Thursday, September 12, 2013
CUEPACS Yakin 1.4 Juta Penjawat Awam Dapat Faedah Belanjawan 2014
Presidennya Datuk Omar Osman berkata CUEPACS mengemukakan empat cadangan kepada kerajaan iaitu berkaitan pinjaman perumahan, Imbuhan Tetap Perumahan (ITP), Imbuhan Tahunan dan Elaun Sara Hidup (COLA).
"Kita penuh yakin kerajaan akan mempertimbangkan berasaskan ekonomi negara masih kukuh," katanya kepada pemberita selepas majlis sesi dialog dengan staf Universiti Terknologi Mara (UiTM) Kelantan di sini, Khamis.
Omar berkata cadangan itu dikemukakan selepas pihaknya mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
"Mengenai Elaun Sara Hidup (COLA), kerajaan perlu menyelaraskan tanpa membezakan antara mereka yang tinggal di bandar (mendapat bayaran tinggi) dan mereka yang tinggal di luar bandar (mendapat bayaran rendah)," katanya.
Omar berkata cadangan itu bukan 'pendesak' sebaliknya mengikut keperluan kerajaan memandangkan kos sara hidup yang semakin meningkat berikutan kenaikan harga petrol dan diesel.
Ditanya pengumuman Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang akan mengisi 60,000 kekosongan jawatan peringkat persekutuan di seluruh negara menjelang akhir tahun ini, Omar berkata SPA perlu memberi keutamaan kepada lebih 45,000 pekerja kontrak yang kini sedang berkhidmat di pelbagai sektor awam.
Beliau berkata, terdapat dalam kalangan pekerja kontrak terbabit sudah melalui enam sesi temu duga, namun masih gagal berbanding mereka yang mudah mendapat pekerjaan tanpa melalui temu duga.
-bernama.
Saturday, February 9, 2013
SPA nilai sebelum serap ke jawatan tetap
PUTRAJAYA 8 Feb. - Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menjelaskan, faktor kelulusan, kekosongan dan enggan berpindah ke jabatan lain adalah antara punca kakitangan kontrak sukar diserap ke jawatan tetap.
Pengerusinya, Tan Sri Mahmood Adam berkata, jenis kontrak berbeza juga perlu dinilai oleh SPA kerana terdapat banyak skim berbeza dalam sektor perkhidmatan.
Beliau berkata, tidak semua kakitangan yang dilanjutkan kontraknya setiap tahun boleh diserap terus ke jawatan tetap kerana bergantung kepada jenis kontrak masing-masing.
''Soal hendak ke jawatan tetap atau tidak kita tengok jenis kontraknya, kontrak ini ada banyak jenis, ada gaji hari, ada tiga bulan sekali berbeza antara satu sama lain.
''Kita kena tengok dulu, tidak semudah itu (untuk lantik ke jawatan tetap) ada kontrak ikut musim projek. Kalau teras perkhidmatan pelantikannya ikut kepakaran maka tak ikut skim, kalau kontrak perkhidmatan kena ikut skim perkhidmatan," katanya selepas mengadakan sesi interaksi bersama pegawai-pegawai lantikan secara kontrak di Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), di sini hari ini.
Mahmood menjelaskan, sekiranya terdapat kekosongan jawatan dan kakitangan kontrak terbabit layak mengisi kekosongan itu, maka pelantikan ke jawatan tetap akan dibuat.
Menurutnya, faktor sikap seperti enggan berpindah ke lokasi baru dan enggan bertukar jabatan walaupun sudah berkhidmat antara 10 hingga 40 tahun turut menyumbang kepada kesukaran melantik kakitangan kontrak ke jawatan tetap.
Terdapat 17,200 kakitangan kontrak dalam Kemas berstatus kontrak di seluruh negara.
Pihak SPA juga meminta pegawai yang berkhidmat secara kontrak memohon jawatan bagi pelantikan tetap melalui laman web SPA dan tidak hanya bergantung kepada jawatan berstatus kontrak sahaja.
-utusan/maa.
Friday, February 1, 2013
Serap 50,000 kakitangan kontrak
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, langkah itu merupakan jalan penyelesaian yang sepatutnya dilaksanakan sejak dahulu lagi bagi menyelesaikan masalah kakitangan kontrak.
Katanya, penubuhan jawatankuasa khas tidak akan dapat dapat menyelesaikan dilema kakitangan kontrak yang sudah berlarutan sejak sekian lama.
"Menjelang 2020 ini sepatutnya sudah tidak ada lagi perkataan kajian, apa yang penting adalah membuat lantikan tetap terhadap pekerja kontrak sedia ada.
"Ada di antaranya merupakan lantikan SPA, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), pihak berkuasa tempatan tempatan (PBT) dan pelbagai jabatan lain," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Bengkel Bersama Wakil Jabatan dan CUEPACS negeri-negeri Kesatuan Pembantu Am Pejabat Semenanjung Malaysia (KPAP), di sini hari ini.
Beliau mengulas tindakan SPA untuk mewujudkan jawatankuasa khas menangani masalah hampir 50,000 kakitangan kontrak dalam perkhidmatan awam.
Pengerusi SPA, Tan Sri Mahmood Adam berkata, jawatankuasa khas itu akan dianggotai wakil pelbagai agensi kerajaan berkaitan termasuk JPA dan Kementerian Kewangan.
Mengulas lanjut Omar berkata, kakitangan kontrak perlu diberi peluang ke jawatan tetap kerana ada di antara mereka sudah berkhidmat lebih 50 tahun.
"Mereka perlu diberikan peluang yang sama seperti kakitangan tetap.
"Apa yang nak dikaji lagi, apa yang penting sekarang ini wujudkan jawatan dan tetapkan jawatan mereka," katanya.
-utusan/maa.
Thursday, January 31, 2013
Masalah 50,000 kakitangan kontrak ditangani
PUTRAJAYA 30 Jan. - Satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menangani masalah kira-kira 50,000 penjawat awam berstatus kontrak di tiga jabatan kerajaan mulai bulan depan.
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA), Tan Sri Mahmood Adam berkata, usaha itu perlu kerana hanya tiga jabatan itu mempunyai pegawai dan kakitangan kontrak bagi tempoh perkhidmatan sehingga tiga tahun berbanding jabatan lain yang berstatus sambilan atau sementara.
Beliau berkata, jawatankuasa itu akan dianggotai wakil pelbagai agensi kerajaan berkaitan termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Kewangan.
Tiga jabatan tersebut, katanya, adalah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN), Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) dan Kementerian Penerangan.
"Ada dalam kalangan mereka telah berkhidmat lebih 30 tahun, gaji permulaan yang rendah, tidak memahami skop tugas dan lain-lain berkaitan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan 120 wakil penjawat awam berstatus kontrak di bawah JPNIN di sini hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pengarah JPNIN, Datuk Azman Amin Hassan.
Mahmood berkata, jawatankuasa itu akan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh penjawat awam terbabit sebelum dibentangkan kepada kerajaan untuk tindakan selanjutnya.
Malah, beliau menambah, jawatankuasa itu juga berperanan mengumpul data berkenaan jumlah sebenar penjawat awam berstatus kontrak di tiga jabatan itu.
"Maklumat sedemikian perlu bagi memudahkan perancangan kerajaan dalam menangani masalah yang dihadapi oleh penjawat awam tersebut," katanya.
-utusan/maa.
Sunday, January 6, 2013
Kaji gaji maksimum
KUALA LUMPUR 5 Jan. - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kadar kenaikan gaji penjawat awam yang mencapai tahap maksimum dinaikkan sebanyak lima hingga 10 peratus.
Presidennya, Datuk Omar Osman berkata, peratusan kenaikan itu berdasarkan jumlah penjawat awam yang mencapai gaji maksimum tidak ramai iaitu kurang dari 300,000 orang.
''Kajian mengenai kenaikan gaji penjawat awam yang telah mencapai tahap maksimum ini sudah lama dinantikan mereka yang terlibat dan kami mengharapkan tahun 2013 akan memberikan berita baik kepada golongan tersebut.
''Namun, CUEPACS berharap mekanisme kenaikan itu tidak boleh dibuat secara pukul rata bagi memastikan keadilan kepada semua," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambah Omar, pihaknya mencadangkan kenaikan sebanyak lima peratus diberikan kepada kumpulan pengurusan profesional dan 10 peratus bagi kumpulan pelaksana dalam gred satu hingga 40.
Semalam, Ketua Setiausaha Negara (KSN), Datuk Seri Dr. Ali Hamsa berkata, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) akan mengkaji pelaksanaan kenaikan gaji penjawat awam yang mencapai tahap maksimum selaras dengan keperluan semasa dan peningkatan kadar inflasi.
Inisiatif itu, katanya, akan diteliti terlebih dahulu selepas pihaknya menerima laporan khas yang disediakan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) menjelang pertengahan bulan ini.
Kata beliau, selepas pihak JPA menerima laporan daripada suruhanjaya, mereka akan mengkaji penemuannya sebelum sebarang cadangan dikemukakan kepada kerajaan.
-utusan/maa.
Saturday, December 8, 2012
Pengambilan penjawat awam dijangka kurang tahun depan: Pengerusi SPA
Secara purata, beliau berkata, SPA menerima hampir 1.2 juta permohonan kerja setiap tahun dan kira-kira 40,000 calon diambil untuk berkhidmat dalam sektor awam.
"Pada tahun ini dan tahun depan, ramai penjawat awam telah memilih opsyen untuk bersara pada umur 60 tahun, maka pengambilan sudah berkurang.
"Namun, selepas tahun depan, apabila ramai yang bersara pada usia 60 tahun, jumlah pengambilan akan bertambah sekurang-kurangnya 10 peratus. Saya menjangkakan sekurang-kurangnya 50,000 penjawat awam akan diambil," katanya selepas merasmikan Seminar Pengenalan Kepada Skil Pekerjaan Sektor Awam di Pejabat SPA di sini, hari ini.
Mahmood berkata, seminar yang pertama kali diadakan ini bertujuan untuk membantu calon yang memohon pekerjaan dengan SPA agar melengkapkan diri dengan ilmu dan kemahiran skil pekerjaan sekali gus dapat meningkatkan peratusan kebolehdapatan pekerjaan di sektor awam.
"Seminar ini akan terus diadakan di seluruh negara dengan kerjasama dari badan bukan kerajaan (NGO), persatuan, syarikat dan individu secara perkongsian pintar," katanya.
Kira-kira 200 peserta menghadiri seminar sehari ini, anjuran bersama SPA dan Persatuan Profesional Melayu Malaysia (PPMM) bagi mendengar penjelasan mengenai peperiksaan, penilaian dan temu duga serta pengetahuan berkaitan urusan pengambilan di SPA.
SPA menyampaikan tiga modul dalam seminar tersebuit iaitu; Pengurusan Pengambilan, Kaedah Peperiksaan dan Penilaian Kompetensi dan Kaedah Temu Duga.
Sementara PPMM menyampaikan tiga modul yang menerangkan tentang skil pekerjaan yang diperlukan calon yang mahu memohon pekerjaan di sektor awam iaitu Skil Asas, Skil Pemikiran Aras Tinggi dan Skil Pembangunan Diri.
-bernama/bh/maa.
Friday, November 9, 2012
Batal Kenaikan Pangkat Kakitangan Awam Disiasat SPRM - SPA
Pengerusi Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia (SPA), Tan Sri Mahmood Adam berkata mereka yang dilantik ke jawatan baru atau disahkan perkhidmatan turut akan menerima nasib yang sama.
"Kita boleh batalkan pelantikan atau pengesahan jawatan bagi mereka yang dilabel dengan 'bendera merah'," katanya kepada The Star.
'Bendera merah' adalah istilah bagi penjawat awam yang sedang atau telah disiasat serta gagal ujian tapisan integriti SPRM.
Selain itu Mahmood berkata, selain membatalkan pelantikan pegawai 'bendera merah', SPA juga boleh mengambil tindakan tatatertib terhadap golongn ini.
"Bagaimanapun kes begini jarang berlaku kerana apabila nama mereka dihantar kepada kami, ia bermakna semunya telah memenuhi syarat.
"Pegawai atasan mereka pastinya sudah memastikan semuanya ok sebelum membuat syor itu kerana mereka sedar bahawa mereka akan mencemarkan integriti dan reputasi jabatan berkenaan jika mereka mengesyorkan seseorang dengan kes untuk disiasat," katanya.
Mahmood yang juga bekas Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri berkata ketua-ketua jabatan bertanggungjawab untuk memastikan pegawai yang diyorkan untuk pengesahan jawatan atau kenaikan pangkat adalah bersih.
Perkara 144 (1) Perlembagaan Persekutuan menetapkan enam fungsi utama SPA, yang berkaitan dengan pengesahan pelantikan, perkhidmatan, pemberian ke status kekal dan pencen, promosi pemindahan, dan menjalankan kawalan tatatertib ke atas kakitangan kerajaan.
Tapisan integriti adalah wajib bagi kakitangan kerajaan, terutama pegawai yang disyorkan untuk kenaikan pangkant.
Sekiranya didapati mempunyai 'kes' mereka tidak akan mendapat syor SPRM.
Sebelum ini dilaporkan terdapat sebilangan penjawat awam yang disiasat kerana rasuah oleh SPRM masih berada dalam perkhidmatan, malah ada yang dinaikkan pangkat atau dilantik ke jawatan baru.
SPRM tidak dapat mendakwa mereka dengan rasuah atas sebab-sebab seperti kelemahan teknikal, dan sebaliknya hanya boleh mengesyorkan kepada ketua jabatan mereka bahawa tindakan disiplin diambil.
-mStarOnline/maa.
Wednesday, July 4, 2012
SPA sedia jumpa CUEPACS isu pelaksanaan dua dasar baru
KUALA LUMPUR 3 Julai - Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) bersedia mengadakan pertemuan dengan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagi menjelaskan secara terperinci berhubung pelaksanaan dua dasar baru yang diperkenalkan kelmarin.
Pengerusinya, Tan Sri Mahmood Adam berkata, ia sebagai menolak dakwaan kesatuan itu yang menyifatkan dasar-dasar berkenaan sebagai tidak relevan dan merupakan 'langkah ke belakang' berbanding amalan sebelum ini.
Jelas beliau, selain meningkatkan peluang permohonan jawatan ke sektor awam, pelaksanaan dasar itu dibuat bagi menyelesaikan masalah kekurangan kaum bukan Melayu menyertai sektor awam dalam usaha menarik lebih ramai kaum itu berkhidmat di sektor tersebut.
''CUEPACS tidak tahu apa masalah sebenar yang dihadapi, dasar ini dibuat setelah mengambil kira situasi menang-menang tanpa menjejaskan peluang dan ruang pemohon di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
''Oleh itu kita mengalu-alukan mereka berjumpa dengan kami untuk diberi penjelasan sewajarnya kerana dasar ini melibatkan orang awam yang belum lagi menjadi ahli kesatuan itu,'' katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas pandangan CUEPACS yang tidak bersetuju dengan pelaksanaan dua dasar baru yang turut disifatkan tidak mencerminkan daya saing di kalangan pemohon yang berbeza kelayakan, malah mendakwa ia adalah satu pembaziran.
Dasar yang diperkenalkan itu adalah membenarkan calon memiliki Ijazah Sarjana Muda memohon jawatan di peringkat SPM selain turut membenarkan calon mengemukakan permohonan sehingga 15 jawatan pilihan berbanding lima sahaja sebelum ini.
Sementara itu, SPA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, dua dasar baru yang diperkenalkan itu membolehkan semua calon bersaing bagi memohon mana-mana jawatan yang bersesuaian tanpa sekatan tahap kelayakan akademik yang dimiliki.
Kata kenyataan itu, langkah itu selaras hasrat kerajaan supaya rakyat tidak memilih pekerjaan walaupun mempunyai kelayakan lebih tinggi.
Jelasnya, jumlah kekosongan di peringkat ijazah adalah terhad dan ia menjadi punca hanya 7,007 calon dilantik ke perkhidmatan awam pada tahun lalu berbanding 155,297 pemohon.
-utusan online/maa.
Tuesday, July 3, 2012
SPA Perkenal Dua Dasar Baru Bagi Permohonan Ke Perkhidmatan Awam
Dasar pertama SPA ialah membenarkan pemegang Ijazah Sarjana Muda memohon jawatan di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi membolehkan semua calon bersaing dalam memohon mana-mana jawatan yang bersesuaian tanpa sekatan tahap kelayakan akademik.
Menurut kenyataan SPA, sehingga kini, seramai 852 calon yang memiliki Ijazah Sarjana Muda mengemukakan permohonan ke jawatan yang berkelayakan SPM.
Dasar kedua pula membenarkan calon mengemukakan permohonan sehingga 15 jawatan pilihan dalam Borang Permohonan Pekerjaan Online SPA8i berbanding lima jawatan sebelum ini.
Langkah itu bertujuan memberi lebih banyak peluang kepada calon untuk dilantik ke jawatan bersesuaian.
Sejak semalam, seramai 5991 calon mengemukakan permohonan untuk lebih daripada lima jawatan.
- BERNAMA