PADANG
RENGAS 14 Jan. – Tourism Malaysia bakal menutup beberapa pejabatnya di luar
negara dengan serta-merta tahun ini ekoran penstrukturan semula Malaysia
Airlines (MAS) yang telah menyebabkan banyak penerbangan ke destinasi
antarabangsa dihentikan sekali gus dilihat menjadi suatu kekangan untuk
mempromosi pelancongan negara.
Menteri
Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata,
keputusan itu terpaksa diambil membabitkan pejabat di New York dan Los Angeles, Amerika Syarikat; Perth, Australia; Stockholm, Sweden dan
Johannesburg, Afrika Selatan.
Beliau
berkata, pihaknya sebaliknya akan membuka lebih banyak pejabat Tourism
Malaysia di China dan India pada tahun ini selain mengekalkan pejabat sedia ada
di beberapa lokasi di Eropah seperti di Paris, London, Amsterdam dan Frankfurt.
“Selalunya,
kalau orang hendak melawat sesuatu negara, pertama kali dia fikir ialah menaiki
kapal terbang negara itu. Kalau Malaysia, dia akan fikir MAS. Jika MAS tidak
terbang ke negara itu, pelancong akan berpindah ke syarikat penerbangan lain
yang menawarkan penerbangan dari negara mereka.
“Kita tidak
dibantu oleh MAS, itu masalahnya. Suka atau tidak, kita terpaksa bekerja dengan
syarikat penerbangan negara asing untuk melakukan promosi bersama.
“Jadi,
penutupan itu akan menjimatkan kira-kira RM4.5 juta dan duit ini lebih
diperlukan untuk kita buka pejabat di tempat lain,” katanya.
Beliau yang
juga Ahli Parlimen Padang Rengas berkata demikian kepada pemberita selepas
menghadiri Program Pemimpin Bersama Rakyat di Dewan Orang Ramai Kampung Tanah
Merah, Lubuk Merbau dekat sini hari ini.
Mengulas
lanjut, Mohamed Nazri berkata, kementerian memfokuskan kepada India dan China
kerana kedua-dua negara itu boleh menarik kedatangan pelancong masing-masing menjangkau
sehingga 750,000 dan 2 juta orang.
Selain itu
katanya, fokus juga akan diteruskan kepada negara-negara besar di Eropah yang
banyak menghantar pelancong ke Malaysia seperti United Kingdom (400,000 orang),
Jerman (40,000 orang), Sepanyol (35,000 orang) dan Perancis (50,000 orang),
berdasarkan statistik direkodkan pada tahun 2015.
“Yang
terbaru, kita akan buka pejabat di Chengdu, China manakala di Bangladesh, kita
akan buka di Dhaka,” katanya.
Tambah
beliau, Singapura ketika ini menyumbang kehadiran pelancong antarabangsa
terbesar ke negara ini mencecah lebih 13 juta orang selain kedatangan
signifikan melibatkan negara-negara Asia Tenggara seperti Thailand dan
Indonesia.
-utusan online.
No comments:
Post a Comment