Selain isu perumahan untuk penjawat
awam, kesatuan itu mahu campur tangan dalam pengendalian dan pelaksanaan dasar
kerajaan oleh individu lantikan politik dihentikan, serta pertimbangan memberi
insentif khas sempena Aidilfitri ini.
Presiden CUEPACS, Datuk Azih Muda,
berkata kerajaan diminta mengekalkan dasar perumahan untuk penjawat awam
berikutan masih ramai belum memiliki kediaman sendiri.
Beliau berkata, jika kerajaan
memutuskan tiada pengkhususan dasar untuk penjawat awam membeli rumah,
kemampuan mereka bersaing dalam pasaran terbuka akan menjadi lebih mencabar.
“Berdasarkan sejarah, penjawat awam
memang tidak mampu bersaing dengan gaji swasta yang lebih tinggi.
“Sekiranya dasar ini disusun semula
dengan percampuran (pembelian rumah antara) penjawat awam dan swasta, kami
bimbang kakitangan awam tidak akan mampu membeli rumah.
“Harga RM300,000 untuk rumah mampu
milik sangat tinggi dan di luar kemampuan (penjawat awam),” katanya pada sidang
media bagi mengulas tempoh setahun pentadbiran PH, di sini, hari ini.
Azih berkata, penjawat awam tidak
ada harapan selain untuk kerajaan menyedia dan menawarkan rumah mampu milik
kepada mereka, dengan harga tidak melebihi tahap kemampuan gaji yang diterima.
“Setiap kali cabutan (undi untuk)
rumah penjawat awam, hanya 10 peratus berjaya, manakala 90 peratus lagi perlu
bersaing dengan pekerja swasta dan akhirnya tidak dapat.
“Diharapkan Menteri Perumahan dan
Kerajaan Tempatan (Zuraida Kamaruddin) melihat perkara ini. Melalui Dasar
Perumahan Negara, CUEPACS pun tidak dipanggil. Dasar ini sepatutnya dapat
menjamin penjawat awam untuk membeli rumah,” katanya.
Azih berkata, CUEPACS juga sudah membangkitkan
perkara itu untuk pengetahuan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, dan
akan menulis surat serta bersedia bertemu menteri bertanggungjawab jika gesaan
mereka tidak diberi perhatian.
Sementara itu, beliau berkata,
pihaknya menerima aduan bahawa ada individu lantikan politik mencampuri urusan
dalam perkhidmatan awam.
“Apa (aduan) yang sampai ke pejabat
kami, ada dasar diputuskan lantikan politik yang tidak mahu penjawat awam buat.
Mereka (lantikan politik) yang hendak buat.
“Kalau ada halangan begini, ia akan
melambatkan proses pelaksanaan. Penjawat awam tidak akan berdiam diri kerana
mereka memegang dan memikul tanggungjawab,” katanya.
Seterusnya, Azih menjelaskan
tuntutan bayaran insentif khas sempena Aidilfitri adalah seperti tahun sebelum
ini, sebagai bukti keprihatinan kerajaan membantu meringankan beban penjawat
awam, terutama mereka yang memiliki keluarga besar.
Beliau sekali gus mengucapkan terima
kasih kepada Kerajaan Perak, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan yang sudah
menyatakan komitmen memberi insentif khas kepada penjawat awam di negeri
terbabit.
“Kita sudah mengutus surat kepada
Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, justeru berharap kerajaan dapat
mempertimbangkan pemberian bantuan khas kerana sara hidup ketika ini adalah
tinggi serta mencabar. Diharapkan juga boleh mendapat lebih awal untuk
persiapan raya,” katanya.
-berita harian.