu menjana pembangunan profesionalisme serta kerjaya berterusan di kalangan penjawat awam melalui kursus peningkatan kecekapan, berbanding kebanyakan kursus di bawah Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) lebih menjurus kepada program kesedaran dan motivasi.

“CUEPACS juga akan mencadangkan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam perjumpaan esok (hari ini) supaya penilaian baru ini nanti turut memberi pertimbangan lebih 15 peratus kepada sumbangan kakitangan yang kreatif di luar bidang tugas hakiki mereka,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Akhbar ini semalam melaporkan, mulai 1 Julai depan, prestasi kakitangan awam akan dinilai menggunakan konsep 360 darjah oleh pegawai atasan, rakan sejawatan dan kakitangan bawahan bagi menentukan tahap kecekapan mereka untuk pertimbangan panel khas bagi kenaikan pangkat, pengisian jawatan kosong yang lebih tinggi serta penempatan baru.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Guru Kebangsaan (NUTP), Hashim Adnan berkata, pelaksanaan sistem itu mampu mengelakkan berlakunya penindasan dalam hubungan antara pegawai atasan dan kakitangan bawahan, sebaliknya tindakan diambil akan lebih berhati-hati serta mengambil kira kepentingan secara keseluruhan.
“Ini secara langsung akan menggalakkan jalinan kerjasama lebih padu yang bukan saja menguntungkan pihak pentadbiran, kumpulan pelaksana, jabatan dan negara tetapi juga pelanggan atau penerima perkhidmatan,” katanya.

Presiden Kesatuan Pegawai Pengangkutan Jalan Semenanjung Malaysia (KPPJSM), Hamzah Masri, berkata konsep penilaian baru itu diyakini lebih relevan dan berkesan berbanding penilaian berasaskan peperiksaan dalam PTK.

“Justeru, peluang kenaikan pangkat yang mengambil kira rekod penilaian perkhidmatan secara berterusan serta pembabitan dalam kursus peningkatan ilmu dan kecekapan, amat penting serta lebih ketara,” katanya.

Pengerusi Kesatuan Pegawai Kastam Wilayah Persekutuan, Jaapar Mansor berkata, penilaian yang mengutamakan prestasi kerja penjawat awam, lebih-lebih lagi untuk tujuan kenaikan pangkat, adalah lebih adil.

Monday, May 9, 2011

Gaji & Grantuti Tertunggak bagi bekas RO TM

Ahli-Ahli Kesatuan Yang Dihormati,

Untuk makluman semua, Kesatuan telah membawa masalah gaji dan grantuti bekas RO (kontrak) Tourism Malaysia yang tertunggak untuk diselesaikan oleh Bhg. Sumber Manusia & Pentadbiran, bagi memastikan mereka mendapat hak yang sepatutnya dengan segera.
Alhamdullilah Kesatuan telah dimaklumkan yang masalah tunggakan bayaran untuk pegawai yang terlibat seramai 7 orang telah diselesaikan. Cek –cek telah dikeluarkan dan dihantar kepada mereka.

Kesatuan juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Bhg. Sumber Manusia & Pentadbiran kerana mengambil berat masalah yang diutarakan.

Thursday, April 28, 2011

Perutusan Yang Dipertua Bil 3/2011

Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia

Semakin hari bertambah, semakin itu juga cabaran kian datang menjengah
Kesatuan pada tahun ini. Tourism Malaysia kini menjadi sebutan yang kerap di
dada akhbar tempatan tertentu. Perhatian media kini agak mengelirukan
sehingga saya sendiri tertanya-tanya tindakan apa yang harus diambil bagi
mengimbangi situasi ini.


Tuan/ puan,

Perutusan pada kali ini mungkin berat untuk dihadam oleh orang-orang tertentu
dalam organisasi kita yang tercinta ini. Namun demikian, niat saya semata-mata
ikhlas bagi memberi peluang minda kita berfikir dan mengkaji tentang perkara-
perkara yang telah ditinggalkan sepi oleh kita sendiri.

Seramai 355 orang telah berdaftar secara rasmi dengan Kesatuan. Jumlah
tersebut seharusnya bertambah sesuai dengan bertambahnya cabaran dan
rintangan yang kita sedang hadapi ketika ini. Jika tuan/ puan layak untuk
bersama tetapi masih meragui untuk menyertai kami, percayalah bahawa ia akan
membantu tuan/ puan satu hari nanti. Malah, ianya harus menjadi
tanggungjawab tuan/ puan sekelian.

Perbualan ringkas bersama beberapa rakan sekerja baru-baru ini amat
mengejutkan saya. Tidak sangka masih terdapat ramai kakitangan yang enggan
menyertai Kesatuan. Apa yang lebih mengejutkan saya ialah mereka di kalangan
kakitangan yang telah lama berkhidmat dengan TM. Kesatuan tidak pernah berat
sebelah dalam membincangkan masalah-masalah pekerja. Dari Kerani,
Pemandu, Pembantu Pelancong hinggalah kepada Pegawai Pelancongan
Tertinggi, semuanya dilayan sama banyak, sama rata. Pencapaian kami selama
ini dikongsi bersama sehingga pegawai yang bukan ahli kepada Kesatuan juga
turut merasainya. Persoalannya, apakah yang menyebabkan keengganan mereka
untuk menyertai Kesatuan? Jika terdapat perkara yang perlu dibincangkan,
maka, bincangkanlah. Saya selaku YDP pada penggal ini bersifat terbuka dengan
sebarang pendapat dan komen. Saya juga berpendapat bahawa tuan/ puan sudah
pun mengenali saya sehingga kini dan tiada apa yang boleh menghalang tuan/
puan dari meluahkan apa-apa perkara sekalipun. Melalui perutusan ini, saya
mengambil peluang untuk menjemput tuan/ puan untuk sentiasa berhubung
dengan Ahli Jawatankuasa Kesatuan umumnya, dan saya, khususnya. Saya
bersedia untuk mendengar.


Tuan/ puan,

Kesatuan telah memulakan inisiatif terkini bagi mendapatkan kerjasama pihak
Sumber Manusia & Pengurusan untuk melihat dengan lebih dekat perihal
perpindahan ke Putrajaya. Satu surat rasmi dari meja Kesatuan akan sampai ke
meja Bahagian Sumber Manusia & Pengurusan bagi mendapatkan jawapan yang
pasti. Gesaan saya agar seluruh warga TM untuk tidak panik setelah mendengar
hebahan terkini tentang tarikh perpindahan yang terbaru dikeluarkan oleh
Bahagian Sumber Manusia & Pengurusan, malah, ini adalah masa yang sesuai
untuk kita terus bersatu mendapatkan hak kita selaku pekerja dalam organisasi
ini. Berdoalah, agar manfaat dapat dicapai dan dirasai bersama.

Berbalik kepada perkara pertama yang saya sebutkan di atas tadi, Kesatuan
berpendapat bahawa kita sudah mulai hilang keakraban diantara satu sama lain.
Buktinya, setiap tekanan terutamanya dari pihak luar hanya ditelan sehingga
pahit anak lidah tanpa usaha yang sepakat bagi menghindarinya dari terus
berlaku. Mungkin tuan/ puan tidak sedar bahawa keakraban itulah yang akan
membentuk kekuatan kita, membentuk benteng teguh serta memberi kelebihan
kepada setiap warga TM sehingga generasi yang akan datang. Pihak Sumber
Manusia & Pengurusan perlu melihat perkara berkenaan dengan lebih
mendalam. Program kekeluargaan perlu diterapkan serta dilaksanakan dengan
segera dan kerap agar nilai keakraban tersebut terus bertambah dan kukuh.
Perasaan sayang kepada organisasi perlu sentiasa ditanam dalam hati setiap
warga TM supaya tidak menyesal di kemudian hari. Hanya perasaan kasih dan
sayang kepada organisasi ini sahajalah yang akan menjamin kewujudan TM
sehingga ratusan tahun yang mendatang. Walaupun begitu, ia bukan sahaja
menjadi tanggungjawab pihak Sumber Manusia & Pengurusan semata-mata.
Malah, ia seharusnya menjadi beban dan kewajipan kita semua. Apabila telah
kuat dan kukuh, pasti akan kebal dari apa jua bentuk ancaman dari luar.
Percayalah, semua ini akan memberi kebaikan kepada kita pada masa yang akan
datang.


Tuan/ puan,

Kesatuan telah berhubung dengan CUEPECS bagi merealisasikan permohonan
ahli untuk bernaung di bawahnya. Insyallah, jika tiada aral, satu lawatan rasmi
akan dilaksanakan dalam masa yang terdekat bagi menyerahkan permohonan
tersebut, selain mempelajari dan mendapatkan pandangan mereka berkaitan
beberapa perkara yang sedang berlaku di TM. Selain itu, Kesatuan juga telah
merencanakan beberapa lawatan ke pejabat-pejabat Kesatuan Pekerja tempatan
yang lain bagi merapatkan hubungan dua hala seterusnya mempelajari
pengalaman-pengalaman berguna bagi meletakkan Kesatuan Pekerja-Pekerja
LPPM, Semenanjung Malaysia ke satu aras yang lebih dihormati dan disegani di
masa akan datang.

Kesatuan akan sentiasa mengharapkan kepada sokongan tuan/ puan sekelian.
Tidak kira di Ibu pejabat, pejabat-pejabat negeri mahupun di luar Negara,
sokongan tuan/ puan sangat kami hargai. Pastikan setiap cadangan dan komen
tuan/puan sampai kepada kami tanpa ragu-ragu. Jika sokongan tuan/ puan
berterusan, maka banyak lagi pencapaian akan dinikmati bersama. Melalui
lembaran kali ini, Kesatuan berbesar hati ingin mengambil kesempatan
mengucapkan Selamat Hari Pekerja kepada semua warga Tourism Malaysia.
Semoga sinar yang baru akan menyelubungi organisasi kita ini agar menjadi yang
terbaik dari pelbagai segi, khususnya berkaitan kebajikan para pekerja dan
organisasi amnya.

Sehingga bertemu lagi di ruangan yang akan datang, sekian, terima kasih.

Kuarters untuk TM!

Insyallah


…………………………………………………………………..

HASRIZAL MUHAMMAD SHAWAL TUKIJAN

Yang Dipertua

Kesatuan Pekerja-Pekerja

Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Semenanjung Malaysia