Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Majlis
Profesor Negara (MPN), Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose berkata, pelan itu perlu
bagi memastikan penjawat awam yang terlibat dalam proses pengecilan tetap
mempunyai pekerjaan lain bagi menyara kehidupan mereka selepas diberhentikan.
Beliau berkata, kakitangan awam dianggar berjumlah
1.7 juta atau 12 peratus daripada anggaran 14.9 juta guna tenaga
merupakan tunjang, penggerak kepada ekonomi dan kemajuan negara.
"Justeru, kerajaan perlu ada kerangka pelan
jangka pendek, sederhana dan panjang untuk mengurangkan penjawat awam di negara
ini.
"Kerajaan tidak boleh mengambil tindakan
mengejut mengecilkan saiz penjawat awam, kecuali kerajaan sedia membayar
pampasan.
"Jika bayar pampasan sekali pun, kerajaan
perlu menyediakan peluang-peluang pekerjaan dalam sektor dan bidang lain kepada
mereka. Ini untuk memastikan kadar pengangguran tidak tinggi" katanya
kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau mengulas laporan kenyataan Perdana Menteri,
Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini mengenai jumlah penjawat awam terlalu
besar dan perlu dikecilkan.
Menurut Raduan, transformasi kepada perkhidmatan
awam bergantung kepada saiz sebenar sektor itu yang diperlukan oleh kerajaan
dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada lebih 34 juta rakyat negara ini.
Ini termasuk mengurangkan pertindihan bidang kerja
yang berlaku di kementerian-kementerian, selain menggalakkan pengurusan kerja
yang pelbagai dan fleksibel.
Beliau berpendapat, dalam konteks Malaysia, jumlah
penjawat awam yang ada sebenarnya masih di tahap sederhana, berbanding
sesetengah negara Scandinavia mempunyai kadar penjawat awam antara 20 hinga 25
peratus.
Ini kerana, jumlah terbabit turut membabitkan
anggota keselamatan, pendidikan, kesihatan yang pada pendapat beliau, perlu
ditambah selaras dengan pertambahan dan keperluan penduduk.
Ditanya punca isu terbabit timbul, Raduan berkata,
isu mengenai penjawat awam kerap kali dibangkitkan apabila kerajaan perlu
menyediakan bajet yang sangat besar untuk pembayaran emolumen, gaji dan
sebagainya dianggarkan berjumlah lebih RM30 bilion setahun.
Beliau juga kurang bersetuju dengan cadangan agar
umur persaraan dikaji semula mengambil kira jangka hayat rakyat Malaysia yang
semakin meningkat.
-utusan.