Thursday, January 12, 2012

CUEPACS, KSN BINCANG ISU SBPA DITANGGUH

Sinar Harian
NURUL NADIA MOHD KAMARUZAMAN
January 12, 2012




SHAH ALAM - Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sedang mengadakan mesyuarat bersama Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Sidek Hassan berkaitan isu keputusan kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Timbalan Presiden Cuepacs, Azih Muda berkata, pihaknya akan membincang isu ini dan akan memberi penjelasan petang nanti.
"Sekarang tengah mesyuarat dengan KSN, pasal isu ini (SBPA). Telefon balik petang nanti untuk mendapatkan penjelasan," kata beliau kepada Sinar Harian Online ketika dihubungi sebentar tadi.

Pagi tadi, Sinar Harian Online membawa laporan Kabinet memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan sistem SBPA, yang berkuat kuasa sejak 1 Januari lalu, dipercayai ekoran rasa tidak puas hati di kalangan sebahagian besar kakitangan awam.

Sinar Harian Online difahamkan keputusan mengejutkan ini diputuskan dalam mesyuarat mingguan semalam.

Isnin lalu, kenyataan Kementerian Kewangan menyebut pembayaran gaji penjawat awam bagi bulan Januari yang akan dilakukan pada 16 Januari ini sempena perayaan Tahun Baru Cina, adalah berdasarkan gaji Sistem Saraan Malaysia manakala perbezaan gaji penjawat awam yang memilih opsyen SBPA akan dibayar pada 31 Januari.

Pembayaran gaji SBPA tidak dapat dilakukan sepenuhnya pada 16 Januari berikutan keputusan kerajaan untuk melanjutkan tempoh opsyen SBPA dari 31 Disember 2011 kepada 15 Januari.

Menurut sumber, Kabinet mempertimbangkan tiga sebab utama dalam memutuskan penangguhan SBPA, yang menggantikan Sistem Saraan Malaysia.

"Antaranya tiadanya perundingan secukupnya dengan wakil pekerja (kesatuan sekerja) dan peratusan kenaikan gaji yang tidak seimbang antara kumpulan kakitangan rendah dan tertinggi," kata sumber.

No comments: