Tuesday, January 5, 2016

Cuepacs, Angkasa Anjur Konvensyen Cari Resolusi Terbaik Masalah Pemilikan Rumah

KUALA LUMPUR, 5 Jan (Bernama) -- Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) dengan kerjasama Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) akan menganjurkan konvensyen mengenai masalah pemilikan rumah dalam kalangan penjawat awam dan anggota koperasi Mac ini.

Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda berkata konvensyen yang julung kali diadakan itu akan berlangsung pada 1 dan 2 Mac, bagaimanapun lokasinya belum diputuskan lagi.

"Cadangan mengadakan konvensyen ini tercetus bagi mencari resolusi masalah pemilikan rumah yang terus membelenggu rakyat terutamanya penjawat awam.

"Resolusi itu nanti akan dibawa kepada kerajaan supaya kerajaan tahu suara rakyat dari akar umbi," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden Angkasa Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata seramai dua juta daripada lapan juta anggota yang menganggotai 12,500 koperasi di seluruh negara adalah penjawat awam.

Beliau berkata konvensyen itu nanti akan turut membincangkan dan mengambil model negara luar tentang bagaimana kerajaan mereka mengurus dan memastikan rakyat memiliki rumah sendiri.

-Bernama.

No comments: