Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, berkata kerajaan menggunakan mekanisme itu bagi memastikan setiap isi rumah yang berpendapatan kurang dari RM3,000 sebulan berhak menerima bantuan berkenaan."Dijangka 3.4 juta individu akan mendaftar membabitkan nilai bantuan keseluruhan berjumlah RM2.6 bilion... Untuk itu seramai 2,000 sukarelawan LHDN akan digerakkan ke seluruh negara bagi memudahkan proses pendaftaran," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan peruntukan RM1.5 juta bagi pembinaan masjid dan penyampaian hadiah Tadika Firdaus, Rancangan Perumahan Tersusun Batu 4 di sini hari ini.Beliau berkata, kementerian berkenaan juga menyediakan bilik gerakan sepanjang proses pendaftaran dan pengagihan wang berkenaan yang dijangka bermula Januari depan. Katanya, pendaftaran akan dibuat melalui LHDN, pejabat daerah atau agensi kerajaan terbabit serta kerajaan akan mengumumkan penerima yang layak melalui media massa.
Ahmad Husni berkata, proses pendaftaran adalah sangat penting dan LHDN juga akan buka bilik gerakan dan semua sukarelawan akan membantu sepanjang proses pendaftaran termasuk di kawasan pedalaman.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak terpedaya dan sentiasa berhati-hati dengan tindakan pihak tertentu yang mengambil kesempatan mengedar borang permohonan palsu. "Kita tidak mahu ada golongan tertentu yang cuba mengelirukan bakal penerima insentif ini dengan mengedarkan borang palsu bagi mengaut keuntungan," katanya.
Beliau berkata, proses pendaftaran haruslah melalui saluran yang betul dan tidak melalui orang tengah. "Kita akan menghantar pasukan sukarelawan ini ke kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak untuk proses pendaftaran," katanya.
- BERNAMA/maa.
No comments:
Post a Comment