KUALA LUMPUR, 8 Dis – Cuepacs membantah pelaksanaan dasar pemisah yang membolehkan kakitangan awam yang berprestasi rendah disarakan atas alasan ia boleh membuka laluan kepada elemen penganiayaan meskipun adanya jaminan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Timbalan Presiden Cuepacs Azih Muda berkata, setakat ini badan induk kesatuan sekerja awam itu tidak bersetuju dengan dasar baru yang diperkenalkan selaras dengan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).
Bagaimanapun kata beliau, Cuepacs akan membuat pendirian rasmi mengenai dasar itu pada mesyuarat majlis kongres am 14 Disember ini.
“Setakat ini kami memang tidak bersetuju. Pendirian rasmi akan dibuat oleh mesyuarat majlis kongres minggu depan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.
Azih berkata pihaknya khuatir komponen dan kriteria yang digunakan untuk menilai seseorang kakitangan akan digunakan untuk membuang atau menukar seseorang penjawat.
“Cuepacs juga merasakan markah 70, 69 dan ke bawah sebagai satu paras yang terlalu tinggi untuk melaksanakan dasar pemisah ini, untuk menghentikan seseorang kakitangan awam,” kata beliau dengan membuat perbandingan dengan ukuran dalam peperiksaan sekolah.
“Dalam peperiksaan SPM pun, 70 peratus bermakna lulus B, tetapi di perkhidmatan awam, dengan dasar pemisah ini akan membawa kepada tindakan menghentikan seseorang pekerja.
“Itu sebab kami merasakan paras markah ini terlalu tinggi selain kemungkinan boleh wujud elemen penganiayaan,” kata beliau lagi.
Terdahulu dalam satu penjelasan, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Abu Bakar Abdullah berkata, pelaksanaan dasar itu tidak wajar menjadi satu isu kerana bilangan kakitangan yang tergolong dalam kumpulan mereka berprestasi rendah sangat kecil.
Tambah beliau, rekod JPA menunjukkan bilangan mereka yang memperoleh markah 69 peratus dan ke bawah, kumpulan yang terdedah kepada tindakan disarakan di bawah sistem SBPA, yang akan dilaksanakan mulai 1 Januari ini, hanyalah 1.1 peratus.
Paras itu bersamaan dengan sekitar 15,400 orang daripada keseluruhan 1.4 juta kakitangan awam buat masa sekarang.
“Jadi, ini tidak sepatutnya menjadi isu besar ditambah pula dengan jaminan JPA akan menyiasat terlebih dahulu sebelum diambil tindakan supaya dapat dielakkan penganiayaan,” kata beliau kepada The Malaysian Insider hari ini.
Abu Bakar berkata, berhubung dengan isu penjawat berprestasi rendah iaitu markah prestasi di bawah 70 akan dibersarakan, semakan JPA ke atas sampel laporan prestasi bagi tahun 2010 melibatkan 131,196 orang penjawat awam atau 10 peratus, seramai 39 peratus memperoleh 90 markah dan ke atas, dan ia disusuli dengan 55.6 peratus mengumpulkan 80 hingga 89 markah dan 4.3 peratus lagi antara 70 hingga 79 markah.
“Mereka yang prestasi di bawah 70 iaitu 69 ke bawah hanyalah 1.1 peratus,” katanya lagi yang semalam menyifatkan angka kakitangan awam berada dalam kategori itu sangat minimal.
Ketika ditemui pada majlis pelancaran pekeliling SBPA bagi kakitangan perkhidmatan umum, guru, polis dan Angkatan Tentera Malaysia semalam, Abu Bakar berkata, penjawat kerajaan yang tidak memperlihatkan prestasi baik akan dinilai mulai Januari depan, susulan pelaksanaan sistem SBPA dan akan dihentikan kerja jika terus gagal memperbaiki kedudukan mereka selepas proses penilaian.
Abu Bakar menjelaskan penilaian akan dibuat ke atas kakitangan awam yang memperoleh 69 markah dan ke bawah.
“Kita akan menilai mulai tahun depan. Mereka akan dinilai oleh panel dan akan diberi peluang untuk memperbaiki prestasi masing-masing, dan jika masih tidak berubah, mereka akan dibuang kerja,” kata beliau.
SBPA akan dikuatkuasakan mulai 1 Januari ini bagi menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM).
Abu Bakar berkata, mereka bukan dihentikan secara automatik jika gagal mempamerakan prestasi tidak memuaskan, sebaliknya akan diberi peluang bagi memperbaiki keadaan.
“Tetapi akan dinilai oleh panel, selama enam bulan, mungkin ada sebab mengapa seseorang kakitangan awam tidak berkhidmat dengan baik. Kita semua manusiakan,” katanya.
Azih menambah, pihaknya seebnarnya telah berharap kerajaan dan JPA sewajarnya telah mengadakan perbincangan dengan Cuepacs sebelum memperkenalkan dasar baru ini.
“Sepatutnya JPA telah berbincang dengan Cuepacs sebelum melaksanakan,” kata Azih.
No comments:
Post a Comment