PERDANA Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersalaman dengan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa ketika tiba di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya, hari ini. - Foto BERNAMA
|
PUTRAJAYA: Status Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) bagi semua penjawat awam berkuat kuasa 1 Julai ini akan ditentukan semula kerajaan baharu nanti.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa, berkata pengumuman kenaikan KGT pada 1 Julai itu dilakukan kerajaan terdahulu dan kini terpulang kepada kerajaan baharu sama ada mahu melaksanakannya atau sebaliknya.
"KGT itu adalah janji (kerajaan) dahulu, sekarang kita serah kerajaan baru untuk tentukan. Kita ikut manifesto kerajaan sekarang.
"Jadi, esok ada mesyuarat Kabinet, kita tunggu, mungkin perkara ini akan diputuskan kemudian," katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini, hari ini.
Pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) kali ke-16 pada 4 April lalu, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata kerajaan bersetuju memberikan kenaikan gaji bersamaan satu KGT kepada semua penjawat awam berkuat kuasa 1 Julai 2018.
"Ini bermakna penjawat awam mendapat tambahan satu lagi KGT disamping gaji tahunan yang diterima bagi tahun 2018," katanya.
Terdahulu, Ali tiba di Yayasan Kepimpinan Perdana di sini pada jam 2.25 petang sebelum meluangkan masa lebih satu jam bertemu Perdana Menteri.
"Pertemuan hari ini adalah rutin harian sahaja," katanya.
-Berita Harian.
No comments:
Post a Comment