Tuesday, March 13, 2018

Ada niat jahat siar berita tiga tahun lalu - CUEPACS


KUALA LUMPUR 12 Mac – Tindakan pihak tertentu membangkit semula isu persaraan penjawat awam pada usia 62 tahun baru-baru ini jelas mahu membangkitkan kemarahan rakyat kepada kerajaan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda berkata, isu tersebut sudah selesai dan kerajaan menetapkan usia persaraan kakitangan awam kekal 60 tahun.

“Memang kita pernah membuat gesaan ini, tetapi itu tiga tahun lalu dan semuanya sudah selesai.

“Saya tidak faham mengapa ia dibangkitkan semula melainkan ada niat-niat tertentu untuk menimbulkan kemarahan kepada kerajaan dan kakitangan awam,” katanya kepada Utusan Online hari ini.

Sabtu lalu tular, kenyataan akhbar CUEPACS tiga tahun lalu yang meminta kerajaan mempertimbangkan had umur persaraan kakitangan awam dinaikkan kepada 62 tahun berbanding 60 tahun.

Berita bertarikh 9 Mac yang turut disertakan gambar Azih itu menimbulkan pelbagai komen negatif sehingga mencetuskan kemarahan dalam kalangan netizen yang mendakwa perkara itu sudah tidak relevan.

Azih berkata, beliau juga tidak berada di Kemaman, Terengganu ketika artikel itu dikeluarkan pada 8 atau 9 Mac lalu.

"Saya tidak berada di sana pada hari berkenaan dan saya tidak mengeluarkan kenyataan sedemikian," katanya.
-Utusan.

No comments: