Menurut Perdana Menteri, Kemakmuran Bersama adalah usaha
untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara “yang terus menerus membangun
secara mampan seiring dengan pengagihan ekonomi yang adil dan inklusif
(equitable growth) di setiap peringkat rantaian nilai, kelas, kaum dan
geografi” sehingga mewujudkan rasa keharmonian dan kestabilan di kalangan
rakyat menjelang tahun 2030.
Beliau berkata, sepanjang dekad lalu, ekonomi negara
telah berubah secara radikal dan ini telah menyebabkan hasrat menjadi Negara Maju
seperti disandarkan di dalam Wawasan 2020 tidak tercapai.
Justeru beliau berkata, tujuh teras strategik itu ialah:
1. Pengstrukturan dan penambahbaikkan ekosistem
perniagaan dan industri negara.
2. Sektor pertumbuhan baharu.
3. Reformasi bakat dan sumber tenaga negara.
4. Memperbaiki pasaran buruh dan pendapatan pekerja.
5. Memperkukuhkan kesejahteraan sosial.
6. Pembangunan wilayah yang inklusif.
7. Peningkatan modal sosial masyarakat.
Selain tujuh teras strategik di atas katanya, kerajaan
juga telah mengenal pasti pemangkin lain bagi memastikan matlamat teras
strategik itu dapat dicapai.
“Pemangkin (enablers) lain seperti dasar fiskal yang
progresif, aras tanda urus tadbir dan integriti tinggi, penghasilan pendidikan
dan TVET bernilai tinggi, modal sokongan kewangan kompetitif, penyampaian
institusi kerajaan yang efektif, kestabilan monetari, big data yang
komprehensif dan terangkum dan masyarakat sivil dan berpengetahuan dan sedar
adalah penting untuk menyokong matlamat dan program Kemakmuran Bersama untuk
mencapai keberhasilan yang terbaik, “ katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Perutusan
Perdana Setahun Malaysia Baharu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya
(PICC), di sini hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri
Dr. Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo,
menteri-menteri Kabinet dan pemimpin parti-parti komponen PH.
Menurut Perdana Menteri, kejayaan Dasar Ekonomi Baharu
dalam menstrukturkan ekonomi diukur melalui pembanterasan kemiskinan dan
meningkatkan penguasaan ekuiti negara.
Pada zaman pasca moden hari ini, mengukur pembangunan dan
kemakmuran menjadi lebih kompleks, katanya.
“Kerana itu, Kemakmuran Bersama tidak harus diukur hanya
dengan KDNK yang tidak memberi banyak makna kepada rakyat biasa.
“ Kemakmuran Bersama seharusnya dinilai kepada apa yang
dimiliki oleh rakyat seluruhnya dari segi gaji dan nilai pendapatan isi rumah,
pemilikan aset kewangan, fizikal dan simpanan, penyertaan dalam rantaian
bekalan, nilai jurang antara bandar dan luar bandar dan pelbagai komponen
pengukuran lain yang dapat mengukur bahawa kemakmuran bersama ini telah
dikongsi oleh semua rakyat secara adil dan saksama, “ jelasnya.
Tambah Dr. Mahathir, kerajaan akan terus berusaha bagi memastikan
semua inisiatif di bawah Janji Kerajaan dipenuhi supaya pencapaian pada masa
akan datang tercapai di atas semangat inklusiviti dan nilai keadilan yang akan
menyumbang kepada kekayaan untuk dikongsi bersama seluruh rakyat berlandaskan
shared prosperity (perkongsian kemakmuran).
“Kerajaan ini tidak lupa dengan tanggungjawab dan amanah
yang telah diserahkan oleh rakyat kepadanya.
“Kerajaan ini akan terus bekerja keras untuk memenuhi
janji-janji dan keperluan-keperluan yang boleh menyenangkan hidup rakyat, “
katanya.
-Utusan.
No comments:
Post a Comment