PRESIDEN Cuepacs, Datuk Azih Muda ketika sidang
media mengenai Bajet 2018
di Wisma Cuepacs, Pudu. - Foto Khairull Azry Bidin
|
KUALA
LUMPUR: Dua insentif baharu antara 11 tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja
Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) untuk dipertimbangkan kerajaan dalam
pengumuman Bajet 2018, hujung bulan ini.
Tuntutan itu adalah
memperkenalkan elaun bandar raya dan rebat kepada pengguna pengangkutan awam,
selain pemberian bonus sebulan setengah gaji kepada penjawat awam.
Presiden CUEPACS, Datuk Azih
Muda, berkata pihaknya mencadangkan kerajaan memperkenalkan elaun bandar raya
sebanyak RM300 sebulan kepada setiap penjawat awam berstatus miskin bandar yang
tinggal di kawasan berstatus bandar raya.
Katanya, tuntutan itu adalah
relevan susulan keperitan hidup dialami penjawat awam di bandar berikutan
kenaikan kos sara hidup.
Selain itu, katanya, CUEPACS
mencadangkan pemberian rebat kepada penjawat awam yang menggunakan pengangkutan
awam menerusi kad diskaun, berkuatkuasa Januari tahun depan.
"Pemberian rebat ini
perlu diberikan kepada semua jenis pengangkutan awam bagi menggalakkan
penggunaannya untuk pergi bekerja dan sebagainya, selain membantu menyelesaikan
masalah kesesakan jalan raya, mengurangkan perbelanjaan harian serta masa pergi
dan balik dari tempat kerja.
"CUEPACS juga berharap
pemberian bonus sebulan setengah sebagai pengiktirafan kepada perkhidmatan
penjawat awam, memandangkan sudah tujuh tahun kami hanya diberikan bantuan khas
kewangan RM500," katanya pada sidang media khas di Wisma CUEPACS di sini,
hari ini.
Azih berkata, semua tuntutan
itu sudah dihantar kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak awal Ogos
lalu dan difahamkan, memorandum CUEPACS itu sedang diberikan pertimbangan
serius oleh Pejabat Perdana Menteri.
Katanya, permintaan lain
termasuklah memberikan dua kenaikan gaji tahunan, memperbanyakkan pembinaan
rumah pada harga RM90,000 hingga RM150,000 khusus bagi penjawat awam serta
mengurangkan kadar faedah pinjaman perumahan daripada Lembaga Pinjaman Perumahan
Sektor Awam (LPPSA) daripada empat peratus kepada satu peratus.
"Ramai penjawat awam tak
mampu miliki rumah sendiri. 100 peratus daripada 30,000 penjawat awam baharu
setiap tahun tiada rumah dan selepas lima tahun, mereka masih belum miliki
rumah.
Selain itu, 70 peratus
penjawat awam sedia ada berusia 50 tahun ke bawah tiada rumah sendiri,"
katanya.
Selain itu, cadangan lain
adalah kenaikan pelepasan cukai bagi beberapa kategori, antaranya individu
(RM9,000 kepada RM18,000), isteri/suami (RM4,000 kepada RM9,000), anak (18
tahun kepada 21 tahun, RM2,000 kepada RM4,000), anak belum berkahwin dan masih
belajar (RM8,000 kepada RM12,000) dan perubatan ibu bapa (RM5,000 kepada
RM9,000).
CUEPACS turut memohon
kerajaan menyemak semula elaun wilayah dan elaun perumahan wilayah bagi
penjawat awam di Sabah dan Sarawak berikutan mereka terpaksa menempuhi pelbagai
kesukaran berkhidmat di kawasan pedalaman.
"CUEPACS juga memohon
imbuhan tetap khidmat awam bagi gred terendah dinaikkan daripada RM95 kepada
RM180 memandangkan kali terakhir ia disemak adalah 15 tahun lalu.
"Cadangan lain adalah
semua penjawat awam diberi perlindungan di bawah Pertubuhan Keselamatan Sosial
(PERKESO) bagi menggantikan ex-gratia, dengan caruman sendiri serta sedikit
bantuan kerajaan.
"Kerajaan juga disaran
melaksanakan kenaikan pangkat khas untuk penyandang (KUP) kali kedua untuk
penjawat awam gred kanan, dengan kali pertama ditukar daripada 13 tahun kepada
10 tahun, manakala kali kedua selepas lapan tahun," katanya.
-berita harian.
No comments:
Post a Comment