Perutusan Yang Dipertua
Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM,
Semenanjung Malaysia
Semenanjung Malaysia
Bilangan 2/2012
11 Jun 2012
Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia,
Rakan-rakan sekerja sekelian,
Sepertimana saudara/ saudari sekelian telah maklum bahawa Y.Bhg Dato’ Mirza Mohammad Taiyab telah hadir pada hari ini bagi menyambung semula tugas beliau selaku Ketua Pengarah TM. Kehadiran beliau adalah bertepatan sekali dengan sambutan Ulangtahun ke-40 Tourism Malaysia yang bakal diraikan pada bulan Ogos nanti.
Bagi pihak Kesatuan, kami mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan kehadiran Y.Bhg. Dato’ KP kembali bertugas di TM. Pandangan yang positif perlu terus disemai ke lubuk hati dan fikiran kita masing-masing. Ini adalah kerana dengan kehadiran semula beliau mengemudi jentera TM, maka, Kesatuan dengan penuh pengharapan berdoa agar kita menjadi lebih kuat dan tersusun sepertimana ia sepatutnya. Kesatuan berharap agar setiap dari kita terus bersatu demi mencapai kecemerlangan yang lebih banyak di masa-masa yang akan datang.
Pihak Kesatuan menghantar satu surat rasmi bagi menerangkan harapan dan doa Kumpulan Pelaksana sambil menyambut Y.Bhg. Dato’ kembali bertugas pada 11 Jun 2012. Rata-rata pegawai dan kakitangan TM menyambut berita ini dengan gembira. Bagi pihak Kesatuan, kejayaan beliau untuk kembali bertugas telah menjadi aspirasi untuk kami bekerja dengan lebih tekun dan dedikasi. Ia juga telah menjadi kejayaan kita semua kerana doa yang tiada putus serta sokongan yang tidak berbelah bahagi telah menyatukan kita semua demi memberi sumbangan yang lebih besar kepada organisasi, amnya dan industri pelancongan Malaysia, khususnya.
Kesatuan bermohon agar komitmen Y.Bhg. Dato’ KP terhadap kebajikan kumpulan pekerja tidak dilupakan malah, ditambah lagi untuk mengimbangi keperluan-keperluan kami dengan organisasi yang tercinta ini. Kesatuan berasa amat yakin bahawa sinar baru TM hanya akan terbit jika keharmonian dalam organisasi elok terpelihara. Malah, perkara ini juga hanya akan tercapai dengan kepimpinan yang adil dan bersifat prihatin. Semoga ianya terlaksana.
Ucapkan tahniah dan selamat kepada Y.Bhg. Dato’ dan semoga segala harapan dan impian menjadikan TM sebagai badan berwajib yang disegani tercapai.
Sekian terima kasih,
(HASRIZAL MUHAMMAD SHAWAL TUKIJAN)
Yang Dipertua
Kesatuan Pekerja-Pekerja
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia
Semenanjung Malaysia
-maa.
No comments:
Post a Comment