Showing posts with label Pinjaman. Show all posts
Showing posts with label Pinjaman. Show all posts

Tuesday, June 6, 2017

Melegakan 63,200 penjawat awam, 600 koperasi

MARAN 5 Jun - Keputusan menarik balik arahan sekatan pemotongan gaji pinjaman kakitangan awam yang melebihi 60 peratus memberi manfaat berganda kepada kakitangan awam dan koperasi di seluruh negara.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, keputusan yang dibuat itu memberi kelegaan kepada kira-kira 63,200 penjawat awam terlibat dan lebih 600 koperasi kredit di seluruh negara.

“Keputusan ini dapat membolehkan peminjam menjelaskan hutang pinjaman mereka kepada koperasi dan koperasi terlibat juga dapat membuat kutipan pinjaman dengan baik.

“Kita berterima kasih kepada kerajaan dan Angkasa yang akan berbincang semula dengan koperasi kredit seluruh negara bersama Jabatan Akauntan dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Da­lam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) bagaimana dapat merealisasikan hasrat kerajaan untuk melihat kakitangan awam berbelanja berhemah dapat dilaksanakan dengan adil,” kata beliau.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas majlis Ihya Ramadan Angkasa peringkat Zon Pahang 2 di Masjid Kampung Batu 13, Chenor di sini semalam.

Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chenor, Datuk Mohd. Arifin Awang Ismail.

Menurut Abdul Fattah, dalam tempoh dua bulan sekatan dikenakan, jumlah kutipan pinjaman tertangguh yang tidak dapat dikutip koperasi-koperasi kredit berjumlah kira-kira RM20 juta sebulan.

Dalam pada itu beliau memberitahu, sekatan kutipan pinjaman melebihi 60 peratus dikenakan terhadap kakitangan awam yang telah membuat pinjaman itu memberikan kesan negatif kepada peminjam yang berhadapan dengan tindakan undang-undang daripada koperasi kerana gagal melunaskan pinjaman.

Tambahnya, tindakan itu juga menyebabkan koperasi-koperasi kredit tidak dapat mengutip pinjaman seterusnya dan menghadapi masalah membayar pinjaman mereka dengan bank seterusnya berhadapan dengan tindakan undang-undang.

“Malah kalau peminjam berkenaan adalah ahli koperasi dan mereka tidak membayar yuran dalam tempoh tiga bulan, maka secara automatik mereka tidak lagi menjadi ahli koperasi,” katanya sambil memberitahu sekatan pemotongan gaji bermula bulan ini.

-Utusan.

Monday, May 1, 2017

Lebih 49 ribu penjawat awam berdepan risiko muflis - Cuepacs

Datuk Azih Muda mencadangkan sistem bagi mengawal pinjaman
di kalangan penjawat awam. -Gambar fail


KUALA LUMPUR: Lebih 49 ribu penjawat awam berdepan risiko menjadi muflis berikutan kegagalan mereka menguruskan hutang pinjaman. 

Presiden Kongress Kesatuan Pekerja Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda mencadangkan sistem bagi mengawal pinjaman di kalangan penjawat awam.

“Kerajaan boleh melaksanakan sistem sepertimana yang dilaksakan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia iaitu Sistem Pelaporan Kredit (Spekar) yang mempunyai rekod penjawat awam,” katanya selepas merasimakan Seminar Hari Pekerja di sini hari ini.

Azih berkata ada dikalangan penjawat awam melakukan pinjaman peribadi daripada institusi kewangan yang melebihi kemampuan gaji mereka.

"Hal ini saya lihat semakin serius dan ia  terjadi kerana ada penjawat awam yang bertindak memalsukan slip gaji ketika membuat pinjaman," katanya.

Jelasnya, ketiadaan sistem mengawal pinjaman merupakan punca penjawat awam membuat pinjaman melebihi kemampuan dan melakukan pinjaman bertindih.

"Sekarang ini kerajaan memberi peluang kepada lebih 20 agensi pinjaman membuat potongan gaji kepada penjawat awam yang melaksanakan pinjaman tanpa perlu merujuk antara satu sama lain (institusi pinjaman).

Tambahnya lagi, ketiadaan sistem yang mengawal pinjaman yang dilakukan merupakan antara punca golongan ini meminjam melebihi kemampuan dan pinjaman bertindih.

"Sistem ini akan dapat mengawal pinjaman yang dilakukan oleh penjawat awam kerana sistem itu dapat mengesan data potongan gaji dan maklumat pinjaman penjawat awam.

Setakat ini, lebih 3,000 orang sudah diisytihar muflis, dan Azih menegaskan jika ia tidak dibendung, jumlah itu akan terus bertambah.

-www.astroawani.com

Saturday, October 22, 2016

Bajet 2017: Kelayakan pinjaman perumahan, pembelian motosikal penjawat awam dinaikkan

KUALA LUMPUR 21 Okt. - Kelayakan pinjaman perumahan untuk penjawat awam dinaikkan daripada serendah RM120,000 kepada RM200,000 manakala pinjaman paling tinggi pula daripada RM600,000 kepada RM750,000.


Selain itu, kerajaan memutuskan bahawa had pinjaman pembelian motosikal untuk penjawat awam akan dinaikkan daripada RM5,000 kepada RM10,000.
Malah, kemudahan pembiayaan untuk pembelian komputer diperluaskan meliputi pembelian telefon pintar dengan had pinjaman sehingga RM5,000 untuk setiap tiga tahun.
- utusan online.

Bajet 2017 Beri Lebih Banyak Peluang Kepada Penjawat Awam

KUALA LUMPUR, 21 Okt (Bernama) -- Bajet 2017 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini disifatkan sebagai bajet yang menyejahterakan rakyat dan memberi lebih banyak peluang kepada penjawat awam.

Presiden Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) Kamarozaman Abd Razak berkata penjawat awam terutamanya kumpulan pelaksana menerima manfaat yang besar daripada bajet kali ini.

"Keputusan kerajaan untuk memanjangkan kemudahan cuti belajar bergaji penuh dengan biasiswa kepada kumpulan pelaksana adalah manfaat yang besar kepada mereka kerana sebelum ini kumpulan pelaksana berhadapan dengan kekangan kewangan untuk melanjutkan pengajian mereka," katanya ketika dihubungi Bernama.

Pada pembentangan Bajet 2017 itu, perdana menteri mengumumkan kemudahan cuti belajar dengan gaji dibayar penuh bersama biasiswa dipanjangkan kepada kumpulan pelaksana.

Kemudahan tersebut sebelum ini hanya diberikan kepada penjawat awam di dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional iaitu dari Gred 41 dan ke atas.

Mengenai harga Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia yang dijual pada kadar 20 peratus di bawah harga pasaran, beliau berkata langkah tersebut menjadikan harga rumah lebih terkawal.

"Melalui langkah itu, penjawat awam akan mendapat pinjaman perumahan dengan lebih mudah. Walaupun kerajaan menaikkan had kelayakan pinjaman, ia tidak membawa sebarang perubahan sekiranya harga rumah turut sama meningkat".

Kamarozaman turut menyambut baik langkah kerajaan melanjutkan perkhidmatan pegawai 'Contract of Service' dan 'Contract for Service' selama setahun yang menurutnya meredakan keresahan pegawai-pegawai kontrak yang masih belum mendapat pekerjaan lain.

Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) Datuk Azih Muda berkata kerajaan buat pertama kalinya telah menunaikan tuntutan Cuepacs untuk memberi lebih peluang kepada kumpulan pelaksana.

"Cuepacs telah lama mencadangkan kepada kerajaan untuk memberikan kemudahan Cuti Belajar Bergaji Penuh dengan biasiswa kepada kumpulan pelaksana dan cadangan itu telah diterima dalam bajet kali ini," katanya.

Beliau turut mengalu-alukan langkah kerajaan menaikkan had pinjaman perumahan penjawat awam dari RM120,00 kepada RM200,000 dan dari RM600,000 kepada RM750,00 yang disifatkan langkah sangat bagus kerana melaluinya para penjawat awam kini berpeluang untuk mendapatkan semula kelayakan pinjaman perumahan mereka.

Dalam pada itu, Azih turut berharap agar ketua-ketua jabatan dalam sektor perkhidmatan awam tidak membuat keputusan di luar pengumuman perdana menteri mengenai pelanjutan perkhidmatan pegawai kontrak selama setahun.

-Bernama.

Sunday, June 26, 2016

Angkasa sedia bantu Penjawat awam terjebak dengan ah long


KUALA LUMPUR 25 Jun: Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) menyatakan kesediaan untuk membantu penjawat awam yang terjebak de­ngan masalah hutang ah long.

Presidennya, Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, pada asas­nya penjawat awam tidak dibenarkan meminjam lebih daripada 60 peratus jumlah gaji mereka dengan koperasi namun bagi kes ah long pengecualian diberikan.

Kata beliau, pinjaman akan diuruskan oleh koperasi kredit yang bakal menjadualkan semula struktur pembayaran melalui potongan gaji.

“Masalah ah long dalam kala­ngan penjawat awam ini walaupun sedikit namun membimbangkan. Kami menerima laporan terdapat staf Dewan Bandaraya Kuala Lumpur yang diburu oleh ah long sehingga mereka bertindak melarikan isteri dan anak mangsa.

“Kita tidak mahu perkara se­perti ini berulang dan bersedia membantu penjawat awam. Kami faham mereka ini terdesak, hendak buat pinjaman bank pun bukan mudah sekarang, tambahan lagi jumlah penjawat awam yang diisytiharkan muflis sudah mencecah 3,000 orang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Perwakilan Koperasi Serbaguna Pekerja-pekerja Pihak Berkuasa Tempatan (Kospeta) Kali Ke-34 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Presiden Kospeta, Datuk Azih Muda dan Penolong Pengarah Suruhanjaya Koperasi, Junaidah Ramli.
Sementara itu, Azih yang juga Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmat­an Awam (CUEPACS) mendesak kerajaan supaya meluluskan pembiayaan pembelian apartmen studio atau rumah satu bilik dalam kalangan penjawat awam.

Jelasnya, hal ini kerana ketika ini Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam (LPPSA) tidak membiayai permohonan sedemikian sedangkan permintaan untuk membelinya adalah tinggi.

“Penjawat awam tak mampu nak beli rumah yang mempunyai tiga atau empat bilik yang harganya di luar kemampuan. 

Kerajaan perlu lihat perkara ini terutamanya bagi mereka yang masih bujang atau baru berkahwin namun berhasrat untuk memiliki rumah sendiri.

“Banyak kawasan di Kuala Lumpur menjual rumah satu bilik seperti di Sentul, Damansara dan Subang pada harga rendah dalam lingkungan RM150,000. Tetapi peraturan LPPSA menyebabkan penjawat awam tidak boleh membeli rumah tersebut,” ujarnya.
-Utusan.