Sunday, February 24, 2013
Kerajaan diminta umum segera jadual pelarasan gaji kakitangan awam
KOTA BHARU 24 Feb. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mahu kerajaan mengumunkan segera jadual pelarasan gaji berdasarkan Jadual Gaji Minimum-Maksimum Sistem Saraan Malaysia (SSM) berikutan pemansuhan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Setiausaha Agungnya, Lok Yim Pheng berkata, sehingga hari ini semua kakitangan awam di negara ini masih tertunggu-tunggu jadual gaji berkenaan disebabkan mereka tidak dapat melihat secara terperinci perkara tersebut.
"Setiap pekerja dalam mana-mana sektor sekalipun mahukan gaji yang mantap supaya dia dapat melihat sendiri tangga gajinya, namun buat masa ini mereka tidak boleh berbuat demikian.
"Sebagai contoh sektor pendidikan, jika seseorang pegawai itu Gred 44 dan 41, dia tidak boleh nampak gaji. Dia hanya boleh nampak untuk tahun itu sahaja, tahun depan lain.
"Jadual tersebut amat penting, bagi memudahkan kakitangan awam di negara ini membuat rujukan dan perkara ini perlu disegerakan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis penyampaian sumbangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) sebanyak RM5,000 kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjong Mas di sini hari ini.
-utusan/maa.
Friday, June 29, 2012
Khidmat Abu Bakar berakhir 1 Julai - JPA
PUTRAJAYA 29 Jun - Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Abu Bakar Abdullah, 60, tamat perkhidmatan Ahad ini setelah dua tahun memegang jawatan tersebut.
Menurut kenyataan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), beliau dilantik ke jawatan itu pada 1 Julai 2010 dan sebelum itu berkhidmat sebagai Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan.
Sepanjang 35 tahun dalam perkhidmatan awam, Abu Bakar pernah ditugaskan di beberapa kementerian antaranya Kementerian Pertahanan, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Jabatan Perdana Menteri.
Beliau memulakan kerjaya dalam sektor awam sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik pada September 1977 di Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.
Abu Bakar merupakan salah seorang yang terlibat dalam pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang menimbulkan rasa tidak puas hati kakitangan bawahan.
SBPA yang sempat dilaksanakan beberapa bulan sebelum dimansuhkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
-utusan/maa.
Tuesday, March 20, 2012
Top civil servants paid under scrapped scheme agree to return money
PUTRAJAYA: Top tier civil servants have received new monthly salaries, believed to be ranging between RM35,000 to RM60,000, under the scrapped Public Service New Remuneration Scheme (SBPA).
However, the 36 Premier Service Category employees have agreed to return the amount not due to them in line with the implementation of an improved Malaysian Remuneration System (SSM), said Chief Secretary to the Government Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
The SBPA had raised the ire of the 1.4 million-strong civil service as it would have benefited top government servants, leaving the rest with paltry salary hikes.
“As responsible civil servants, they have agreed to return (the money) as per what was announced by the Prime Minister on the SSM.
“More than half of them have returned the money, while some could not yet do it as they are overseas,” Mohd Sidek told reporters after speaking at the inaugural Chief Secretary Annual Lecture series at the Putrajaya International Convention Centre on Tuesday.
The SBPA was to be implemented from Jan 1 this year but was cancelled on Mar 8, after Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razakannounced that it would be replaced with the SSM following protests from civil service unions.
It was revealed that under the SBPA, the Chief Secretary would draw a salary of RM60,000 while those in the Premier Service category would get RM36,000 - a vast difference from those in the lower grades, some of whom would only get increments as low as RM1.70.
Instead of a vast pay jump suggested for top tier workers, the improved SSM is expected to give all civil servants salary increases of between 7% and 13%.
On Monday, Cuepacs president Datuk Omar Osman said the commission set up to improve the SSM salary scheme is expected to start work next month once the Government decided on the composition of the board.
-Bernama/maa.
Wednesday, February 29, 2012
Civil servants’ gathering on March 19
PETALING JAYA: The gathering of civil servants where the Prime Minister is expected to announce the Government’s decision on the Public Service New Remuneration Scheme (SBPA) has been postponed to March 19.
Cuepacs president Datuk Omar Osman said the gathering, organised by the congress, has been pushed back to a later date as Prime Minister Datuk Seri Najib Tun Razak could not make it on March 12, the initial date.
He added that Cuepacs would discuss with officers from Najib’s office today about the programme for the gathering.
Omar said yesterday that the Prime Minister might announce the Government’s response to their proposed review of SBPA, including reviewing the maximum salary scale and the grade structures as well as the salary increase of between 7% and 13% at the gathering.
“About 15,000 civil servants are expected to turn up for the event at Stadium Putra, Bukit Jalil,” he said.
On Feb 23, it was reported in a Malay daily that nine senior officers from Cuepacs met the Prime Minister to convey the feedback they received after travelling around the country.
Cuepacs had voiced its disapproval pertaining to the implementation of SPBA, originally due on Jan 1, leading to the setting up of a special task force to recommend changes to the scheme.
-TheStar/maa.
Friday, February 24, 2012
Najib bakal buat pengumuman adil, saksama bagi SSM, SBPA
PUTRAJAYA 23 Feb. - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak dijangka membuat pengumuman yang adil dan saksama berkaitan perkhidmatan awam, termasuk mengenai Skim Saraan Malaysia (SSM) dan Skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Perkara itu dinyatakan Presiden Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Datuk Omar Osman selepas mengadakan pertemuan hampir dua jam dengan Perdana Menteri di pejabatnya di sini hari ini.
Pertemuan itu turut dihadiri Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.
"Perkara itu akan diumumkan dalam waktu terdekat dan dijangka memberikan keadilan dan kebaikan untuk semua penjawat awam,” katanya kepada pemberita tanpa mengulas lanjut mengenai perkara yang bakal diumumkan itu.
-Bernama/maa.
Thursday, February 23, 2012
CUEPACS tuntut kenaikan gaji RM700 - RM2500
PUTRAJAYA 22 Feb. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menuntut kerajaan memberi kenaikan gaji 1.3 juta penjawat awam dari gred 1 hingga gred 54 antara RM700 hingga RM2,500.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, kenaikan itu perlu dilaksanakan menerusi skim sedia ada iaitu Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum sebarang pembaharuan gaji dibuat melalui skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Tuntutan tersebut membabitkan kenaikan gaji untuk gred 1 hingga gred 16 sebanyak RM700; gred 17 hingga gred 26 (RM1,000); gred 27 hingga gred 40 (RM1,500); gred 21 hingga gred gred 48 (RM1,800) dan gred 52 hingga gred 54 (RM2,500).
Omar berkata, kakitangan awam yang sudah mencapai gaji maksimum atau sudah mati gaji pula perlu dibayar selama mana mereka tidak menikmati sebarang kenaikan dan perlu dinaikkan gred.
''Sebagai contoh bagi mereka yang sudah lima tahun tidak naik gaji, jika gaji mereka dinaikkan RM100, kerajaan perlu bayar tunggakan RM500 selain kenaikan gred," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat petugas khas bersama Jabatan Perkhidmatan Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, hari ini.
Menurutnya lagi, CUEPACS turut menuntut agar kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam yang sudah lulus peperiksaan Penilaian Tahap Kecekapan (PTK) aras 4.
''Ramai yang lulus PTK aras 4 sebelum SBPA diperkenalkan tetapi apabila SSM ditukarkan ke SBPA ramai yang lulus itu tidak mendapat kenaikan gaji, apabila kami berbincang dalam pasukan khas ini dari segi perundangan kerajaan perlu bayar.
''Mereka mana tahu SBPA akan diperkenalkan, tidak adil untuk mereka yang sudah berkorban masa dan tenaga untuk lulus, tapi bila dah lulus tak nak bayar pula," katanya.
Sehubungan itu, CUEPACS meminta mereka yang lulus sehingga 31 Disember 2011 dibayar tunggakan gaji sebelum kajian semakan SBPA diumumkan dan mahu JPA mengeluarkan surat pekeliling mengenainya.
Omar berkata, beliau yakin kerajaan akan bersetuju dengan lima tuntutan yang telah dikemukakan iaitu mengkaji semula pindaan gaji gred 54 ke bawah; mengkaji gaji penjawat awam mencapai gaji maksimum; mengkaji kekananan dalam Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum bertukar kepada SBPA; mengkaji kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus dan menyemak penstrukturan semula semua gred penjawat awam.
''Kalau kerajaan merasakan ia melibatkan tuntutan yang tinggi, CUEPACS cadangkan mereka yang telah menikmati kenaikan tinggi dalam SBPA iaitu Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA) dan Premier, gaji mereka dipotong untuk diberikan kepada mereka di gred 54 ke bawah.
''Kalau betullah kerajaan mahu rapatkan jurang maka tuntutan itu dirasakan wajar, apa yang kami lakukan ialah menuntut kesaksamaan dan terpulanglah kepada pasukan petugas khas ini untuk menilainya," katanya.
-Utusan/maa.
Monday, February 20, 2012
CUEPACS mahu tarikh kuat kuasa SBPA kekal pada 1 Jan
PUTRAJAYA 20 Feb. — Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) mahu tarikh kuat kuasa Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dikekalkan pada 1 Jan lepas, dan tunggakan gaji dibayar kepada semua penjawat awam dari tarikh itu.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, permintaan itu adalah wajar memandangkan kerajaan sebelum ini menetapkan tarikh kuat kuasa SBPA bermula 1 Jan tetapi pelaksanaan sahaja ditangguhkan berikutan semakan semula beberapa perkara dalam skim baru itu.
"Jadi permintaan Cuepacs ialah supaya tarikh kuat kuasa SBPA pada 1 Jan itu dikekalkan. Itu yang kita mahu. "Ia juga adalah satu perbincangan sewaktu saya bertemu dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) tempoh hari. Jadi kekalkan tarikh kuat kuasa itu, tangguh pelaksanaan, semak semula dan sehingga dapat penyelesaian dalam tempoh tiga bulan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
-Bernama/maa.
Sunday, February 19, 2012
Beri perhatian petugas lama pelaksana Gred-17
KUALA TERENGGANU 19 Feb. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berharap kerajaan dapat memberi perhatian kepada kumpulan pekerja lama dalam kumpulan pelaksana Gred-17 skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Timbalan Presiden Cuepacs, Azih Muda berkata, pihaknya menyarankan kumpulan itu dinaikkan ke satu gred yang lebih tinggi sebagai pengiktirafan kepada petugas-petugas berkenaan.
Beliau berkata, perkara ini perlu dikaji supaya kedudukan mereka yang berkhidmat lama dengan kerajaan diambil kira dan mengiktiraf apa-apa sijil kemahiran dan teknikal untuk tujuan kenaikan pangkat sehingga ke Gred-21.
"Sekarang ini kalau kita lihat, kerajaan hanya beri satu kenaikan saja kepada mereka yang berkhidmat (dengan kerajaan) hingga 30 tahun atau 35 tahun iaitu sama dengan orang baru yang dinaikkan pangkat ataupun baru saja berkhidmat empat atau lima tahun.
"Dalam SPBA sekarang, mereka yang ada sijil diberi kenaikan kepada Gred T8. Tetapi yang sudah lama berkhidmat pula tidak berpeluang kerana mereka tidak dapat pengiktirafan...sedangkan mereka juga mempunyai sijil yang sama," katanya di sini hari ini.
Sehubungan itu Azih berkata, Cuepacs juga mahu lapisan gred kumpulan pelaksana untuk kenaikan pangkat ditambah kerana ketika ini jumlahnya adalah terlalu sedikit dan berharap perkara ini dikaji semula sewajarnya.
-Bernama/maa.
Thursday, February 9, 2012
CUEPACS bentang hasil kajian 22 Feb.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, bagi memastikan tiada masalah berbangkit, Jawatankuasa Bertindak CUEPACS akan bermesyuarat selewat-lewatnya 15 Februari ini supaya hasil kajian yang dibentangkan kelak menepati tuntutan yang dibuat. Katanya, kertas kerja tersebut dibuat berdasarkan laporan yang diterima hasil jelajah CUEPACS untuk mendengar setiap permasalahan berkaitan SBPA di seluruh negara dan lima perkara yang dituntut sebelum ini. “Bagaimanapun kita masih membuka ruang untuk mana-mana agensi yang mahu menyatakan pandangan dan pendapat memandangkan tarikh akhir untuk membuat aduan adalah 15 Februari.
“CUEPACS yakin mampu menyediakan kertas kerja yang komprehensif ke arah penambahbaikan skim SBPA demi memastikan setiap nasib penjawat awam di negara ini terus terbela,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri menyuarat kedua pasukan khas semakan skim SBPA di sini, hari ini. Mengulas mesyuarat kedua hari ini, Omar berkata, perbincangan berkisar kepada lima perkara yang dituntut CUEPACS sebelum ini.
Lima perkara itu adalah mengkaji semula prinsip pemindahan gaji kakitangan Gred 54 ke bawah, mengekalkan status kekananan kakitangan dalam Skim Saraan Malaysia (SSM), mengkaji semula tangga gaji maksimum, menyenaraikan kakitangan yang layak memperoleh kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus dan menyemak semula penstrukturan kenaikan gaji bagi semua gred.
-Utusan/maa.
Sunday, February 5, 2012
Kerajaan setuju beri CUEPACS lebih tempat dalam SBPA
KUANTAN 5 Feb — Kerajaan bersetuju untuk memberikan lebih banyak tempat kepada pemimpin tertinggi Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi menganggotai pasukan khas semakan semula Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Justeru itu, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkata CUEPACS perlu manfaatkan sepenuhnya peluang berkenaan bagi merealisasikan hasrat lebih 1.3 juta ahli mereka di seluruh negara.
“Saya harap dan percaya mereka akan terlibat dalam mesyuarat-mesyuarat akan datang dan beri pandangan yang membina untuk penambahbaikan SBPA,” katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran Pelan Strategik Teknologi Maklumat (PSTM) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Pahang, di sini, hari ini.
CUEPACS sebelum ini meminta supaya tiga lagi pemimpin kanan mereka menganggotai pasukan petugas khas semakan semula SBPA yang dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam.
Sementara itu, Mohd Sidek meminta Unit Permodenan Tadbiran Dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) memperhebatkan promosi urusan dalam talian di kalangan rakyat.
Katanya kerajaan masih tidak berpuas hati dengan sambutan orang ramai terhadap kempen urusan dalam talian meskipun prasarana telah disediakan membabitkan semua agensi kerajaan.
"Kemudahan-kemudahan ini telah diberikan oleh banyak jabatan tapi mungkin tak mahu menggunakannya atau tak tahu untuk menggunakannya.
"Langkah ini kita kena war-warkan umpamanya memperbaharui lesen memandu secara online kerana ramai yang tak tahu,” katanya.
Kerajaan sebelum ini melancarkan PSTM 2011-2015 PBT di bawah Bidang Keberhasilan Utama Ekonomi bagi menjimatkan kos dan menjadikan platform baru pembangunan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT).
Pahang merupakan negeri pertama membangunkan PSTM secara serentak di 11 PBT di negeri itu.
-Bernama/maa.
Saturday, February 4, 2012
SBPA: CUEPACS akan kemuka formula perpindahan gaji
SIBU 4 Feb. – Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) akan mengemukakan formula perpindahan gaji daripada Skim Saraan Malaysia (SSM) kepada Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) untuk dipertimbangkan dalam semakan semula skim baru itu.
Timbalan Presiden 1 CUEPACS, Aziz Muda berkata, perpindahan gaji berkenaan mengambil kira gaji maksimum dan kekananan agar ia diterima baik oleh semua penjawat awam.
"Setakat ini, kenaikan gaji penjawat awam dalam SBPA tidak jelas dan mengelirukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam Kesatuan Sekerja Lembaga Air Sibu (SWBEU) di sini malam tadi.
Beliau berkata, hasrat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berpendapatan tinggi iaitu sekitar AS$15,000 setahun menjelang tahun 2020 tidak akan tercapai dengan kadar gaji yang diperkenalkan SBPA sebelum ini.
-Bernama/maa.
Saturday, January 28, 2012
SBPA: CUEPACS tetap 5 perkara
PULAU PINANG 27 Jan. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendesak lima perkara diberikan perhatian utama oleh pasukan petugas khas bagi mengkaji semula pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Lima perkara itu adalah mengkaji semula prinsip pemindahan gaji kakitangan Gred 54 ke bawah, mengekalkan status kekananan kakitangan dalam Skim Saraan Malaysia (SSM), mengkaji semula tangga gaji maksimum, menyenaraikan kakitangan yang layak memperoleh kenaikan gaji tujuh hingga 13 peratus dan menyemak semula penstrukturan kenaikan gaji bagi semua gred.
Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman berkata, kesemua perkara itu telah dimaklumkan semasa mesyuarat pertama petugas khas mengkaji SBPA pada Rabu lalu.
Menurutnya, beliau juga mahu tiga lagi pemimpin kanan CUEPACS dibawa masuk ke dalam mesyuarat kedua pasukan petugas khas tersebut akan datang.
"Kalau saya seorang sahaja dalam mesyuarat berkenaan, saya akan tarik diri.
"Saya mohon empat pemimpin CUEPACS mesti berada dalam pasukan itu iaitu Presiden, timbalannya, Setiausaha Agung dan Setiausaha Kewangan," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan pertemuan dengan pegawai dan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat di sini hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini memberi jaminan semakan semula skim SBPA yang sedang diteliti pasukan petugas khas akan memberi kepuasan menyeluruh kepada setiap peringkat perkhidmatan awam.
Pasukan petugas khas itu yang diberi tempoh tiga bulan akan melakukan semakan sebaik-baiknya.
CUEPACS sebelum ini mendakwa lebih 1.3 juta penjawat awam Gred 54 ke bawah tidak berpuas hati dengan skim SBPA yang didakwa tidak adil terhadap mereka.
Dalam perkembangan berkaitan, Omar memberitahu, beliau juga kesal apabila dimaklumkan terdapat segelintir kakitangan awam sudah pun menerima gaji berdasarkan skim SBPA.
"Sepatutnya semasa SBPA disemak, pelaksanaannya ditangguhkan termasuk pembayaran gaji. Kita tidak mahu pasukan petugas khas ini hanya ditubuhkan bagi menyedapkan hati CUEPACS," ujarnya.
-Utusan Online/maa.
Friday, January 27, 2012
CUEPACS kemuka lima perkara utama untuk semakan SBPA
GEORGE TOWN 27 Jan. - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengemukakan lima perkara utama untuk dipertimbang dalam semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, lima perkara itu menumpukan kepada aspek keadilan dan kesaksamaan khususnya bagi penjawat awam pada gred 54 dan ke bawah.
Lima perkara terbabit ialah mengkaji semula pindahan gaji bagi gred 54 dan ke bawah; mengekalkan kedudukan kekananan yang ada dalam Skim Saraan Malaysia (SSM) sebelum bertukar kepada SBPA; mengkaji semula kedudukan gaji penjawat yang telah lama mencapai tahap gaji maksimum; mengkaji semula kenaikan gaji antara tujuh dan 13 peratus; dan semak kembali penstrukturan semula di semua peringkat gred.
"Kami harap hasil semakan semula ini akan memberikan keceriaan kepada semua penjawat awam,” katanya kepada pemberita selepas taklimat SBPA kepada anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, di sini hari ini.
Omar berkata, beliau juga meminta agar tiga lagi pegawai tertinggi dalam CUEPACS dibenarkan menyertainya pada mesyuarat pasukan petugas khas SBPA itu.
"Sekiranya tiga pegawai saya tidak dibenarkan untuk turut serta dalam mesyuarat itu saya akan tarik diri dari pasukan itu, kerana ia tidak adil bagi saya. Saya adalah wakil kepada 1.3 juta penjawat awam yang lain,” katanya.
Selain itu katanya, CUEPACS akan membuat sesi jelajah sehingga April depan bagi memberi penerangan kepada penjawat awam tentang SBPA.
"Sekarang ini kita cuma boleh minta semua penjawat awam supaya bersabar dan bertenang, tunggu sehingga tempoh semakan semula selesai,” katanya.
SBPA yang sepatutnya dilaksana bulan ini ditangguhkan sementara bagi memberi peluang kepada pasukan petugas khas menyemak semula skim itu yang dikatakan persatuan penjawat awam sebagai agak kurang adil serta mengelirukan.
Pasukan petugas khas itu yang ditubuhkan pada pertengahan bulan ini diberi masa tiga bulan untuk melakukan semakan dan mengemukakan cadangan baru kepada kerajaan.
-Bernama/maa.
Wednesday, January 25, 2012
3 bulan cukup untuk pasukan khas semak semula SBPA
PUTRAJAYA 25 Jan. - Pengerusi pasukan petugas semakan semula Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) Tan Sri Ismail Adam yakin tempoh tiga bulan untuk pasukan itu membuat kajian dan penambahbaikan terhadap skim baru itu adalah mencukupi.
Sehubungan itu beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) berkata, pasukan itu akan bekerja keras bagi memastikan perkara-perkara berbangkit yang tidak memuaskan hati sesetengah pihak dapat diselesaikan mengikut tempoh yang ditetapkan.
"Sebagai permulaan hari ini kita membincangkan mengenai terma rujukan. Itu sahajalah,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pertama pasukan petugas semakan semula SBPA di JPA di sini hari ini.
-Bernama/maa.
Tuesday, January 24, 2012
SBPA: Tempoh 3 bulan wujudkan skim terbaik
KUALA LUMPUR 23 Jan. - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap pasukan petugas khas yang diberi tempoh tiga bulan bagi menyemak skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) mampu menjadikan skim itu yang terbaik dan diterima semua penjawat awam.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, sebelum ini ramai penjawat awam tidak berpuas hati dan memahami isi kandungan skim tersebut.
"Jadi kami berharap, selepas tiga bulan hasil yang diterima mampu memuaskan hati semua pihak dan mereka benar-benar memahami maksud yang terkandung dalam skim itu.
"Tiga bulan adalah satu tempoh yang wajar dan kami berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Najib semalam yang memberi jaminan semakan semula SBPA oleh pasukan petugas khas akan memberi kepuasan menyeluruh kepada setiap peringkat perkhidmatan awam.
Menurut Najib, pasukan petugas khas itu yang diberi tempoh tiga bulan akan melakukan semakan sebaik-baiknya supaya tidak ada lagi situasi yang boleh diibaratkan sebagai 'rumah siap, pahat berbunyi.'
Sementara itu, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Abdul Halim Mansor berkata, tempoh tiga bulan merupakan satu tempoh yang panjang dan relevan bagi menyemak semula skim tersebut.
"Melalui semakan semula skim itu, diharap selepas ini semua penjawat awam berpuas hati dan tidak menyalahkan mana-mana pihak mengenai kelemahan skim tersebut," katanya.
Abdul Halim turut berharap, skim tersebut menggunakan bahasa yang mudah difahami agar semua peringkat penjawat awam dapat memahami segala perkara yang terkandung dalam skim tersebut.
"Ia bagi mengelakkan mereka salah tafsir perkara yang disampaikan di dalam skim tersebut," katanya.
-Utusan Online/maa.
Monday, January 23, 2012
Najib beri tempoh 3 bulan
KUANTAN 21 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan semakan semula skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang sedang diteliti pasukan petugas khas akan memberi kepuasan menyeluruh kepada setiap peringkat perkhidmatan awam.
Menurut Perdana Menteri, pasukan petugas khas itu yang diberi tempoh tiga bulan akan melakukan semakan sebaik-baiknya supaya tidak ada lagi situasi yang boleh diibaratkan sebagai 'rumah siap, pahat berbunyi.'
"Sebelum ini saya dengar yang di bawah, kenaikannya terlalu rendah dan yang di atas kenaikannya terlalu tinggi, macam-macam saya dengar.
"Tak apalah, saya bagi tempoh tiga bulan kepada jawatankuasa ini kaji semula dan insya-Allah kita akan dapatkan hasil yang disifatkan sebaik-baiknya supaya kita dapat memberi kepuasan kepada semua," katanya.
Najib berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perjumpaan Kakitangan Awam bersama Perdana Menteri di Universiti Malaysia Pahang (UMP), Gambang dekat sini hari ini.
Majlis yang dihadiri Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob itu disertai kira-kira 7,000 kakitangan awam melibatkan pelbagai peringkat termasuk Pusat dan negeri.
Satu pasukan petugas khas yang dipengerusikan bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Tan Sri Ismail Adam ditubuhkan setelah Najib mengarahkan SBPA disemak semula untuk menyelesaikan beberapa isu yang dibangkitkan oleh pihak tertentu.
Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) baru-baru ini mendakwa lebih 1.3 juta penjawat awam Gred 54 ke bawah tidak berpuas hati dengan skim SBPA yang didakwa tidak adil terhadap mereka.
Sementara itu, dalam ucapannya juga, Najib sekali lagi mengingatkan penjawat awam bahawa era kerajaan mengetahui segalanya sudah berakhir maka sebab itu pendekatan sekarang adalah secara merendah diri.
Katanya, malah beliau sendiri tidak boleh mendakwa bahawa kerajaan yang ada sudah cukup sempurna dan mana-mana kepincangan yang wujud perlu diperbetulkan dan ditambah baik.
"Kalau rakyat kata tak betul, kita lakukan penambahbaikan, kalau sudah laksanakan pun, kalau perlu kaji, kita kaji balik. Yang penting sekali, rakyat terbela sepenuhnya," jelasnya.
Dalam pada itu, Najib berkata, pemberian subsidi secara langsung seperti menerusi pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dilihat memberi impak besar kepada penerima yang cukup menghargainya.
Katanya, ini berbeza dengan pemberian subsidi tidak langsung seperti petrol, gas memasak dan barangan keperluan asas lain walaupun jumlahnya melibatkan peruntukan yang jauh lebih besar.
"Subsidi untuk keperluan asas ini bertambah setiap tahun dengan tahun ini sahaja kita sediakan RM22 bilion untuk membantu rakyat. Tetapi anehnya yang BR1M ini kita bagi RM500, dia punya impak lebih daripada RM22 bilion.
"Saya semalam di Wilayah Persekutuan, tengok penerima dapat RM500, cium tangan kita tahap lain macam. Rupanya impak tunai lain, ia berkait psikologi manusia. Bila dapat tunai, orang Kedah kata 'ketaq lutut.'
"Apa pun kita buat ini kerana rakyat perlukan bantuan kerajaan yang kita boleh berikan hasil daripada perancangan jangka panjang kita," ujarnya.
-Utusan Online/maa.
Saturday, January 21, 2012
CUEPACS dakwa 1.3 juta penjawat awam tak puas hati SBPA
JOHOR BAHRU 20 Jan. – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mendakwa lebih 1.3 juta penjawat awam Gred 54 ke bawah tidak berpuas hati dengan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang didakwa tidak adil terhadap mereka.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada golongan tersebut yang melahirkan kekecewaan mengenai skim berkenaan sepanjang lima jelajah taklimat SBPA yang dijalankannya di beberapa negeri baru-baru ini.
“CUEPACS turut menerima empat memorandum mengenai semakan SBPA dan antara isu utama yang dibangkitkan adalah kenaikan gaji yang tidak menyeluruh termasuk skim gaji yang dikatakan tidak adil antara pegawai atasan dan bawahan.
“Selain itu, isu lain yang turut akan diketengahkan adalah penukaran nama jawatan sehingga memberi kesan kepada skop tugas dan faedah yang dinikmati,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Taklimat dan Dialog mengenai SBPA di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai di sini hari ini.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lalu mengarahkan SBPA disemak semula untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan pihak tertentu.
Berikutan itu, satu pasukan petugas yang ditubuhkan bagi mencari penyelesaian mengenai isu berkenaan diberi tempoh selama dua bulan sehingga 16 April depan untuk mengkaji isu-isu tersebut dan seterusnya mengemukakan cadangan kepada kerajaan.
Omar berkata, pihaknya yang turut terlibat dalam pasukan petugas bagi mengkaji semula pelaksanaan skim berkenaan berharap hasil perbincangan dan kajian yang diputuskan kelak dapat memuaskan hati semula penjawat awam di negara ini.
-Utusan Online/maa.
Thursday, January 19, 2012
Perbincangan semakan gaji babitkan kesatuan sekerja, wakil kementerian
PUTRAJAYA 18 Jan. - Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd. Sidek Hassan memberi jaminan perbincangan pasukan petugas bagi mengkaji semula pelaksanaan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) akan turut membabitkan kesatuan sekerja jabatan yang berkaitan selain wakil kementerian.
Beliau berkata, langkah tersebut perlu bagi membolehkan pasukan petugas mendapatkan penyelesaian terbaik berkenaan isu-isu yang dibangkitkan.
''Kalau mahu semua terlibat, rasanya tidak mungkin untuk kita dapatkan wakil semua kementerian, agensi, badan berkanun dan kesatuan sekerja.
''Tetapi tidak dihadkan perbincangan bila ada menyentuh satu-satu skim perkhidmatan, maka harus dipanggil mereka yang terbabit seperti ketua setiausaha, ketua pengarah dan kesatuan sekerja yang terbabit," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan surat pelantikan ahli pasukan petugas itu di sini, hari ini.
Selain Tan Sri Ismail Adam yang dilantik sebagai pengerusi pasukan itu, sembilan ahli lain termasuk Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman turut menganggotai pasukan tersebut.
Pasukan itu ditubuhkan berikutan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak minggu lepas yang mahu SBPA disemak semula untuk menyelesaikan isu-isu yang dibangkitkan pihak-pihak tertentu.
Menurut Mohd. Sidek, biar pun cuba memenuhi pandangan semua pihak, namun kerajaan juga mempunyai kekangan-kekangan tertentu.
''Dalam hal ini, sokongan dan kerjasama semua pihak amatlah saya hargai," katanya.
Sementara itu, Ismail yang juga bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berkata, berdasarkan pengalamannya, isu-isu yang dibangkitkan menjurus kepada tiga aspek iaitu pergerakan gaji, perkhidmatan dan individu (penjawat awam).
''Kalau ada ketiga-tiga isu itu kita akan bincang dengan teliti bersama-sama wakil skim perkhidmatan dan juga kesatuan yang berkenaan," katanya.
-Utusan Online/maa.