Showing posts with label Inovatif & Kreatif. Show all posts
Showing posts with label Inovatif & Kreatif. Show all posts

Tuesday, November 15, 2016

Penjawat Awam Ubah Cara Bekerja, Interaksi Rakyat Seiring Teknologi - Ali Hamsa

Tan Sri Dr Ali Hamsa tertarik dengan pakaian celoreng Jabatan Bomba dan Penyelamat
pada majlis Pengiktirafan Persada Inovasi PerKhidmatan Awam 2016
di Pusat Pameran Antarabangsa Melaka pada Selasa

MELAKA, 15 Nov (Bernama) -- Penjawat awam perlu mengambil peluang untuk melakukan perubahan terhadap cara bekerja dan berinteraksi dengan rakyat seiring dengan perkembangan teknologi terkini, kata Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.

Beliau berkata penjawat awam perlu melakukan anjakan paradigma bagi memenuhi ekspektasi rakyat yang jauh berbeza berbanding masa dahulu dengan membudayakan inovasi melalui penyampaian perkhidmatan awam hari ini.

"Sehubungan itu, kita perlu lebih peka dan responsif dengan keperluan rakyat kerana tidak ada gunanya jika idea berinovasi yang dicetuskan tidak sesuai ataupun tidak dikomersialkan selaras dengan kehendak pelanggan kita.

"Selain itu, penyampaian perkhidmatan awam berdasarkan kepada inovasi dan kreativiti kini bukan lagi satu pilihan malah menjadi keperluan kerana kemampuan dan kapasiti negara dalam berinovasi merupakan pemacu pertumbuhan ekonomi dan kemakmuran negara," katanya.

Beliau berucap merasmikan Majlis Pengiktirafan Persada Inovasi Perkhidmatan Awam (MPIPA) 2016 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal dan Ketua Pengarah MAMPU Datuk Seri Zainal Rahim Seman.

Majlis yang bertemakan 'Inovasi Diperkasa, Komersialisasi Dipersada' selaras dengan penekanan Rancangan Malaysia Kesebelas iaitu merekayasa pertumbuhan ekonomi melalui inovasi termasuk Ekonomi Keperluan Rakyat.

Ali berkata impak inovasi yang diharapkan memberi kemakmuran kepada rakyat hanya akan berlaku sekiranya inisiatif inovasi berkenaan dapat dikomersialkan dan disebarkan bagi meningkatkan lagi kualiti penyampaian perkhidmatan terutamanya sektor awam.

"Perkhidmatan awam pada hari ini dilihat menghadapi keadaan yang sentiasa berubah dan di luar jangkaan selain tuntutan daripada rakyat supaya urusan kerajaan tidak lagi seperti kebiasaan.

"Namun, pihak kerajaan sentiasa komited dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat menerusi pendekatan kreatif, memudahkan dan kos efektif," katanya.

Dalam sidang akhbar selepas majlis itu, Ali berkata penjawat awam yang menyertai perhimpunan haram akan dikenakan tindakan mengikut peruntukan peraturan dan undang-undang sedia ada.

"Saya menyeru kepada penjawat awam supaya jangan menyertai perhimpunan atau perkara seperti itu kerana sekiranya terdapat laporan maka mereka akan dikenakan tindakan tatatertib," katanya.

-Bernama.

Tuesday, September 29, 2015

Penjawat Awam Perlu Jana Idea Inovasi Untuk Kualiti Perkhidmatan - Entulu

PUTRAJAYA, 29 Sept (Bernama) -- Penjawat awam perlu berkongsi, menjana dan menghasilkan idea inovasi dan kreatif bagi menambah baik kualiti perkhidmatan awam serta menjadikannya sebagai titik tambah dalam mencapai visi transformasi negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Joseph Entulu Belaun.

Beliau berkata ketua jabatan pula perlu lebih kreatif dalam menyediakan pelbagai platform untuk menjana idea baharu yang sesuai dengan semua lapisan penjawat awam supaya mereka secara sukarela mengusahakan sesuatu pembaharuan dalam memudahkan tugas masing-masing.

Katanya, antara pendekatan yang boleh diusahakan ketua jabatan ialah mengadakan sesi percambahan idea, memberi insentif dalam bentuk kewangan dan bukan kewangan serta menyediakan peluang kepada warga organisasi untuk menyertai latihan yang relevan bagi mempertingkatkan kemahiran.

"Dengan ini, ekosistem inovasi yang positif dapat diwujudkan dengan lebih berkesan di tempat kerja," katanya ketika berucap pada majlis Hari Inovasi dan Kecemerlangan Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini, Selasa.

Sambutan Hari Inovasi dan Kecemerlangan kali ini memberi tumpuan kepada usaha menyemarakkan pembudayaan inovasi dan kecemerlangan dalam kalangan warga JPM ke arah menjadikan perkhidmatan awam Malaysia disegani di persada antarabangsa selaras dengan tema, 'Kecemerlangan Inovasi, Merentas Globalisasi.'

Anugerah Jabatan Paling Inovatif dimenangi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan yang berjaya menubuhkan pusat rawatan katarak di Selayang yang berjaya mengurangkan tempoh menunggu pembedahan untuk pesakit katarak di Hospital Selayang dari enam bulan kepada dua minggu.

Sementara seorang pemenang Pingat Perkhidmatan Cemerlang, S. Karunanithy, 48 dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia berkata, pingat berkenaan akan memberikan beliau lebih motivasi untuk menyumbang kepada program kemasyarakatan.

Hari Inovasi dan Kecemerlangan JPM 2015 dianjurkan untuk memberi pengiktirafan kepada jabatan dan agensi di bawah JPM yang mencapai kecemerlangan dalam pelbagai bidang termasuk pengurusan, penghayatan inovasi, sosial serta sukan.

-Bernama.

Thursday, May 21, 2015

RMK11: Usaha Rasionalisasi Sektor Awam

KUALA LUMPUR, 21 Mei (Bernama) -- Merasionalisasikan sektor awam, mewajarkan saiz perkhidmatan dan memperkenalkan dasar pemisah personel berprestasi rendah merupakan antara usaha yang akan dilaksana kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Langkah itu bertujuan menjadikan perkhidmatan awam berfokuskan rakyat disokong dengan bakat yang lebih berkemahiran, kurang lapisan hirarki dan birokratik, kurang pemusatan kerja serta perkhidmatan lebih mudah dicapai, cekap dan berkesan untuk rakyat.

Menurut dokumen RMK11 2016-2020 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di Dewan Rakyat, Khamis, sektor awam akan memperkenalkan pendekatan kreatif dan inovatif untuk meningkatkan kualiti sistem penyampaian.

Kerajaan akan memperkenalkan beberapa langkah transformasi dengan tumpuan beralih ke arah tadbir urus bersama rakyat dengan meningkatkan pemahaman berkaitan keutamaan rakyat dan melibatkan mereka dalam perancangan dan penyampaian perkhidmatan.

Prosedur birokrasi yang menghalang fasilitasi penyampaian perkhidmatan awam cekap akan dipermudah, data dimanfaatkan sepenuhnya, pertindanan dikurangkan dan akauntabiliti ditingkatkan.

Laporan itu menyebut kerajaan akan beralih daripada peranan sebagai penyedia perkhidmatan dengan memberi lebih penekanan kepada peranan sebagai fasilitator.

Bagi mencapai matlamat ini, di bawah RMK11 yang merupakan rancangan untuk tempoh lima tahun dari 2016 hingga 2020, lima bidang fokus dikenal pasti untuk mentransformasikan perkhidmatan awam.

Selain itu, pengurusan projek akan ditingkatkan untuk mencapai keputusan lebih baik dan cepat serta memanfaatkan pihak berkuasa tempatan menyediakan perkhidmatan berkualiti pada peringkat tempatan.

Di bawah setiap bidang fokus tersebut, laporan RMK11 itu menggariskan secara terperinci strategi yang akan dilaksana seperti mengurangkan kerenah birokasi, menyusun semula institusi sektor awam dan mengurangkan pertindanan peranan.

Model penyampaian dan perkhidmatan baharu ini membolehkan kerajaan melaksanakan pembaharuan dan pengukuhan supaya operasi menjadi lebih kos efektif dan kerajaan lebih bersedia memenuhi permintaan dan harapan rakyat menjelang 2020 dan seterusnya.

-Bernama.

Thursday, December 4, 2014

KSN Minta Agensi Perkhidmatan Awam Tekankan Pembangunan Inovasi Sosial

JOHOR BAHARU, 4 Dis (Bernama) -- Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa hari ini meminta agensi-agensi perkhidmatan awam di negara ini supaya terus memberi penekanan kepada aspek pembangunan inovasi sosial melalui makmal dan unit inovasi masing-masing.

Beliau berkata menerusi inovasi sosial, hasil pertumbuhan ekonomi negara yang bertunjangkan agenda transformasi negara, dapat diagihkan bagi memenuhi ekonomi keperluan rakyat.

"Inovasi sosial merujuk kepada konsep, idea dan strategi membawa kepada penambahbaikan sosial pelbagai lapisan masyarakat menerusi pendekatan inovatif.

"Ia merangkumi lapangan pendidikan, kesihatan awam dan pembangunan komuniti," katanya dalam ucapan pada majlis Anugerah Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Perkhidmatan Awam peringkat Kebangsaan Ke-31 di sini, Khamis.

Teks ucapan beliau dibacakan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal.

Dalam pada itu, Ali mengajak penjawat awam supaya melakukan perubahan minda sekali gus meningkatkan daya kreativiti dan inovasi supaya sentiasa mempunyai fikiran minda kelas pertama.

Beliau berkata melalui daya pemikiran minda kelas pertama, mutu dan hasil kerja yang dihasilkan bukan sahaja setanding dengan ciptaan negara maju malah diyakini mampu membawa dimensi baharu kepada corak pemikiran masyarakat negara ini.

Menurutnya penjawat awam perlu terus relevan dalam meningkatkan mutu kualiti penyampaian perkhidmatan dengan memberi perhatian serius kepada pembangunan inovasi dan membudayakan elemen kreativiti secara berterusan.

"Penjawat awam bukan sahaja perlu berfikiran di luar kotak tetapi juga harus bertindak di luar kebiasaan dalam melahirkan idea kreatif melalui tindakan yang inovatif di masa-masa akan datang," katanya.

Mengenai KIK, Ali menyarankan kumpulan yang terlibat supaya terus berusaha dan aktif dalam mencipta serta melaksanakan projek KIK yang berkualiti dan berdaya saing seiring dengan keperluan dan tuntutan rakyat.

-Bernama.