Monday, January 30, 2012

ISU SBPA: 5 TUNTUTAN CUEPACS

pix_gal0
Presiden CUEPACS beri kata dua tarik diri jika syarat tidak dipenuhi

  • Kaji semula pindaan gaji Gred 54 ke bawah Kaji gaji penjawat awam mencapai gaji maksimum
  • Kaji kekananan dalam SSM sebelum bertukar kepada SBPA
  • Kaji kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus
  • Semak penstrukturan semula semua gred penjawat awam

    GEORGETOWN: Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengemukakan lima perkara utama untuk dipertimbangkan dalam semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dengan tumpuan kepada aspek keadilan dan kesaksamaan, terutama bagi penjawat awam gred 54 dan ke bawah.
  • Saturday, January 28, 2012

    Skim Amanah Rakyat 1Malaysia

    -www.sara1malaysia.com.my

    Siapa cepat, dia dapat...

    * Penyertaan untuk Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1Malaysia) boleh dibuat mulai Isnin ini di Malayan Banking Bhd. (Maybank), CIMB Bank, RHB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

    * Pemohon perlu membawa kad pengenalan termasuk dua salinannya, kad pengenalan pasangan serta dokumen pengesahan gaji tiga bulan pemohon dan pasangan.

    * Setiap individu perlu meminjam sebanyak RM5,000 seorang bagi setiap isi rumah tanpa dikenakan kadar faedah.

    * Peserta yang layak akan mendapat insentif sebanyak RM134 sebulan daripada pelaburan RM5,000 yang dibuat dalam Amanah Saham 1Malaysia (AS1M).

    -Utusan Online/maa.

    http://www.sara1malaysia.com.my/n_index.php

    SBPA: CUEPACS tetap 5 perkara

    PULAU PINANG 27 Jan. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendesak lima perkara diberikan perhatian utama oleh pasukan petugas khas bagi mengkaji semula pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

    Lima perkara itu adalah mengkaji semula prinsip pemindahan gaji kakitangan Gred 54 ke bawah, mengekalkan status kekananan kakitangan dalam Skim Saraan Malaysia (SSM), mengkaji semula tangga gaji maksimum, menyenaraikan kakitangan yang layak memperoleh kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus dan menyemak semula penstrukturan kenaikan gaji bagi semua gred.

    Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, kesemua perkara itu telah dimaklumkan semasa mesyuarat pertama petugas khas mengkaji SBPA pada Rabu lalu.

    Menurutnya, beliau juga mahu tiga lagi pemimpin kanan CUEPACS dibawa masuk ke dalam mesyuarat kedua pasukan petugas khas tersebut akan datang.

    "Kalau saya seorang sahaja dalam mesyuarat berkenaan, saya akan tarik diri.

    "Saya mohon empat pemimpin CUEPACS mesti berada dalam pasukan itu iaitu Presiden, timbalannya, Setiausaha Agung dan Setiausaha Kewangan," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat di sini hari ini.

    Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini memberi jaminan semakan semula skim SBPA yang sedang diteliti pasukan petugas khas akan memberi kepuasan menyeluruh kepada setiap peringkat perkhidmatan awam.

    Pasukan petugas khas itu yang diberi tempoh tiga bulan akan melakukan semakan sebaik-baiknya.

    CUEPACS sebelum ini mendakwa lebih 1.3 juta penjawat awam Gred 54 ke bawah tidak berpuas hati dengan skim SBPA yang didakwa tidak adil terhadap mereka.

    Dalam perkembangan berkaitan, Omar memberitahu, beliau juga kesal apabila dimaklumkan terdapat segelintir kakitangan awam sudah pun menerima gaji berdasarkan skim SBPA.

    "Sepatutnya semasa SBPA disemak, pelaksanaannya ditangguhkan termasuk pembayaran gaji. Kita tidak mahu pasukan petugas khas ini hanya ditubuhkan bagi menyedapkan hati CUEPACS," ujarnya.

    -Utusan Online/maa.

    Friday, January 27, 2012

    CUEPACS kemuka lima perkara utama untuk semakan SBPA

    GEORGE TOWN 27 Jan. - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengemukakan lima perkara utama untuk dipertimbang dalam semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

    Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, lima perkara itu menumpukan kepada aspek keadilan dan kesaksamaan khususnya bagi penjawat awam pada gred 54 dan ke bawah.

    Lima perkara terbabit ialah mengkaji semula pindahan gaji bagi gred 54 dan ke bawah; mengekalkan kedudukan kekananan yang ada dalam Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum bertukar kepada SBPA; mengkaji semula kedudukan gaji penjawat yang telah lama mencapai tahap gaji maksimum; mengkaji semula kenaikan gaji antara tujuh dan 13 peratus; dan semak kembali penstrukturan semula di semua peringkat gred.

    "Kami harap hasil semakan semula ini akan memberikan keceriaan kepada semua penjawat awam,” katanya kepada pemberita selepas taklimat SBPA kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, di sini hari ini.

    Omar berkata, beliau juga meminta agar tiga lagi pegawai tertinggi dalam CUEPACS dibenarkan menyertainya pada mesyuarat pasukan petugas khas SBPA itu.

    "Sekiranya tiga pegawai saya tidak dibenarkan untuk turut serta dalam mesyuarat itu saya akan tarik diri dari pasukan itu, kerana ia tidak adil bagi saya. Saya adalah wakil kepada 1.3 juta penjawat awam yang lain,” katanya.

    Selain itu katanya, CUEPACS akan membuat sesi jelajah sehingga April depan bagi memberi penerangan kepada penjawat awam tentang SBPA.

    "Sekarang ini kita cuma boleh minta semua penjawat awam supaya bersabar dan bertenang, tunggu sehingga tempoh semakan semula selesai,” katanya.

    SBPA yang sepatutnya dilaksana bulan ini ditangguhkan sementara bagi memberi peluang kepada pasukan petugas khas menyemak semula skim itu yang dikatakan persatuan penjawat awam sebagai agak kurang adil serta mengelirukan.

    Pasukan petugas khas itu yang ditubuhkan pada pertengahan bulan ini diberi masa tiga bulan untuk melakukan semakan dan mengemukakan cadangan baru kepada kerajaan.

    -Bernama/maa.

    Tidak amanah punca koperasi gagal - Tun Mahathir

    ALOR SETAR 26 Jan. - Sikap tidak amanah dalam kalangan pihak pengurusan dan ahli koperasi menjadi punca utama kegagalan kebanyakan koperasi di negara ini.

    Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, beliau difahamkan walaupun terdapat lebih 8,000 koperasi ketika ini, hanya 20 peratus daripadanya yang berjaya termasuk mencatatkan keuntungan baik.

    "Salah satu kelemahan dalam koperasi adalah pihak pengurusan dan ahli-ahlinya tidak jujur atau amanah dalam pengurusan wang koperasi terbabit. Selain modal wang, sikap mereka ini juga adalah 'modal' untuk menggerakkan koperasi.

    "Contohnya, apabila memperoleh modal RM1 juta, belanjakan ia untuk menggerakkan koperasi, bukan RM500,000 sahaja untuk modal berniaga dan selebihnya hal lain tidak berkaitan. Akibatnya koperasi menanggung kos pengurusan tinggi dan keuntungan pula rendah," katanya ketika berucap pada Program Bicara Bersama Tokoh bertemakan Cabaran, Peluang dan Peranan Koperasi dan Korporat Ke Arah Mencapai Wawasan 2020 di Sekolah Menengah Keat Hwa di sini hari ini.

    Hadir sama Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Rohani Abdul Karim.

    Berucap di hadapan lebih 2,000 ahli dan pihak pengurusan koperasi di seluruh negara, kata Dr. Mahathir, pengurusan cekap turut memainkan peranan menjayakan koperasi.

    "Menguruskan koperasi termasuk soal kewangan memerlukan kecekapan. Misalnya, kalau sesuatu perniagaan itu semata-mata menggunakan modal daripada pinjaman bank maka perkara sedemikian hanya meningkatkan kos. Apabila kos tinggi tentu keuntungan sedikit.

    "Itu belum termasuk kos untuk membayar gaji kepada pihak pengurusan," katanya.

    Tambah beliau, kerajaan menyediakan pelbagai peluang untuk masyarakat termasuk koperasi membabitkan diri dalam bidang perniagaan terutama di bandar besar.

    "Pelbagai peluang diberikan seperti perniagaan francais, sebab ia mudah dan tidak perlu modal besar dan promosi pun sudah ada. Harapan kita peniaga bumiputera mungkin mampu menguasai 60 peratus perniagaan di bandar.

    "Tetapi mereka tidak berminat kerana perniagaan kecil, untung pun kecil, mereka nak besar. Jadi apa kita lihat, hanya satu kaum berniaga di bandar," katanya.

    -Utusan Online/maa.

    Wednesday, January 25, 2012

    3 bulan cukup untuk pasukan khas semak semula SBPA

    PUTRAJAYA 25 Jan. - Pengerusi pasukan petugas semakan semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) Tan Sri Ismail Adam yakin tempoh tiga bulan untuk pasukan itu membuat kajian dan penambahbaikan terhadap skim baru itu adalah mencukupi.

    Sehubungan itu beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata, pasukan itu akan bekerja keras bagi memastikan perkara-perkara berbangkit yang tidak memuaskan hati sesetengah pihak dapat diselesaikan mengikut tempoh yang ditetapkan.

    "Sebagai permulaan hari ini kita membincangkan mengenai terma rujukan. Itu sahajalah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama pasukan petugas semakan semula SBPA di JPA di sini hari ini.

    -Bernama/maa.