MELAKA: Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam
(CEUPACS) menggesa kerajaan memastikan pengisian perjawatan di setiap agensi,
jabatan atau badan berkanun di negeri dan Persekutuan mencapai tahap 100
peratus.
Presidennya, Datuk Azih Muda, berkata langkah itu penting terutama bagi
perjawatan di barisan hadapan bagi memastikan sistem penyampaian perkhidmatan
kepada rakyat dapat dilaksanakan dengan lebih lancar, efektif dan meningkatkan
keyakinan rakyat terhadap sistem perkhidmatan kerajaan.
"Kita menerima banyak aduan berkaitan masalah perjawatan yang tidak
diisi daripada pelbagai pihak baik agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan
badan berkanun di peringkat Persekutuan dan negeri dengan perjawatan yang diisi
hanya sekitar 85 hingga 90 peratus saja.
"Kekosongan perjawatan yang ada ini disebabkan pelbagai faktor
terutamanya persaraan. Perkara ini perlu diambil serius pihak yang melakukan
lantikan perjawatan seperti Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) dan Jabatan
Perkhidmatan Awam (JPA) kerana ia akan menyebabkan tenaga kerja atau kakitangan
tidak mencukupi sehingga boleh menjejaskan prestasi dan produktiviti secara
keseluruhan," katanya selepas Program Bual Bicara Ahli Kesatuan Kakitangan
Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (KEKAF) Zon Selatan di sini.
Turut hadir, Presiden KEKAF, Mohd Hamidi Saleh.
Mengulas lanjut, Azih berkata, gesaan berhubung pengisian jawatan itu
tidak membabitkan permintaan pertambahan waran perjawatan baharu, sebaliknya
mengisi perjawatan sedia ada.
Beliau berkata, inisiatif berkenaan juga secara tidak langsung dapat
meringankan beban kerja penjawat awam dalam melaksanakan tugas seharian yang
semakin mencabar dengan tekanan luar termasuk kos sara hidup yang semakin
meningkat.
Sementara itu, Azih berkata pengumuman elaun khas RM200 sebulan kepada
13,342 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) di seluruh negara
berkuat kuasa 1 April ini membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap skop kerja
jabatan berkenaan yang semakin mencabar dan berisiko.
Beliau berkata, pemberian elaun berkenaan diharap dapat meningkatkan
lagi produktiviti anggota bomba dan penyelamat, seterusnya memberi keyakinan
terhadap usaha kebajikan dilaksanakan kerajaan.
-BERNAMA/berita harian.