Wednesday, July 4, 2012

SPA sedia jumpa CUEPACS isu pelaksanaan dua dasar baru

KUALA LUMPUR 3 Julai - Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bersedia mengadakan pertemuan dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi menjelaskan secara terperinci berhubung pelaksanaan dua dasar baru yang diperkenalkan kelmarin.

Pengerusinya, Tan Sri Mahmood Adam berkata, ia sebagai menolak dakwaan kesatuan itu yang menyifatkan dasar-dasar berkenaan sebagai tidak relevan dan merupakan 'langkah ke belakang' berbanding amalan sebelum ini.

Jelas beliau, selain meningkatkan peluang permohonan jawatan ke sektor awam, pelaksanaan dasar itu dibuat bagi menyelesaikan masalah kekurangan kaum bukan Melayu menyertai sektor awam dalam usaha menarik lebih ramai kaum itu berkhidmat di sektor tersebut.

''CUEPACS tidak tahu apa masalah sebenar yang dihadapi, dasar ini dibuat setelah mengambil kira situasi menang-menang tanpa menjejaskan peluang dan ruang pemohon di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

''Oleh itu kita mengalu-alukan mereka berjumpa dengan kami untuk diberi penjelasan sewajarnya kerana dasar ini melibatkan orang awam yang belum lagi menjadi ahli kesatuan itu,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau mengulas pandangan CUEPACS yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan dua dasar baru yang turut disifatkan tidak mencerminkan daya saing di kalangan pemohon yang berbeza kelayakan, malah mendakwa ia adalah satu pembaziran.

Dasar yang diperkenalkan itu adalah membenarkan calon memiliki Ijazah Sarjana Muda memohon jawatan di peringkat SPM selain turut membenarkan calon mengemukakan permohonan sehingga 15 jawatan pilihan berbanding lima sahaja sebelum ini.

Sementara itu, SPA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, dua dasar baru yang diperkenalkan itu membolehkan semua calon bersaing bagi memohon mana-mana jawatan yang bersesuaian tanpa sekatan tahap kelayakan akademik yang dimiliki.

Kata kenyataan itu, langkah itu selaras hasrat kerajaan supaya rakyat tidak memilih pekerjaan walaupun mempunyai kelayakan lebih tinggi.

Jelasnya, jumlah kekosongan di peringkat ijazah adalah terhad dan ia menjadi punca hanya 7,007 calon dilantik ke perkhidmatan awam pada tahun lalu berbanding 155,297 pemohon.

-utusan online/maa.

No comments: