Monday, March 12, 2018

CUEPACS terus gesa umur bersara 62 tahun


KUALA LUMPUR 9 Mac – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini terus mengulangi gesaan supaya kerajaan mengambil kira cadangan pihaknya untuk melanjutkan usia persaraan wajib kakitangan awam daripada 60 kepada 62 tahun.

Presidennya, Datuk Azih Muda (gambar) berkata, kerajaan sepatutnya mengkaji serta mengadakan perbincangan dengan CUEPACS sebelum membuat keputusan dan bukannya menolak cadangan itu kerana tindakan sedemikian seolah-olah apa memperlekehkan pandangan pertubuhan itu.

Menurut beliau, seandainya perkara itu diputuskan setelah kerajaan berbincang dengan CUEPACS, tiada masalah untuk pertubuhan tersebut menerimanya.

Sebaliknya, tegas Azih, apa yang dikesalkan ialah kerajaan bertindak tanpa mengadakan sebarang perbincangan dengan pihaknya.

“Kita masih kekal dengan pendirian kita. CUEPACS sangat kecewa dengan tindakan pihak kerajaan kerana jelas tiada perbincangan yang dilakukan antara dua pihak berhubung cadangan ini.

“Sepatutnya kerajaan mengambil masa untuk mengkaji cadangan ini dan bukannya bulat-bulat menolaknya . Jangan ambil cadangan kami sebagai satu sampah dan terus buang dalam tong sampah, “ katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr. Ali Hamsa hari ini mengumumkan, kerajaan tidak berhasrat untuk melanjutkan usia persaraan wajib kakitangan awam kepada 62 tahun sebaliknya dikekalkan pada usia 60 tahun.

Kata Ali, usia persaraan penjawat awam sedia ada sudah memadai dan kerajaan akan mengekalkan usia persaraan pada 60 tahun kerana peningkatan had umur persaraan daripada 58 kepada 60 tahun baru sahaja dilaksana.

Azih sebelum ini meminta kerajaan mempertimbangkan cadangan tersebut dengan membandingkan tindakan negara seperti Singapura, Thailand , Sri Lanka, Eropah dan Amerika Syarikat yang menetapkan umur persaraan mencecah 65 tahun.

Dalam pada masa yang sama, Azih mempersoalkan tindakan kerajaan yang menyambung kontrak perkhidmatan penjawat awam yang telah bersara namun apabila cadangan yang hampir sama diutarakan, kerajaan menolaknya.

Beliau berkata, cadangan tersebut bukanlah diwajibkan kepada semua penjawat awam tetapi kepada mereka yang melepasi tahap kesihatan dan dipraktikkan dalam sektor-sektor tertentu seperti pendidikan.

“Kalau kerajaan menolak cadangan tersebut, sistem kontrak juga perlu dihentikan. CUEPACS akan terus kekal dengan cadangan ini dan sekiranya pihak kerajaan mahu berbincang, kami terbuka dengan perkara tersebut,” katanya.
-Utusan.

No comments: