Showing posts with label Kesatuan Pekerja-Pekerja Lppm. Show all posts
Showing posts with label Kesatuan Pekerja-Pekerja Lppm. Show all posts

Thursday, September 28, 2017

Laman Web Kesatuan Pekerja-pekerja LPPM


Sila layari laman web Kesatuan Pekerja-pekrja LPPM di http://kesatuanlppm.org.my/
 
Halatuju Kesatuan :
  • Mempertahankan hak pekerja berdasarkan kepada kontrak pekerjaan, pekeliling, Akta Kesatuan Sekerja 1959, Akta Perusahaan 1969, Akta Kerja 1955.
  • Menyediakan program yang dapat meningkatkan kesedaran dan pengetahuan pentingnya kesatuan.
  • Memberikan faedah kepada ahli-ahli kesatuan bagi membantu serba sedikit tanggungan kos sara hidup yang kian mencabar.
  • Memberikan ruang dan peluang kepada ahli membangunkan kesatuan dengan pendapat dan ideologi yang baru.
  • Memberikan latihan dan mencungkil bakat baru bagi mewarisi kepimpinan kesatuan.
  • Membuat kajian diperingkat kesatuan bagi kebaikan ahli dan Penjawat Awam Malaysia di peringkat CEUPACS.
-Laman Web Kesatuan Pekerja-pekerja LPPM.

Sunday, November 6, 2016

Ahli Jawatankuasa Kesatuan Bertemu Ketua Pengarah LPPM

01 November 2016 sesi suaikenal AJK baru bersama Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Seri Mirza Mohammad Taiyab Beg. Tterima kasih kerana meluangkan masa bersama Exco2 Kesatuan Pekerja-Pekerja Lppm.

1. Muhammad Khairul Azhar b. Jamil..Presiden
2. Nasrul Hadi b. Menan...Naib Presiden
3. Haslina B. HJ Hassan...Setiausaha
4. Na Anzalna b. Mohd Rasid...Penolong Setiausaha
5. Jailis b. Mojukin...Bendahari
6. Zaleha b. Shaari...AJK
7. Aslina b. Abd Hadi...AJK
8. Mat Yusuf b. Che Nam...AJK
9. Roslan b. Abd Rahim...AJK
10. Nor Ridzwan b. Mat Nor...AJK
11. Mohd Sharmi b. Mohd Sekeri...AJK
12. Shahrul Nizam b. Ismail...AJK


-kesatuan pekerja-pekerja lppm.

Tuesday, October 25, 2016

Konvensyen Majlis Bersama Jabatan (MBJ), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia

Majlis Pelancaran Konvensyen Majlis Bersama Jabatan (MBJ), Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia bersama Y.Bhg. Tan Sri Dr. Ong Hong Peng, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan Malaysia.


Majlis Bersama Jabatan (MBJ) ialah sebuah medium dua hala, di mana Pihak Pekerja diberi saluran untuk berkomunikasi dengan Pihak Pengurusan dalam menyuarakan pendapat, pandangan serta menyumbang idea-idea yang bernas demi kepentingan dan kebaikan organisasi.

-MOTAC facebook.

Friday, September 4, 2015

Mesyuarat Agung Kesatuan Pekerja – Pekerja LPPM 2015

Salam Sejahtera dan Salam Sehati Sejiwa

Y.Bhg. Datuk/Dato’/Datin/Tuan/Puan

Di maklumkan bahawa Mesyuarat Agung Kesatuan Pekerja – Pekerja LPPM akan diadakan pada 1 Oktober 2015 (Khamis) bertempat di Dewan Serbaguna, KPK.

Oleh itu kepada semua ahli kesatuan yang mempunyai usul/cadangan serta pendapat bolehlah email kepada saya haslina@tourism.gov.my pada atau sebelum 28 September 2015 (Isnin) untuk dibincangkan semasa Mesyuarat Agung berlangsung.

Semua warga ahli Kesatuan dan kepada yang berminat untuk menjadi ahli kesatuan di jemput hadir semasa mesyuarat agung kali ke 36 berlangsung.

Sekian terima kasih.

BERSATU KITA TEGUH BERCERAI KITA ROBOH

HASLINA HASSAN
SETIAUSAHA
KESATUAN PEKERJA - PEKERJA LPPM

Tuesday, December 30, 2014

Misi bantuan Banjir Ajuran Puspanita MOTAC dengan kerjasama Kesatuan Pekerja–Pekerja LPPM


Assalamualaikum/Salam Sejahtera YBhg. Dato’/Datuk/Datin/Tuan/Puan,

Dimaklumkan bahawa Puspanita MOTAC dengan kerjasama Kesatuan Pekerja–pekerja LPPM akan menjalankan Misi Bantuan Banjir Di Kelantan. Oleh itu kutipan derma bagi menjayakan misi tersebut akan di adakan seperti berikut:-
 
          Tarikh        :        30 Disember 2014 hingga 12 Januari 2015

          Tempat      :        Bilik Kesatuan, Tingkat 6A, Bangunan KPK

          Masa          :        1.00 tengahari hingga 2.00 petang

Keperluan – keperluan adalah seperti berikut wang ringgit, tuala mandi, selimut, kain batik, kain pelikat dan tshirt (dalam keadaan baik)

Kerjasama YBhg. Dato’/Datuk/Datin/Tuan/Puan, adalah dipohon agar dapat membantu pihak kami bagi menjalankan misi ini.

Sekian.
 
-Kesatuan Pekerja-pekerja LPPM.

Monday, September 22, 2014

Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-35 Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM Semenanjung Malaysia

Calon - Calon Jawatankuasa Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM Semenanjung Malaysia Dan Juga Ahli Jawatankuasa Yang Menang Tanpa Bertanding Bagi Penggal 2014 - 2016 Kesatuan Pekerja-Pekerja Lppm


Wednesday, January 1, 2014

Perutusan Yang Dipertua Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM, Semenanjung Malaysia - Sempena Tahun Baru 2014


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh
Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia

Rakan-rakan pekerja sekelian, bersyukur kita kerana sekali lagi diberi peluang untuk bersama-sama mencari rezeki yang halal demi keluarga tercinta. Mewakili Kesatuan LPPM, saya mendoakan agar saudara/ saudari sekelian berada dalam keadaan yang terpelihara dan sejahtera hendaknya. 

Hari demi hari, suasana di tempat kerja menjadi semakin mencabar. Malah, pada setiap cabaran itulah yang akan membentuk peribadi dan kecekalan diri kita dari semasa ke semasa. Semakin lama, kehidupan warga kerja Tourism Malaysia, khususnya pegawai-pegawai di kumpulan pelaksana telah menjadi buah mulut serta perhatian banyak mata. 

Sepanjang tahun 2013, Kesatuan LPPM telah sedaya upaya memberi yang terbaik dalam memenangi setiap isu dan pelbagai perkara yang berbangkit. Kami bersyukur, dalam setiap liku dan cabaran yang menerpa, di situ juga terbuka pintu-pintu hikmah demi kebajikan kumpulan pekerja. Kami berdoa agar pintu-pintu itu akan terus terbuka demi kebaikan kita bersama.
  
Saudara/ saudari sekelian, jumlah keahlian Kesatuan LPPM sentiasa terus bertambah dan semakin hampir ke angka sasaran. Seperti yang kami war-warkan selama ini bahawa 500 keahlian akan direalisasikan dengan kerjasama dan sokongan tuan / puan sekelian. Kami sentiasa memandang tinggi kepada matlamat ini. Semoga sokongan dan kepercayaan tuan / puan akan menghadirkan berita gembira untuk kami. Ucapan terima kasih dan setinggi penghargaan juga kami sampaikan kepada tuan / puan yang selama ini telah setia dan berjuang bersama kami, membelah badai dan menghempas ombak tanpa gusar atau gentar. Alhamdulillah, kesetiaan tuan / puan telah menyuntik semangat dan kekuatan untuk saya dan rakan-rakan dalam Jawatankuasa untuk terus maju memperjuangkan kebajikan dan kepentingan pekerja di Tourism Malaysia.

Saudara/ saudari sekelian,

Seperti yang telah dimaklumkan oleh Puan Setiausaha baru-baru ini, perjumpaan bersama CUEPACS telah diadakan sebagai simbol kerjasama yang semakin kukuh diantara Kesatuan LPPM dan CUEPACS. Perbincangan yang rasmi diadakan menjurus kepada pelbagai isu dan perkara-perkara berbangkit khususnya yang berlaku di Tourism Malaysia. Sokongan serta keterbukaan CUEPACS amat penting demi membantu kami memahami selok-belok hal pekerja. Untuk makluman tuan / puan sekelian, satu lagi sesi bersama CUEPACS akan diadakan pada masa yang terdekat ini bersempena perlantikan Presiden baru CUEPACS, Encik Azih Muda. Kami berdoa dan berharap agar hubungan baik yang telah diwujudkan ini akan memberi manfaat kepada seluruh warga kerja Tourism Malaysia sekaligus mengukuhkan organisasi sehingga menjadi penting dan berpengaruh di kalangan industri pelancongan negara.

Walaupun hasil perbincangan tersebut telah diwar-warkan, namun, saya memohon agar tiada spekulasi dibuat tanpa perbincangan yang lebih teliti. Tujuan kami sentiasa jelas dan memihak kepada kumpulan pekerja. Kami telah memohon kerjasama CUEPACS untuk membantu Tourism Malaysia dalam menyelesaikan isu permohonan pertambahan dan kenaikan jawatan termasuk jawatan pengurusan tertinggi sehinggalah jawatan di peringkat pelaksana. 

Saya memberi jaminan, bahawa Kesatuan LPPM berniat untuk memberikan yang terbaik kepada kumpulan pekerja sekaligus kepada organisasi yang tercinta ini. 

Rakan-rakan sekelian,

Kesatuan LPPM melalui MBJ Bil 3/2013 telah menyampaikan maksud yang jelas kepada pihak Pengurusan Tertinggi Tourism Malaysia. Sudah sampai masanya kita mengangkat martabat dan kekuatan nama organisasi kita ke peringkat yang lebih tinggi. Tourism Malaysia serta sekian isinya perlu bangkit untuk bermegah dan bangga dengan setiap pencapaian di sepanjang 42 tahun penubuhannya.

Setiap kemajuan yang dialami oleh industri pelancongan negara tidak datang bergolek. Pada setiap bangunnya hotel serta pusat-pusat pelancongan dalam negara ini perlu berterima kasih di atas kerja keras tuan / puan sekelian yang sentiasa setia memacu setiap arahan dan tugasan yang diberikan demi membawa misi negara mencapai jumlah kedatangan pelancong yang tinggi saban tahun. Sekian warga kerja Tourism Malaysia di setiap peringkat wajib diberikan penghargaan yang tinggi di atas setiap pencapaian tersebut. 

Dalam hal ini, Kesatuan LPPM telah memohon agar bayaran bonus diberikan kepada pekerja khususnya sempena sambutan Tahun Melawat Malaysia 2014. Secara dasarnya, perkara tersebut telah mendapat sambutan yang baik di peringkat Pengurusan Tertinggi Tourism Malaysia. Kami berdoa agar perkara tersebut dipertimbangkan dengan mendalam sehingga tercapai.

Pada masa yang sama, saya menyeru rakan-rakan pekerja sekelian agar memberikan yang terbaik kepada organisasi sehingga angka keramat 28.0 juta pelancong terpahat di dalam statistik kehadiran pelancong 2014. Sekaligus menjadi penanda aras yang baru kepada ketertinggian semangat serta reputasi hebat seluruh warga kerja Tourism Malaysia. Kami seru agar kita bersatu demi matlamat yang satu ini.

Pada masa yang sama, sifat sepakat serta kekeluargaan yang selama ini menjadi lambang kepada kekuatan Tourism Malaysia perlu diteruskan. Hapuskan segala sifat iri dan hasad pada diri kita. Tutup segala ruang kelemahan yang ada dan gantikan dengan segala kekuatan demi maruah sesama kita. Sokongan penuh perlu ditunjukkan terhadap kepimpinan YBhg Dato’ Ketua Pengarah bagi menghalang anasir-anasir luar yang mempengaruhi sekaligus menjadi faktor perpecahan di kalangan kita. One should response and aware their stand towards the organization. Sudah sampai masanya kita hentikan ketakutan. Masanya juga sudah tiba untuk kita bersatu menjadi kuat demi organisasi dan kebajikan pekerja secara menyeluruh. 

Rakan-rakan sekelian, 

Sokongan yang tiada henti kepada saya dan Kesatuan LPPM akan menjadi kunci kejayaan kumpulan pekerja di Tourism Malaysia. Intergriti akan menjadi simbol yang sangat besar sekaligus membalas kepercayaan tuan / puan sekelian. Selama mana Yang Dipertua menjadi pangkal kepada amanah yang diberikan kepada saya, selagi itu jua maruah pekerja akan kami pelihara.

Kami juga tidak lupa mengucapkan ribuan terima kasih dan penghargaan kepada seluruh pegawai di Bahagian Sumber Manusia & Pentadbiran (BSMP) di atas segala kerjasama dan komitmen yang telah mereka berikan kepada Kesatuan LPPM selama ini. Hubungan murni dan harmoni telah menjadi trend baru diantara majikan dan pekerja perlu diteruskan. Faedah yang berterusan pasti mencari jalan dengan sendirinya tanpa paksaan. Sekali lagi terima kasih diucapkan.  

Tahun baru kini menjelang tiba meninggalkan seribu kenangan. Tidak kira dengan linangan air mata kesedihan mahupun kegembiraan, kedua-duanya sama penting demi mematangkan fikiran serta tindak-tanduk kita di masa mendatang. Samalah jua bagi kami, pelbagai lagi perkara yang perlu dibincangkan. Tahun depan akan menjadi satu lagi platform untuk kami mendepangkan tangan demi perjuangan ini. 

Isu kenaikan pangkat di pelbagai peringkat gred, elaun khas perumahan, kuarters, insurans kemalangan, kebajikan pemandu, insentif persaraan, tabung kebajikan bencana dan kemalangan serta banyak lagi akan menjadi antara isu yang akan kami bawakan kepada perhatian majikan. Insyallah, dengan segala doa dan harapan tuan / puan, semoga ia terlaksana.

Demi tahun yang lebih gemilang, Kesatuan LPPM akan sekali lagi duduk di barisan hadapan mewakili tuan / puan. Semoga segala rancangan mendapat berkat dan redha Allah SWT. Kesatuan LPPM dengan ini mengambil kesempatan mengucapkan selamat tahun baru, semoga yang terbaik akan selamat singgah di hadapan tuan / puan sekelian. Kami juga berdoa agar kempen Tahun Melawat Malaysia 2014 akan cemerlang sekaligus kekal menjadi lambang kejayaan kita untuk panduan berpuluh generasi yang mendatang.


Insyallah
Sehingga kita berjumpa lagi,

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

HASRIZAL MUHAMMAD SHAWAL TUKIJAN
Yang Dipertua
Kesatuan Pekerja-Pekerja
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, 
Semenanjung Malaysia 

Sunday, September 29, 2013

Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-34


Kepada semua ahli-ahli Kesatuan Pekerja-Pekerja Tourism Malaysia,

Dimaklumkan bahawa Mesyuarat Agung Kesatuan kali ke 34 akan diadakan pada 30 September 2013 seperti poster yang dilampirkan di atas. Mohon kerjasama semua ahli Kesatuan agar menghadirkan diri tepat pada waktunya.  

Untuk makluman tuan/puan juga, tetamu jemputan Dato’ Hj Omar Osman akan hadir bersama. Sekian terima kasih.

-Kesatuan.

Wednesday, May 22, 2013

SIARAN MEDIA


KESATUAN PEKERJA-PEKERJA
LEMBAGA PENGGALAKAN PELANCONGAN MALAYSIA
SEMENANJUNG MALAYSIA
(No. Pendaftaran: 531)

SIARAN MEDIA




KESATUAN MENGALU-ALUKAN YB DATO’ SERI MOHAMED NAZRI BIN TAN SRI ABDUL AZIZ SELAKU MENTERI DI
KEMENTERIAN PELANCONGAN & KEBUDAYAAN MALAYSIA



Putrajaya, 16 Jun 2013: Kesatuan Pekerja-Pekerja Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia (LPPM) memanjatkan rasa syukur dan gembira di atas perlantikan YB Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Tan Sri Abdul Aziz selaku Menteri di Kementerian Pelancongan & Kebudayaan Malaysia yang baru. Kesatuan percaya dengan keupayaan beliau untuk menyambung segala usaha mempromosi negara bagi memastikan Malaysia menjadi destinasi pilihan dunia. Di samping itu, Kementerian Pelancongan & Kebudayaan Malaysia dan Tourism Malaysia sudah pasti akan bekerja dengan lebih gigih dan bermotivasi tinggi khususnya bagi mempersiapkan negara dalam menyambut Tahun Melawat Malaysia 2014.



Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM akan memberi sokongan yang padu kepada YB Dato’ Seri Mohamed Nazri dan berharap agar kecemerlangan industri pelancongan negara yang telah dikecapi selama ini akan terus berkembang dan maju di bawah kepimpinan beliau.
Pada masa yang sama, Kesatuan mengucapkan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada YBhg. Dato’ Seri Dr Ng Yen Yen, di atas segala sumbangan beliau selama menjawat jawatan Menteri Pelancongan Malaysia.

Diterbitkan oleh :

HASRIZAL MUHAMMAD SHAWAL TUKIJAN

Yang Dipertua
Kesatuan Pekerja-Pekerja
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, Semenanjung Malaysia





Wednesday, May 1, 2013

Perutusan Yang Dipertua Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM, Semenanjung Malaysia Sempena Sambutan Hari Pekerja, 1 Mei 2013


Perutusan Yang Dipertua
Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM, Semenanjung Malaysia
Bilangan 2/2013
Sempena Sambutan Hari Pekerja, 1 Mei 2013

Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia,

Rakan-rakan sekerja sekelian,

Di kala ini, kita terlalu kerap mempersoalkan tentang hak dan kepentingan masing-masing dalam organisasi yang satu ini. Tourism Malaysia selaku tempat punca rezeki untuk kita menyara anak dan isteri telah menjadi suatu tempat yang misteri. Kerap juga kita disogok dengan harapan dan dongengan semata-mata untuk dijadikan picu supaya terus cekal memandu industri ke tempat yang lebih tinggi. Kini, setelah 40 tahun menabur bakti, Tourism Malaysia ternyata masih teguh berdiri, kukuh serta terus didukungi oleh sekelian warga pekerja dari pelbagai generasi. Jika dilihat dari satu sudut intrepretasi, ini pasti satu pencapaian yang berprestasi tinggi.

Saban tahun statistik ketibaan pelancong ke Malaysia menggambarkan kejayaan yang tidak disangkal sama sekali. Kejayaan demi kejayaan bersilih ganti sehingga tidak putus kata puji dari dalam mahupun di luar negeri. Lantaran dari itu, tidak hairanlah jika semua pihak berasa layak untuk berdiri sama tinggi, berkongsi persepsi malah berebut-rebut pula untuk bergambar bersama Menteri.

Secara jujur, Kesatuan melihat perkara-perkara tersebut sebagai satu kronologi singkat yang melentur kekuatan organisasi ini supaya terus disegani. Pada masa yang sama, Kesatuan tidak lupa berharap agar pembangunan dan peningkatan organisasi ini akan selari dengan perlaksanaan kepentingan kumpulan pekerja, khususnya warga kumpulan sokongan di Tourism Malaysia. Sudah sampai masanya untuk kita diberi perhatian dan pengiktirafan yang sama banyak dengan kumpulan di jawatan yang tinggi. Tidak perlu menjadi dungu untuk bercerita tentang gaji. Kesatuan hanya ingin menyentuh perkara-perkara yang berkaitan peluang peningkatan kerjaya serta kemudahan-kemudahan lain yang layak diberi.

Sebagai contoh, Kesatuan mahu kekosongan jawatan diisi tanpa kompromi. Baru-baru ini, sebanyak 5 jawatan E38 diberi kenaikan pangkat ke E41. Seharusnya kekosongan jawatan tersebut diisi dengan kadar yang segera supaya pergerakan boleh terlaksana dengan lancar.  Kesatuan berpendapat bahawa perkara ini perlu diberi perhatian yang tinggi oleh BSMP demi menjamin keharmonian di kalangan pekerja terutamanya kita yang berada di kumpulan sokongan. Kesatuan faham jika BSMP tidak mampu untuk memberikan peluang itu kepada semua, namun, sekurang-kurangnya 10 orang daripada kami akan dapat menikmati kenaikan tersebut. Sehubungan itu, Kesatuan akan berjuang demi memberikan hak berkenaan kepada kita di kumpulan sokongan. Pastinya, jawatan-jawatan lain di pelbagai peringkat gred juga akan diberi perhatian, khususnya gred-gred jawatan B, C dan D.

Kesatuan akan cuba sedaya upaya untuk menarik perhatian pihak yang berwajib berkenaan isu tersebut. Apa yang kami harapkan ialah sokongan dan semangat yang positif di kalangan warga Kesatuan supaya setiap perjuangan yang kami cuba bawakan tidak akan dipandang ringan oleh BSMP dan pihak pengurusan tertinggi.

Bersempena sambutan Hari Pekerja pada kali ini, Kesatuan dengan penuh dedikasi akan cuba sehabis baik untuk mengupas isu-isu serta cadangan dan pandangan semua pihak. Hubungan baik Kesatuan dengan pihak CUEPACS baru-baru ini telah membuka lembaran yang unik sekaligus menjanjikan sesuatu yang istimewa. Kami dengan penuh pengharapan agar semua tunjuk ajar dan sokongan YBhg. Datuk Hj Omar Osman, Presiden CUEPACS akan membantu peningkatan pencapaian Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM (Tourism Malaysia) di masa yang terdekat ini. Untuk makluman semua, Kesatuan telah menyuarakan beberapa perkara kepada beliau termasuk isu waran perjawatan yang telah dikelirukan sama sekali oleh pihak-pihak tertentu. Kami berasa berterima kasih dan bersyukur kerana usaha kami telah mendapat respon yang positif dari pihak CUEPACS dan Y Bhg. Datuk Hj Omar sendiri.

Bagi merealisasikan hak-hak warga pekerja, satu program bersama CUEPACS untuk diadakan di Tourism Malaysia sedang diperincikan. Harapan kami agar mendapat kerjasama warga Kesatuan sekelian. Semoga lawatan CUEPACS melalui program berkenaan akan membuka lebih banyak peluang kepada kita.

Rakan-rakan sekerja sekelian,

Jika tuan/ puan perhatikan, beberapa mantan Yang Dipertua Kesatuan telah pun kembali bertugas di ibu pejabat. Sukacita saya maklumkan bahawa pengalaman mereka ini semua akan menjadi sumber inspirasi kepada diri saya sendiri agar memberikan yang terbaik kepada Kesatuan. Semoga segala tunjuk ajar akan dapat dimanfaatkan ke arah yang menguntungkan kumpulan pekerja. Pada masa yang sama, Kesatuan juga komited untuk bekerjasama dengan Kumpulan P & P bagi melihat isu-isu kumpulan pekerja secara yang menyeluruh. Kami berharap agar wakil Kumpulan P & P juga akan mengambil sikap yang proaktif dan selari dengan susur perjuangan Kesatuan.

Demi menyambut Hari Pekerja pada tahun ini, Kesatuan ingin menyeru seluruh warga pekerja, khususnya para ahli Kesatuan untuk sentiasa bantu-membantu dalam segala bidang termasuk mengekalkan bentuk hubungan yang lebih harmoni dan erat sekaligus meningkatkan silaturrahim di antara kita. Kesatuan percaya bahawa perkara tersebut akan mewujudkan kejayaan di dalam diri kita sendiri serta organisasi yang dicintai ini.

Akhir kata, Kesatuan ingin bermohon agar komitmen Y.Bhg. Dato’ Ketua Pengarah terhadap kebajikan kumpulan pekerja tidak akan luntur malah, bertambah segar dalam mengimbangi keperluan-keperluan yang wajar. Kesatuan berasa amat yakin bahawa sinar baru yang kita nantikan akan terbit tepat pada masanya.
Sepertimana harapan dan doa kami sebelum ini, Kesatuan masih percaya bahawa bentuk kepimpinan yang adil dan bersifat prihatin sahaja yang akan memelihara organisasi ini. Semoga ianya terlaksana.

Rakan-rakan sekerja sekelian,

Kesatuan akan sentiasa bersama anda. Itu ialah janji. Semoga Hari Pekerja pada tahun ini akan memberi peluang dan ruang yang luas kepada kita semua agar menjadi yang terbaik.
 
Sekian terima kasih,  

(HASRIZAL MUHAMMAD SHAWAL TUKIJAN)
Yang Dipertua
Kesatuan Pekerja-Pekerja
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia
Semenanjung Malaysia.

Monday, October 1, 2012

Gambar-gambar AGM ke 33 Kesatuan Pekerja-pekerja LPPM

Upacan Y.Bhg. Dato' Ketua Pengarah

Pengarah-pengarah Bahagian & KP ITC

Ahli-ahli Kesatuan

Ahli-ahli Kesatuan

Ahli-ahli Kesatuan


Ahli-ahli Kesatuan

Ahli-ahli Kesatuan

Ahli-ahli Kesatuan

Ahli-ahli Kesatuan

Ahli-ahli Kesatuan

Jawatankuasa Kerja lama dan baru
-maa.

Tuesday, September 4, 2012

Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pusat Pengedaran Tourism Malaysia


Assalammualaikum wbt,

Adalah saya dengan hormatnya ingin menjemput Y.Bhg Dato/Datin/Tuan/Puan/Saudara/Saudari ke Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pusat Pengedaran Tourism Malaysia pada 7 September 2012 (Jumaat) jam 2.30pm-5.30pm. Semua dijemput hadir bagi memeriahkan majlis.

Daripada
Pusat Pengedaran Tourism Malaysia Bangi


Monday, June 11, 2012

Perutusan YDP: Y. Bhg. Dato' KP kembali bertugas

Perutusan Yang Dipertua


Kesatuan Pekerja-Pekerja LPPM,
Semenanjung Malaysia

Bilangan 2/2012

11 Jun 2012

Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia,

Rakan-rakan sekerja sekelian,

Sepertimana saudara/ saudari sekelian telah maklum bahawa Y.Bhg Dato’ Mirza Mohammad Taiyab telah hadir pada hari ini bagi menyambung semula tugas beliau selaku Ketua Pengarah TM. Kehadiran beliau adalah bertepatan sekali dengan sambutan Ulangtahun ke-40 Tourism Malaysia yang bakal diraikan pada bulan Ogos nanti.

Bagi pihak Kesatuan, kami mengucapkan tahniah dan mengalu-alukan kehadiran Y.Bhg. Dato’ KP kembali bertugas di TM. Pandangan yang positif perlu terus disemai ke lubuk hati dan fikiran kita masing-masing. Ini adalah kerana dengan kehadiran semula beliau mengemudi jentera TM, maka, Kesatuan dengan penuh pengharapan berdoa agar kita menjadi lebih kuat dan tersusun sepertimana ia sepatutnya. Kesatuan berharap agar setiap dari kita terus bersatu demi mencapai kecemerlangan yang lebih banyak di masa-masa yang akan datang.

Pihak Kesatuan menghantar satu surat rasmi bagi menerangkan harapan dan doa Kumpulan Pelaksana sambil menyambut Y.Bhg. Dato’ kembali bertugas pada 11 Jun 2012. Rata-rata pegawai dan kakitangan TM menyambut berita ini dengan gembira. Bagi pihak Kesatuan, kejayaan beliau untuk kembali bertugas telah menjadi aspirasi untuk kami bekerja dengan lebih tekun dan dedikasi. Ia juga telah menjadi kejayaan kita semua kerana doa yang tiada putus serta sokongan yang tidak berbelah bahagi telah menyatukan kita semua demi memberi sumbangan yang lebih besar kepada organisasi, amnya dan industri pelancongan Malaysia, khususnya.

Kesatuan bermohon agar komitmen Y.Bhg. Dato’ KP terhadap kebajikan kumpulan pekerja tidak dilupakan malah, ditambah lagi untuk mengimbangi keperluan-keperluan kami dengan organisasi yang tercinta ini. Kesatuan berasa amat yakin bahawa sinar baru TM hanya akan terbit jika keharmonian dalam organisasi elok terpelihara. Malah, perkara ini juga hanya akan tercapai dengan kepimpinan yang adil dan bersifat prihatin. Semoga ianya terlaksana.

Ucapkan tahniah dan selamat kepada Y.Bhg. Dato’ dan semoga segala harapan dan impian menjadikan TM sebagai badan berwajib yang disegani tercapai.

Sekian terima kasih,

(HASRIZAL MUHAMMAD SHAWAL TUKIJAN)

Yang Dipertua
Kesatuan Pekerja-Pekerja
Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia
Semenanjung Malaysia
-maa.

Thursday, March 29, 2012

Pergabungan dengan CUEPACS

ASSALAMUALAIKUM DAN SALAM SATU MALAYSIA

Dimaklumkan bahawa Kesatuan telah menerima surat berkenaan pergabungan dengan CUEPACS iaitu semalam, surat bertarikh 12 Mac 2012. Dengan itu dimaklumkan bermula 23 Februari 2012 dengan rasminya Kesatuan Pekerja-pekerja LPPM telah berada dibawah CUEPACS.

Sekian, terima kasih.