Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pada asas­nya penjawat awam tidak dibenarkan meminjam lebih daripada 60 peratus jumlah gaji mereka dengan koperasi namun bagi kes ah long pengecualian diberikan.

Kata beliau, pinjaman akan diuruskan oleh koperasi kredit yang bakal menjadualkan semula struktur pembayaran melalui potongan gaji.

“Masalah ah long dalam kala­ngan penjawat awam ini walaupun sedikit namun membimbangkan. Kami menerima laporan terdapat staf Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang diburu oleh ah long sehingga mereka bertindak melarikan isteri dan anak mangsa.

“Kita tidak mahu perkara se­perti ini berulang dan bersedia membantu penjawat awam. Kami faham mereka ini terdesak, hendak buat pinjaman bank pun bukan mudah sekarang, tambahan lagi jumlah penjawat awam yang diisytiharkan muflis sudah mencecah 3,000 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Koperasi Serbaguna Pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan (Kospeta) Kali Ke-34 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Kospeta, Datuk Azih Muda dan Penolong Pengarah Suruhanjaya Koperasi, Junaidah Ramli.
Sementara itu, Azih yang juga Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmat­an Awam (CUEPACS) mendesak kerajaan supaya meluluskan pembiayaan pembelian apartmen studio atau rumah satu bilik dalam kalangan penjawat awam.

Jelasnya, hal ini kerana ketika ini Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) tidak membiayai permohonan sedemikian sedangkan permintaan untuk membelinya adalah tinggi.

“Penjawat awam tak mampu nak beli rumah yang mempunyai tiga atau empat bilik yang harganya di luar kemampuan. 

Kerajaan perlu lihat perkara ini terutamanya bagi mereka yang masih bujang atau baru berkahwin namun berhasrat untuk memiliki rumah sendiri.

“Banyak kawasan di Kuala Lumpur menjual rumah satu bilik seperti di Sentul, Damansara dan Subang pada harga rendah dalam lingkungan RM150,000. Tetapi peraturan LPPSA menyebabkan penjawat awam tidak boleh membeli rumah tersebut,” ujarnya.
-Utusan.