Saturday, May 26, 2018

CUEPACS mohon bantuan Aidilfitri kepada semua penjawat awam


KUALA LUMPUR 26 Mei - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) berharap kerajaan dapat memberikan bantuan Aidilfitri kepada semua penjawat awam di setiap peringkat.

Presidennya, Datuk Azih Muda berkata, pihaknya amat mengalu-alukan pertimbangan daripada kerajaan berkenaan bantuan Aidilfitri yang sewajarnya diterima semua penjawat awam tanpa ada perbezaan penjawatan.

“Saya mengharapkan selagi seseorang itu penjawat awam, dia layak untuk mendapat bantuan tersebut. Jangan membezakanlah.

“Kami di CUEPACS juga berharap pembayaran bantuan Aidilfitri tersebut dapat dilakukan secepat mungkin. Penjawat awam terutama yang bergaji rendah amat mengharapkan bantuan itu kerana baki gaji mereka memang tidak mencukupi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, pihaknya akan mengusulkan cadangan kepada Perdana Menteri berkenaan bantuan Aidifitri yang bakal menjelang.

Katanya, cadangan itu akan diutarakan bagi membantu penjawat awam yang bergaji rendah untuk menyediakan persiapan menyambut Hari Raya.

Guan Eng juga berkata bantuan tersebut ditujukan kepada golongan berjawatan rendah, dan jumlah bantuan itu akan diumumkan oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Sementara itu, jelas Azih, Parlimen menerusi Bajet 2018 yang lalu telah meluluskan Bantuan Khas Kewangan kepada penjawat awam sebanyak RM500 sempena Aidilfitri, sehubungan itu CUEPACS berharap perkara tersebut tidak terjejas meskipun kerajaan Persekutuan telah bertukar kepimpinan.


“Jika Dr. Mahathir ingin memberi lebih pun bagus juga, kami yakin perkara ini mungkin boleh berubah dan mungkin juga boleh lebih tapi saya rasa tidak kurang daripada RM500,” katanya.
-Utusan.

No comments: