Friday, December 19, 2014

60 peratus CEO badan berkanun kurang faham tugas

KUALA LUMPUR 18 Dis. – Kira-kira 60 peratus Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) badan berkanun masih kurang memahami tanggungjawab sebenar mereka dalam menguruskan organisasi masing-masing. Norzam Mohd. Nor Pengarah Bahagian Pembangunan Organisasi, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), Datuk Norzam Mohd.

Nor berkata, terdapat segelintir CEO tersebut kurang melihat hala tuju sebenar organisasi mereka seperti yang telah ditetapkan oleh kerajaan.

Beliau berkata, ketika ini terdapat 738 badan berkanun yang ditubuhkan sama ada di bawah kerajaan Persekutuan atau negeri.

“Mereka sudah menjalankan tanggungjawab dengan baik tetapi masih ada yang lupa melihat kepada tugas serta ‘core bussiness’ sebenar yang organisasi mereka jalankan.

“Mereka perlu jelas dan faham. Malah, mereka juga seharusnya memainkan peranan besar untuk memberi nasihat, membuat serta membentangkan laporan mengenai perjalanan syarikat masing-masing,” katanya dalam Persida­ngan Kebangsaan Badan Berkanun, Cabaran dan Masa Depan Agensi Badan Berkanun di Universiti Malaya (UM) di sini hari ini.

Sementara itu, Norzam turut menyarankan setiap badan berkanun untuk melihat pencapaian serta hala tuju organisasi masing-masing dari semasa ke semasa bagi memastikan mereka kekal relevan.

“Kita mendapati ada badan berkanun yang cemerlang dan ada juga yang berada pada tahap sederhana. Jadi, mereka perlu sentiasa melakukan perubahan dari semasa ke semasa.

“Mereka perlu melihat serta melakukan penstrukturan dalam organisasi sedia ada bagi memastikan sesuatu badan berkanun itu dapat bergerak dengan lebih baik,” jelasnya.

Dalam pada itu, Norzam turut mengingatkan agar budaya integriti dalam badan berkanun dapat dipertingkatkan bagi memantapkan lagi tadbir urus kakitangan mereka.
-Utusan.

No comments: