NAJIB: Jangan ambil hak rakyat sebab kita buat peruntukkan, program disediakan segala-galanya, bajet untuk rakyat. - Gambar fail |
PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan semua penjawat awam agar tidak mengambil hak rakyat dengan terlibat dalam gejala rasuah.
Beliau mengulas tentang beberapa kes penahanan anggota pegawai tinggi kerajaan yang terlibat dalam rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.
"Langkah yang diambil sehari dua ini oleh SPRM mengingatkan pada kita bahawa jangan ambil hak rakyat. Ini rakyat punya.
"Jangan ambil hak rakyat sebab kita buat peruntukkan, program disediakan segala-galanya, bajet untuk rakyat. Kalau berlaku ketirisan, rakyat akan hampa dan hilang keyakinan," katanya ketika menyampaikan amanat pertama tahun ini kepada penjawat awam di Himpunan Bulanan Warga Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Najib juga yakin usaha-usaha yang dilakukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dapat menjadikan mata wang ringgit lebih stabil tahun ini, Najib yang juga Menteri Kewangan berkata penyusutan nilai ringgit dibimbangi banyak pihak, namun ia berlaku diluar kawalan kerajaan.
"Penyusutan nilai ringgit berlaku disebabkan tiga faktor iaitu kesan spekulasi melampau, pengumuman, kejatuhan harga minyak dunia dan kadar faedah dolar Amerika Syarikat."
"Namun daripada 149 mata wang dunia, 123 daripadanya menghadapi penyusutan nilai banding dolar dan Malaysia tidak terkecuali. Malaysia bukan satu-satunya negara yang mengalami kesan yang berada di luar kawalan kita," katanya pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri yang pertama bagi tahun 2017 di sini hari ini.
Selain itu, Perdana Menteri juga berkata terdapat petanda dan bibit-bibit harapan dan keyakinan bahawa keadaan ekonomi akan pulih secara lebih positif pada tahun ini setelah berhadapan dengan keadaan ekonomi dunia yang mencabar pada 2016.
Antaranya, harga minyak yang kini berada pada paras US$54 setong selepas Persidangan Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC), berbanding US$44 pada tahun lepas, katanya.
"Ini semua memberi kita keyakinan bahawa sekiranya kita dapat melakukan usaha-usaha gigih, kita dapat menjadikan tahun 2017 sebagai tahun berjaya,"katanya.
-www.astroawani.com
No comments:
Post a Comment