Monday, June 10, 2019

Tahan diri daripada tamak hingga lakukan rasuah - Dr Mahathir


MELAKA, 10 Jun (Bernama) -- Penjawat awam perlu menahan diri daripada berasa tamak sehingga melakukan rasuah, sabar supaya tidak cepat marah apabila berurusan dengan rakyat dan melaksanakan tugas dengan sepenuh hati kerana ia satu amanah, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata kerajaan memandang serius isu-isu yang melibatkan gejala rasuah dan salah guna kuasa dalam perkhidmatan awam, justeru adalah menjadi tanggungjawab semua pihak dalam membanteras isu ini hingga ke akar umbi.

Katanya Pelan Antirasuah Nasional yang komprehensif telah diterbitkan baru-baru ini sebagai peringatan dan amaran kepada semua pemimpin bahawa Malaysia dan rakyatnya tidak menerima amalan rasuah sama sekali.

"Usaha ini tidak boleh tercapai dengan mudah dan cepat, tetapi ia harus dimulakan dengan meletakkan asas-asas dasar yang akan membentuk budaya dan sistem yang berteraskan governans dan integriti," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian dalam ucaptamanya pada Majlis Amanat Perdana Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri Melaka di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh di sini yang turut dihadiri Ketua Menteri Melaka Adly Zahari, barisan exco dan penjawat awam negeri ini.

Dr Mahathir berkata antara langkah perlu diambil bagi menangani rasuah adalah mempertingkatkan keberkesanan dan ketelusan perolehan kerajaan, menginstitusikan kredibiliti agensi penguatkuasaan undang-undang, memperkukuh akauntabiliti dan integriti politik, memupuk tadbir urus baik dalam entiti korporat, memperkukuh kecekapan penyampaian perkhidmatan dan mempertingkatkan kredibiliti sistem perundangan dan kehakiman.

Katanya nilai dan prinsip yang ditekankan pada bulan Ramadan dan Syawal itu amat berkait rapat dengan sikap dan tindak-tanduk sebagai penjawat awam, yang mana paling utama adalah menahan nafsu yang penting dalam melaksana tangungjawab dan amanah diberi.

"Saya bekerja kerana saya percaya ia adalah satu ibadah dan saya terus bekerja, walaupun semasa saya telah bersara dahulu, kerana ibadah tidak ada noktah. Jika kita terima kerja kita lakukan satu amanah dan tanggungjawab serta ibadah, maka kita akan bekerja dengan lebih kuat dan mengharap dapat keredaan Allah.

"Sebagai penjawat awam, nilai etika, jati diri dan integriti yang tinggi adalah perkara utama yang perlu kita sama-sama hayati dan amalkan. Walaupun pekerja swasta juga diharap mempunyai nilai yang sama tetapi beban ini lebih diletak di bahu penjawat awam," katanya.

Dr Mahathir berkata sekiranya penjawat awam tidak menjaga amanah yang diberikan, maka jentera pentadbiran kerajaan akan pincang yang akhirnya akan menjejaskan kepercayaan rakyat kepada penjawat awam dan menjatuhkan imej perkhidmatan awam secara keseluruhannya.

Beliau berkata oleh sebab itu, kerajaan dan rakyat khususnya, mempunyai pengharapan yang tinggi terhadap penjawat awam agar menjadi jentera pentadbiran yang bersih, cekap dan amanah.

"Kita juga perlu peka dan prihatin dengan segala undang-undang, peraturan mahupun pekeliling yang berkuat kuasa terutamanya yang berkaitan dengan bidang tugas kita. Ini adalah untuk mengelakkan daripada membuat keputusan di luar batasan," katanya.
- BERNAMA

Thursday, May 16, 2019

3 tuntutan CUEPACS kepada kerajaan

KUALA LUMPUR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) mengemukakan tiga tuntutan kepada kerajaan seiring tempoh setahun Pakatan Harapan (PH) mentadbir negara.

Selain isu perumahan untuk penjawat awam, kesatuan itu mahu campur tangan dalam pengendalian dan pelaksanaan dasar kerajaan oleh individu lantikan politik dihentikan, serta pertimbangan memberi insentif khas sempena Aidilfitri ini.

Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda, berkata kerajaan diminta mengekalkan dasar perumahan untuk penjawat awam berikutan masih ramai belum memiliki kediaman sendiri.

Beliau berkata, jika kerajaan memutuskan tiada pengkhususan dasar untuk penjawat awam membeli rumah, kemampuan mereka bersaing dalam pasaran terbuka akan menjadi lebih mencabar.

“Berdasarkan sejarah, penjawat awam memang tidak mampu bersaing dengan gaji swasta yang lebih tinggi.

“Sekiranya dasar ini disusun semula dengan percampuran (pembelian rumah antara) penjawat awam dan swasta, kami bimbang kakitangan awam tidak akan mampu membeli rumah.

“Harga RM300,000 untuk rumah mampu milik sangat tinggi dan di luar kemampuan (penjawat awam),” katanya pada sidang media bagi mengulas tempoh setahun pentadbiran PH, di sini, hari ini.

Azih berkata, penjawat awam tidak ada harapan selain untuk kerajaan menyedia dan menawarkan rumah mampu milik kepada mereka, dengan harga tidak melebihi tahap kemampuan gaji yang diterima.

“Setiap kali cabutan (undi untuk) rumah penjawat awam, hanya 10 peratus berjaya, manakala 90 peratus lagi perlu bersaing dengan pekerja swasta dan akhirnya tidak dapat.

“Diharapkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (Zuraida Kamaruddin) melihat perkara ini. Melalui Dasar Perumahan Negara, CUEPACS pun tidak dipanggil. Dasar ini sepatutnya dapat menjamin penjawat awam untuk membeli rumah,” katanya.

Azih berkata, CUEPACS juga sudah membangkitkan perkara itu untuk pengetahuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan akan menulis surat serta bersedia bertemu menteri bertanggungjawab jika gesaan mereka tidak diberi perhatian.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya menerima aduan bahawa ada individu lantikan politik mencampuri urusan dalam perkhidmatan awam.

“Apa (aduan) yang sampai ke pejabat kami, ada dasar diputuskan lantikan politik yang tidak mahu penjawat awam buat. Mereka (lantikan politik) yang hendak buat.

“Kalau ada halangan begini, ia akan melambatkan proses pelaksanaan. Penjawat awam tidak akan berdiam diri kerana mereka memegang dan memikul tanggungjawab,” katanya.

Seterusnya, Azih menjelaskan tuntutan bayaran insentif khas sempena Aidilfitri adalah seperti tahun sebelum ini, sebagai bukti keprihatinan kerajaan membantu meringankan beban penjawat awam, terutama mereka yang memiliki keluarga besar.

Beliau sekali gus mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Perak, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang sudah menyatakan komitmen memberi insentif khas kepada penjawat awam di negeri terbabit.

“Kita sudah mengutus surat kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, justeru berharap kerajaan dapat mempertimbangkan pemberian bantuan khas kerana sara hidup ketika ini adalah tinggi serta mencabar. Diharapkan juga boleh mendapat lebih awal untuk persiapan raya,” katanya.
-berita harian.

Monday, May 13, 2019

CUEPACS tetap berharap kerajaan beri bonus sebelum hari raya

PASIR MAS, 12 Mei (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja- Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan mempertimbangkan supaya pemberian bonus raya kepada penjawat awam dan pesara kali ini diberikan sebelum sambutan Aidilfitri.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pihaknya sudah berbincang dengan Ketua Setiausaha Negara (KSN) dan menghantar surat kepada Perdana Menteri serta Menteri Kewangan agar pemberian bantuan khas itu menjadi kenyataan.


Beliau berkata pihaknya memohon agar setiap penjawat awam diberikan bonus RM1,000, manakala bagi pesara RM500, dan menurutnya bantuan khas itu dijangka membabitkan jumlah lebih RM1bilion.

"Sebelum ini hanya mereka yang Gred 41 ke bawah sahaja yang layak dan kali ini kita tidak mahu ada sekatan, semua Gred 54 ke bawah (seharusnya) layak menerimanya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Berbuka Puasa Bersama Warga Imigresen Kelantan dan Kesatuan Perkhidmatan Imigresen Seluruh Malaysia (KPISM) di sini, hari ini.

Hadir sama pada majlis berkenaan adalah presiden KPISM, Mohd Fauzi Jamaluddin serta Pengarah Jabatan Imigresen Kelantan, Azhar Abd Hamid.

Dalam perkembangan lain Azih berkata, berdasarkan aduan yang diterima, beliau mendapati fasiliti di pintu masuk utama negara di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) di Rantau Panjang sudah agak ketinggalan dan perlu pembaharuan.

"Di sini (ICQS) ada 13 agensi dengan jumlah keanggotaan adalah 213 orang dan kita dapati dengan keadaan sekarang di mana jumlah trafik yang keluar masuk semakin banyak memberikan ketidakselesaan kepada anggota yang bertugas di sini.

"Dahulunya keadaan begini mungkin sesuai, namun dengan peredaran masa kita rasakan ia perlu penambahbaikan agar anggota yang bertugas di situ lebih selesa. Di sini kita mahu supaya kerajaan melihat semula soal kebajikan dan keperluan anggota supaya dapat menjalankan tugasan dengan lebih kondusif," katanya.

Jelasnya, kerajaan perlu melihat anggota yang bertugas ini sebagai "orang penting" kepada negara kerana anggota beruniform bukan sahaja menjaga keselamatan kita tetapi bertanggungjawab memberi keselesaan kepada rakyat.

"Dalam soal ini kita memohon agar gaji kakitangan beruniform perlu lebih tinggi daripada gaji kumpulan yang lain. Kita tahu wujud kekangan di segi kewangan kepada kerajaan namun kita tetap memohon agar ia dipertimbangkan," katanya.
-Bernama.

Friday, May 10, 2019

7 teras strategik capai Kemakmuran Bersama

PUTRAJAYA 9 Mei - Dr. Mahathir Mohamad menggariskan tujuh teras strategik bagi memastikan matlamat Kemakmuran Bersama yang dirangka oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) dapat dicapai.

Menurut Perdana Menteri, Kemakmuran Bersama adalah usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara “yang terus menerus membangun secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif (equitable growth) di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan geografi” sehingga mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan di kalangan rakyat menjelang tahun 2030.

Beliau berkata, sepanjang dekad lalu, ekonomi negara telah berubah secara radikal dan ini telah menyebabkan hasrat menjadi Negara Maju seperti disandarkan di dalam Wawasan 2020 tidak tercapai.

Justeru beliau berkata, tujuh teras strategik itu ialah:

1. Pengstrukturan dan penambahbaikkan ekosistem perniagaan dan industri negara.

2. Sektor pertumbuhan baharu.

3. Reformasi bakat dan sumber tenaga negara.

4. Memperbaiki pasaran buruh dan pendapatan pekerja.

5. Memperkukuhkan kesejahteraan sosial.

6. Pembangunan wilayah yang inklusif.

7. Peningkatan modal sosial masyarakat.

Selain tujuh teras strategik di atas katanya, kerajaan juga telah mengenal pasti pemangkin lain bagi memastikan matlamat teras strategik itu dapat dicapai.

“Pemangkin (enablers) lain seperti dasar fiskal yang progresif, aras tanda urus tadbir dan integriti tinggi, penghasilan pendidikan dan TVET bernilai tinggi, modal sokongan kewangan kompetitif, penyampaian institusi kerajaan yang efektif, kestabilan monetari, big data yang komprehensif dan terangkum dan masyarakat sivil dan berpengetahuan dan sedar adalah penting untuk menyokong matlamat dan program Kemakmuran Bersama untuk mencapai keberhasilan yang terbaik, “ katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan Perdana Setahun Malaysia Baharu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, menteri-menteri Kabinet dan pemimpin parti-parti komponen PH.

Menurut Perdana Menteri, kejayaan Dasar Ekonomi Baharu dalam menstrukturkan ekonomi diukur melalui pembanterasan kemiskinan dan meningkatkan penguasaan ekuiti negara.

Pada zaman pasca moden hari ini, mengukur pembangunan dan kemakmuran menjadi lebih kompleks, katanya.

“Kerana itu, Kemakmuran Bersama tidak harus diukur hanya dengan KDNK yang tidak memberi banyak makna kepada rakyat biasa.

“ Kemakmuran Bersama seharusnya dinilai kepada apa yang dimiliki oleh rakyat seluruhnya dari segi gaji dan nilai pendapatan isi rumah, pemilikan aset kewangan, fizikal dan simpanan, penyertaan dalam rantaian bekalan, nilai jurang antara bandar dan luar bandar dan pelbagai komponen pengukuran lain yang dapat mengukur bahawa kemakmuran bersama ini telah dikongsi oleh semua rakyat secara adil dan saksama, “ jelasnya.

Tambah Dr. Mahathir, kerajaan akan terus berusaha bagi memastikan semua inisiatif di bawah Janji Kerajaan dipenuhi supaya pencapaian pada masa akan datang tercapai di atas semangat inklusiviti dan nilai keadilan yang akan menyumbang kepada kekayaan untuk dikongsi bersama seluruh rakyat berlandaskan shared prosperity (perkongsian kemakmuran).

“Kerajaan ini tidak lupa dengan tanggungjawab dan amanah yang telah diserahkan oleh rakyat kepadanya.

“Kerajaan ini akan terus bekerja keras untuk memenuhi janji-janji dan keperluan-keperluan yang boleh menyenangkan hidup rakyat, “ katanya.

-Utusan.

Tuesday, May 7, 2019

Pemimpin mesti bebas rasuah

IPOH 5 Mei - Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pemimpin yang dipilih oleh rakyat perlu bersih daripada segala jenis rasuah kerana mereka menjadi contoh kepada pihak yang lain.

Perdana Menteri berkata, rakyat sudah melihat bagaimana jika pemimpin terlibat dengan rasuah maka ramai juga anggota kerajaan dan pentadbir yang juga terlibat dengan rasuah.

“Ya bagi mereka mungkin kerana disebabkan rasuah mereka lebih sempurna, mereka mendapat pendapatan yang lebih dan apabila kita cuba bersihkan negara daripada rasuah sudah tentu mereka tidak dapat wang rasuah yang biasa diterima oleh mereka.

“Ada juga di antara kita yang berpendapat bahawa lebih baik mempunyai pemerintah yang rasuah yang akan memberi bantuan kepada kita, beri wang kepada kita secara percuma walaupun haram,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Townhall Bersama Penjawat Awam negeri Perak di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Menurut Tun Mahathir, kerajaan akan mengutamakan agenda membersihkan negara daripada pemimpin rasuah demi memastikan segala perancangan untuk pembangunan negara berjalan lancar dan mencapai matlamatnya dengan mudah dan cepat.

“Tanpa rasuah negara akan dapat dibangunkan sehingga ia akan kembali menjadi ‘Harimau Asia’ seperti dahulu,” kata beliau.

Menurut Tun Mahathir, ada juga yang berpendapat kerajaan yang ada hari ini tidak sebaik kerajaan yang lepas kerana kerajaan hari ini tidak membenarkan rasuah.

Kata beliau, untuk itu mereka beranggapan kerajaan sekarang tidak seharusnya diteruskan dan kembali kepada kerajaan yang rasuah sebelum ini yang akan menguntungkan pelaku rasuah.

“Tetapi percayalah apabila pemimpin dan kerajaan pilihan rakyat mengamalkan rasuah maka kita akan jadi mangsa, kerana kita tidak akan dapat layanan yang sepatutnya daripada kerajaan,” katanya.
-utusan online.

Tuesday, March 26, 2019

Rakyat, penjawat awam kena ‘ikat perut’

 
KUALA LUMPUR 25 Mac - RAKYAT termasuk kese­mua 1.7 juta penjawat awam diminta berkorban dan ‘ikat perut’ buat sementara waktu sehingga kerajaan dapat meng­atasi masalah kewangan negara dan menyelesaikan hutang yang didakwa lebih RM1 trilion diwarisi daripada kerajaan terdahulu.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pada waktu ini kerajaan perlu memberi tumpuan untuk membayar hutang yang tinggi dan semua pihak diminta bersabar.

Katanya, jika kerajaan berjaya menyelesaikan hutang berkenaan, pendapatan negara juga akan dapat dipertingkatkan dan akan memberi manfaat kepada rakyat keseluruhannya.

“Saya harap kita boleh bersabar, insya-Allah! kalau kita boleh bekerjasama dalam keadaan aman dan tenteram, maka kita akan dapat pulihkan kewangan dan pembangunan negara kita. Hari ini, kita telah berjaya mengurangkan sedikit hutang yang diambil oleh kerajaan terdahulu.

“Tetapi untuk menghapuskan hutang sebanyak lebih RM1 trilion, seluruh rakyat termasuk kerajaan dan anggota kerajaan perlu ikat perut sikit supaya kita dapat kurangkan perbelanjaan biasa dan kita bayar hutang.

“Walaupun kita bermasalah, tidak sampai peringkat kebuluran. Kita sebuah negara aman, boleh pulih dengan lebih cepat. Di Asia Barat, negara mereka termusnah dan satu bilion daripada rakyat mereka akan mati kelaparan,” katanya.

Beliau berkata demikian sewaktu berucap dalam majlis Perhimpunan Perdana Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) Bersama Perdana Menteri di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia dekat sini hari ini.

Yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ismail Bakar dan Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda.

Tambah Perdana Menteri, jika tidak ada tentangan daripada rakyat terutamanya penjawat awam dan ahli-ahli CUEPACS, negara ini akan pulih semula dalam tempoh tiga tahun.

Katanya, banyak rancangan yang dibuat kerajaan untuk mengatasi masalah pentadbiran daripada kerajaan terdahulu yang didakwanya mencuri wang rakyat dan negara.
-Utusan.

Wednesday, March 6, 2019

Jangan campur aduk politik dengan tugas - CUEPACS

KUALA LUMPUR 5 Mac - Penjawat awam di negara ini dinasihatkan tidak mencampuradukkan fahaman politik dengan tugas yang dijalankan supaya tiada lagi wujud unsur-unsur sabotaj sehingga boleh menyukarkan urusan kerajaan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Da­lam Per­khid­matan Awam (CUE­PACS), Datuk Azih Muda berkata, penjawat awam perlu taat dan setia kepada kerajaan yang mentadbir dan tidak bertindak dengan berkiblatkan parti politik.

“CUEPACS bersetuju dengan saranan Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail) kerana sebagai seorang penjawat awam, kita jangan sesekali sabotaj kerajaan. Ini perlu dipegang kuat oleh semua penjawat awam.

“Taat setia (penjawat awam) kepada kerajaan, raja dan negara. Jadi, jangan campur adukkan dengan fahaman politik sehingga segala maklumat kerajaan, rahsia kerajaan dan urusan kerajaan dicampuradukkan dengan politik,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Wan Azizah mengingatkan penjawat awam yang berbeza pendirian politik dan mewarisi sokongan kerajaan lama supaya tidak melakukan sebarang unsur-unsur sabotaj.

Mengulas lanjut, Azih berkata, penjawat awam perlu taat kepada kerajaan supaya kerajaan boleh menjalankan urus tadbir negara dengan baik.

Beliau malah menegaskan, beliau percaya bahawa penjawat-penjawat awam di negara ini cukup matang untuk membezakan keutamaan mereka dan bertindak untuk kebaikan negara.

“Kalau tidak mampu (taat kepada kerajaan), kita tidaklah mahu sampai ke tahap menunjukkan jalan keluar (tamatkan tugas). Kalau sampai ke tahap itu, baru dia tahu susah. Saya percaya penjawat awam ini cukup matang,” katanya.
-utusan.